Walaupun ada orang yang rajin bekerja, tidak semestinya mereka layak menjadi seorang bos. Menjadi seorang bos memerlukan dedikasi dan cara yang betul untuk memastikan kita mempunyai pengaruh kepada pekerja di bawah arahan tanggungjawab.

Mengikut statistik juga, kebanyakan pekerja hebat berhenti kerja bukanlah kerana tidak suka dengan kerja yang dilakukan. Sebaliknya, mereka berhenti kerana perangai bos mereka. Berikut adalah beberapa ciri seorang bos yang tidak layak menjadi bos.

BESARKAN TEKS     A-  A+

kerja

1. Membebankan Pekerja Secara Berlebihan

Pekerja yang hebat adalah mereka yang berdedikasi terhadap kerja. Mereka sangat efisien dalam membuat kerja dan seboleh-bolehnya mahu menyiapkan kerja sepantas yang mungkin. Walaupun begitu, ada bos yang cuba mengambil kesempatan dengan memberi kerja tambahan secara keterlaluan dengan beranggapan pekerja mereka mampu menghabiskannya.

Mengikut kajian oleh Stanford University, produktiviti seseorang pekerja akan berkurangan setelah 50 jam waktu bekerja dalam seminggu. Dengan jumlah gaji yang sama tetapi kerja yang semakin bertambah, ia akan menyebabkan pekerja merasa sangat terbeban.

2. Tidak Menghargai Pekerja

Seorang bos yang bagus adalah mereka yang menghargai pekerja. Ada sesetengah bos yang tidak pernah menghargai pekerja walaupun mereka baru sahaja menghabiskan sesebuah projek atau kerja yang sukar.

Cara untuk menghargai pekerja ini pula terpulang kepada bos tersebut sama ada ingin memberi bonus, kenaikan gaji, kenaikan pangkat dan sebagainya.

3. Mengambil Pekerja Lain Yang Tidak Kompeten

Seorang pekerja yang bagus semestinya mahukan pekerja lain yang boleh bekerja sebagai satu pasukan dengannya. Malangnya, terdapat bos yang tidak pandai mengambil pekerja baru. Mereka mengambil pekerja yang kurang berkelayakan dan menyukarkan pekerja lain untuk menyelesaikan tugas mereka. Hal ini tentulah akan membebankan pekerja sedia ada dan mendorong mereka untuk meninggalkan syarikat.

4. Tidak Menggalakkan Pekerja Mencapai Matlamat Kerja

Seseorang yang dedikasi dengan pekerjaan mereka selalunya mempunyai matlamat kerja. Sebagai contoh, mereka mungkin ingin belajar sesuatu skil atau mendapatkan sesuatu sijil kompetensi. Bos yang tidak memberi sokongan kepada pekerja untuk mencapai cita-cita mereka semestinya akan menyebabkan mereka mengangkat kaki ke syarikat lain untuk mengejar cita-cita mereka.

5. Tidak Memberi Cabaran Intelektual Kepada Pekerja

Seorang pekerja yang hebat suka sekiranya diberikan kerja yang mencabar minda dan tahap intelektual mereka. Ia merupakan suatu kepuasan setelah menyelesaikan suatu tugasan sukar yang diberikan. Walau bagaimanapun, ada sesetengah bos yang memberi kerja yang rutin kepada seseorang pekerja selama bertahun-tahun. Hal ini tentulah akan menyebabkan mereka bosan dan mahu keluar daripada syarikat untuk mencari cabaran baru.

ofis

Sekiranya anda merupakan seorang bos dan mempunyai ciri-ciri di atas, ada baiknya anda mula lakukan perubahan sekarang agar aset anda, iaitu staf yang cemerlang, akan sentiasa berasa gembira bekerja di bawah seliaan anda. Ingat, pekerja yang kompeten adalah aset utama syarikat!




Hakcipta iluminasi.com (2017)