Ketika dunia masih berperang dengan pandemik COVID-19, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah menambah satu lagi varian coronavirus ke dalam senarai untuk dipantau.
Ia dikenali sebagai varian mu dan telah diklasifikasikan sebagai "varian menarik minat" (VOI).
Ini bermakna varian mu mempunyai perbezaan genetik dengan varian-varian lain yang diketahui dan menyebabkan jangkitan di pelbagai negara, oleh itu mungkin menimbulkan ancaman tertentu terhadap kesihatan awam.
BESARKAN TEKS A- A+
Terdapat kemungkinan bahawa perubahan genetik varian mu mampu membuatkannya menjadi lebih mudah berjangkit, memungkinkannya menjadi penyakit yang lebih dahsyat dan kebal dari tindak balas vakin atau jangkitan dengan varian sebelumnya.
Ini sekaligus membuatkannya sukar untuk dirawat.
Perlu diketahui bahawa VOI bukanlah varian membimbangkan (VOC), yang merupakan varian yang telah terbukti mempunyai salah satu ciri tersebut, menjadikannya lebih berbahaya.
Mu sedang dipantau dengan teliti untuk melihat sama ada ia harus diklasifikasikan semula sebagai VOC.
Ketika ini terdapat empat VOI yang sedang dipantau oleh WHO iaitu eta, iota, kappa dan lambda, tetapi tiada di antara empat varian ini yang diklasifikasikan semula sebagai VOC.
Apa yang membuatkan varian mu lebih menarik dan membimbangkan adalah kerana ia mempunyai ciri khas untuk mengatasi perlindungan vaksin yang ada ketika ini.
1. Di mana ia tersebar?
Varian mu pertama kali dikesan di Colombia pada Januari 2021, diberi nama B1621.
Sejak itu, ia telah dikesan di 40 buah negara namun dianggap penyebab kepada 0.1% jangkitan di seluruh dunia.
Mu lebih banyak dikesan di Colombia daripada di tempat lain di dunia.
Ketika melihat sampel coronavirus yang diuraikan secara genetik, 39% dari sampel yang dianalisis di Colombia adalah mu, tetapi tiada sampel mu yang dilaporkan di negara ini dalam tempoh empat minggu terakhir.
Sebaliknya, 13% sampel yang dianalisis di Ecuador adalah mu, di mana varian ini merangkumi 9% sampel dalam empat minggu terakhir, manakala di Chile kurang dari 40% sampel sejak bulan Ogos adalah varian mu.
Ini mencadangkan bahawa varian ini tidak lagi tersebar di Colombia sahaja, tetapi tersebar di negara-negara Amerika Selatan yang berdekatan.
Sehingga kini, 45 kes telah dikenal pasti di United Kingdom melalui analisis genetik dan ia datang dari luar negara.
Pada 1 September 2021, Jepun mengesahkan kes pertama varian mu melibatkan dua individu yang tiba dari luar negara melalui pemeriksaan lapangan terbang.
2. Adakah ia lebih berbahaya?
Persoalan utama adalah adakah varian mu lebih mudah berjangkit daripada varian yang dominan ketika ini iaitu delta, dan adakah ia boleh menyebabkan penyakit yang lebih teruk.
Mu mempunyai mutasi yang disebut sebagai P681H, pertama kali dilaporkan dalam varian alpha yang mana berpotensi untuk berjangkit dengan lebih pantas.
Walau bagaimanapun, kajian ini masih dalam proses, yang bermaksud penemuannya masih belum dikaji secara rasmi oleh saintis lain. Masih belum dapat dipastikan kesan P681H terhadap tingkah laku varian ini.
Mu juga mempunyai mutasi E484K dan K417N, yang dikaitkan dengan dapat melepasi antibodi terhadap coronavirus.
Mutasi seperti ini juga berlaku dalam varian beta dan mu mungkin berkelakuan seperti beta iaitu tidak berkesan terhadap beberapa vaksin.
Malah, mu juga mempunyai mutasi lain termasuk R346K dan Y144T, yang mana kesannya masih belum diketahui dan memerlukan analisis lanjut.
Tetapi bolehkah mu membolosi kekebalan yang ada pada manusia ketika ini?
Tidak banyak maklumat yang diketahui ketika ini, dengan kajian dari sebuah makmal di Roma menunjukkan bahawa vaksin Pfizer/BioNTech adalah kurang berkesan terhadap mu berbanding dengan varian-varian lain semasa diuji dalam eksperimen berasaskan makmal.
Namun, kajian itu masih menganggap perlindungan yang diberikan terhadap mu oleh vaksin ini adalah teguh dan kuat.
Walaupun begitu, laporan yang mengejutkan mengenai mu muncul.
Pada akhir Julai 2021, sebuah stesen berita di Florida melaporkan bahawa 10% sampel yang duji di University of Miami adalah mu.
Pada awal Ogos 2021, Reuters melaporkan bahawa tujuh penghuni di sebuah rumah jagaan di Belgium yang telah divaksin sepenuhnya telah meninggal dunia akibat wabak penyakit mu.
Walau bagaimanapun, ini adalah gambaran ringkas tingkah laku varian ini.
3. Apa yang akan berlaku seterusnya?
Mu adalah varian pertama yang ditambahkan ke dalam senarai WHO sejak Jun 2021.
Apabila sesuatu varian itu diklasifikasikan sebagai VOI, WHO menjalankan analisis perbandingan ciri varian baru, menilai bagaimana perbandingannya dengan varian yang lain yang juga dipantau dengan meminta negara anggotanya mengumpulkan maklumat mengenai kejadian dan kesan varian tersebut.
Perkara ini sedang berlangsung dan bermaksud bahawa Kesihatan Awam England sedang mengawasinya.
Pengelasan mu sebagai VOI mencerminkan keprihatinan meluas terhadap kemungkinan munculnya varian baru yang mungkin terbukti bermasalah.
Varian delta yang lebih mudah berjangkit di banyak negara terutamanya di kalangan mereka yang tidak divaksinasi, menunjukkan betapa cepat dan ketara varian-varian virus dapat mengubah hala tuju pandemik.
Setiap kali virus itu membiak di dalam diri seseorang, terdapat kemungkinan bahawa ia bermutasi yang menghasilkan varian baharu.
Ini adalah proses rawak, seperti membaling dadu.
Semakin kerap anda membaling dadu, semakin besar kemungkinan varian baharu muncul dan cara utama untuk menghentikan varian adalah pemvaksinan global.
Kemunculan mu mengingatkan kita betapa pentingnya kita perlu mencapai matlamat ini. Kebanyakan orang terutamanya di negara-negara membangun masih kekal tidak divaksin.
Di Kenya, hanya 1.5% populasinya sahaja yang telah mendapat vaksin penuh terhadap COVID-19.
Dan jika ini terus berlaku, jalan keluar dari wabak ini akan terbantut selama beberapa tahun akan datang.
Wallahualam.
Rujukan:
1. Weforum
2. Conversation