Kredit foto: Instagram Tun Mahathir
Berita kelahiran anak sulung penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin turut memanggil mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberi sepatah dua kata.
Kenyataan terbuka yang dikongsi Mahathir itu dibuat menerusi akaun peribadi Instagramnya, @chedetofficial dalam sebuah kiriman video.
Dalam kenyataan ringkas berkenaan, Mahathir merakamkan ucapan tahniah buat Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atas kelahiran puteri sulung mereka di sebuah pusat perubatan di ibu kota, awal pagi tadi.
Kredit foto: Instagram @rozisangdewi
“Assalamualaikum Datuk K dan Datin Siti, saya tumpang gembira mendengar bahawa sekarang ini orang yang kita kenali dengan dekat (sudah) dapat seorang cahaya mata," katanya.
Mahathir berkata, berita itu merupakan perkongsian gembira bukan sahaja buat pasangan suami isteri berkenaan, malah kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Saya harap ini akan menggembirakan bukan sahaja Datuk dan Datin tapi saya yakin ramai rakyat Malaysia amat gembira dengan berita ini.
“Inilah satu berita baik yang kita terima ketika ini dalam keadaan ramai kurang senang dengan keadaan (sekarang), tetapi kelahiran anak pertama ini adalah satu nikmat yang tak terhingga nilainya,” katanya lagi.
Terdahulu, Siti selamat melahirkan bayi berjantina perempuan, jam 8.17 pagi tadi.
Ia merupakan kelahiran cahaya mata perempuan sulung bagi Khalid selepas kelahiran empat anak lelaki daripada perkahwinan pertamanya.