Kredit foto: Instagram Siti Nurhaliza
Selepas tiga hari kelahiran anaknya yang digelar Fatimah Az-Zahra, penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi foto beliau bersama bayi tersebut menerusi sebuah kiriman yang dimuatnaik di akaun Instagram peribadinya, semalam.
Foto berkenaan memaparkan Siti sedang mendukung bayi berkenaan sambil berhadapan tingkap bilik hospital tempat beliau direhatkan.
Kredit foto: Instagram Siti Nurhaliza
Bersama gambar berkenaan, Siti, 39, mewakili suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, 59, merakamkan penghargaan buat netizen yang mendoakan kesejahteraannya sekeluarga.
"Saya bersama suami serta anakanda kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengucapkan tahniah dan mendoakan kami dari mana saja anda berada, Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan lain-lain," tulis Siti di kapsyen.
Tidak terkecuali, Siti turut melayangkan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan dalam industri yang tidak lupa untuk mengutuskan kara-kata serta doa buatnya.
"Kepada rakan-rakan artis saya juga, terima kasih di atas ucapan dan ingatan kalian," tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, pelantun Comel Pipi Merah itu memaklumkan dia dan anaknya berada dalam keadaan baik di bawah jagaan pihak kakitangan hospital.
Kredit foto: Instagram Siti Nurhaliza
"Alhamdulillah, saya dan anakanda dalam keadaan baik, pihak doktor dan jururawat menjaga kami dengan baik," jelasnya.
Isteri kepada tokoh korporat itu turut mengambil kesempatan mengucapkan penghargaan kepada netizen yang bermurah hati mengirimkan hadiah buatnya.
Mengenai keadaan terkini, Siti memaklumkan dia mendapat nasihat daripada doktor untuk mengambil rehat secukupnya.
"Terima kasih juga kepada semua pihak yang mengirimkan hadiah sehingga ke hari ini. Buat masa ini saya hanya dinasihatkan untuk berehat oleh doktor," akhirinya bersama tanda pagar #BabyCTDK.
Terdahulu iaitu pada Isnin lalu, Siti melahirkan bayi berjantina perempuan seberat 3.55 kilogram secara pembedahan pada pukul 8.17 pagi di sebuah pusat perubatan di ibu kota.