Kredit foto: Instagram Siti Nurhaliza
Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan isterinya, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang enggan memanjangkan isu penyebaran foto bayi mereka, akhirnya bersepakat untuk memaafkan pihak yang membuat kesilapan tersebut.
Khalid yang mesra disapa Datuk K mengakui dia dan isteri telah reda dengan perkara yang berlaku.
Kredit foto: Instagram Siti Nurhaliza
"Pihak kami sudah memaafkan individu yang menyebarkan foto bayi kami. Tidak mahu menjadikan ia satu isu sebab saya dan Siti pun sudah reda," kata Khalid kepada portal Mstar Online.
Terdahulu, timbul isu apabila seorang jurusolek bernama Wan Noor Akmal Wan Yusof menyebarkan foto bayi pasangan ini di media sosial, tidak sampai 24 jam waktu kelahiran.
Begitupun, wanita itu memohon maaf atas keterlajurannya yang juga tidak mempunyai niat buruk kerana sekadar ingin berkongsi foto bayi popular itu.
Mengikut perancangan asal, Siti dan Khalid hendak mendedahkan wajah dan nama anak mereka dalam sebuah majlis istimewa yang diaturkan seminggu selepas hari kelahiran.
Sementara itu, Khalid berkata, bayi berjantina perempuan yang dilahirkan itu tidak mempunyai kerenah yang banyak.
Menurutnya, buat masa ini, Siti menyusukannya setiap dua jam sekali sebelum bayi itu tidur semula.
Kredit foto: Instagram Siti Nurhaliza
"Buat masa sekarang, bayi kami tak banyak karenah. Biasalah kalau berjaga waktu malam pun hanya untuk berikan dia susu.
"Selepas itu, dia akan tidur semula dan Siti pun dapat berehat," dedah Khalid.
Kali terakhir Khalid dikurniakan anak adalah pada 20 tahun lalu iaitu menerusi perkahwinan pertamanya.
Dalam pada itu, Khalid berkata, Siti masih dipantau doktor dan belum dibenarkan pulang kerana mengalami pendarahan yang banyak sewaktu dibedah tempoh hari.
"Buat masa ini Siti masih dalam pemantauan doktor kerana dia kehilangan banyak darah semasa pembedahan. Sekarang dia perlu ditambah darah dan mungkin dalam masa dua atau tiga hari lagi dia boleh pulang," katanya.
Terdahulu, penyanyi tersohor negara itu melahirkan anak seberat 3.55 kilogram dalam lingkungan jam 8.17 pagi.
Buat sementara ini, beliau dan suami meminta netizen memanggil anak mereka dengan nama Fatimah Az-Zahra sebelum nama sebenar diumumkan selepas seminggu dari hari kelahiran.