Kredit foto: Instagram Siti Nurhaliza & Instagram Tun Mahathir
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza akui perlantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh telah mencipta sejarah tersendiri.
Siti, 39, menyifatkan ia sebagai rekod dunia yang luar biasa memandangkan belum ada negara yang melantik Perdana Menteri terdahulu untuk kali kedua selepas bersara.
“Bagi saya ini satu sejarah kerana Tun seorang lagenda politik negara yang dilantik menjadi Perdana Menteri kali kedua pada usia 93 tahun.
“Ini juga satu pencapaian luar biasa apatah lagi Tun pernah bersara sebelum ini. Sejujurnya, apa yang saya luahkan di laman Instagram sebelum ini adalah gambaran perasaan saya yang menyanjungi kepimpinan beliau,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Kredit foto: Instagram @creacionbysitinurhaliza
Beliau membuat kenyataan itu sewaktu menghadiri pelancaran pembukaan butik dan pertunjukan fesyen Creation dan SimplySiti by Siti Nurhaliza yang diadakan di Kuala Lumpur, semalam.
Untuk rekod, Tun Mahathir yang memegang peranan sebagai Perdana Menteri keempat pada 1981, mengambil keputusan mengejut bersara pada 2003.
Mengulas mengenai keterbukaannya menyokong Tun Mahathir, Siti berkata, ia tidak pernah dirahsiakan kepada umum.
Siti menjelaskan, dirinya mengagumi tokoh negara itu, selain beberapa nama lain antaranya Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.
Dalam pada itu, penyanyi tersohor negara ini menangkis dakwaan kononnya telah disenaraihitam TV3 sebagaimana dakwaan yang tular.
“Tidak ada istilah saya digam di TV3. Cuma saya jarang muncul, jadi timbul persepsi sebegitu.
“Ikutkan saya ada juga muncul dalam program lain di TV3 seperti Melodi dan Anugerah Bintang Popular. Saya berharap perkara ini jelas,” katanya.