Pada suatu malam yang dingin sekitar bulan Januari 1961, Mejar Walter Scott Tulloch telah berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Seymour Johnson di Goldsboro, Carolina Utara. Ini merupakan penerbangan rutin yang dilakukannya di sekitar kawasan Pantai Timur
Walau bagaimanapun, apa yang berlaku pada malam itu hampir menjadi salah satu daripada sejarah terpenting Amerika Syarikat. Ini kerana muatan yang dibawa oleh pesawat Mejar Tulloch iaitu dua buah bom nuklear Mark 39 hampir memusnahkan kawasan pinggir laut di bahagian timur Amerika Syarikat.
BESARKAN TEKS A- A+
Masalah bermula tidak lama selepas pesawat B-52G kendalian Mejar Tulloch itu berlepas. Pada waktu tengah malam ketika pesawatnya itu sedang menjalani proses pengisian minyak di udara, kapal pembawa minyak menyedari terdapat kebocoran pada sayap sebelah kanan pesawat pengebom Mejar Tulloch dan mengarahkannya untuk kembali ke pangkalan.
Semasa dalam penerbangan pulang ke pangkalan, pesawat Mejar Tulloch telah hilang kawalan. Lubang yang terdapat pada tangki telah merosakkan keseluruhan sayap kanan pesawat itu dan menyebabkannya menjunam. Pada ketinggian 9,000 kaki, Mejar Tulloch telah mengarahkan kesemua anak kapalnya untuk menyelamatkan diri.
Lima orang dari anak kapalnya berjaya melompat keluar tetapi tiga lagi tidak bernasib baik dan terbunuh dalam kemalangan itu. Apa yang lebih menakutkan lagi ialah ketika pesawat itu sedang menjunam dan mula pecah di udara, dua bom nuklear yang dibawa bersama juga jatuh tepat ke arah kawasan darat Carolina Utara.
Kedua-dua bom itu mengandungi kekuatan sebanyak 4 megatan kuasa nuklear, 300 kali ganda lebih kuat daripada bom yang digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki. Satu daripada bom ini telah dipasangkan payung terjun padanya manakala satu lagi pula tidak sempat dipasang sebelum ia jatuh. Namun, nasib baik menyebelahi mereka apabila kedua-dua bom itu tidak meletup.
Jika kedua-dua bom itu meledak, ia mungkin akan memusnahkan sebahagian besar kawasan Washington, Baltimore, Philadelphia dan mungkin lebih jauh ke utara seperti New York. Perkara sebegini boleh membahayakan jutaan nyawa penduduk Amerika.
Sebaik sahaja berita mengenai bom itu jatuh sampai ke pangkalan tentera, seorang pakar pemusnah bom iaitu Leftenan Jack ReVelle telah bergegas ke tapak di mana bom itu jatuh untuk menyahaktifkan bom nuklear itu.
Untuk berdekat lamanya setelah kemalangan itu, pihak kerajaan Amerika Syarikat berulang kali menafikan bahawa kejadian yang berlaku di Goldsboro itu hampir menyebabkan bom nuklear itu meletup tetapi dokumen mengenai kejadian itu yang didedahkan baru-baru ini di bawah Akta Kebebasan Informasi telah mendedahkan betapa hampirnya bom nuklear itu hampir meletup.
Salah satu dari bom itu yang dipasang dengan payung terjun jatuh di kawasan ladang di pinggir bandar Faro, Carolina Utara. Payung terjun bom itu tersangkut pada pokok dan menyebabkan ia tergantung dalam keadaan menegak.
Ketika ReVell tiba dan memeriksa bom yang pertama itu, dia mendapati hanya satu daripada empat mekanisma yang merupakan suis keselamatan yang masih belum diaktifkan. Ini bermakna hanya satu suis keselamatan yang terakhir itu sahaja yang menghalang bom nuklear itu daipada meletup dan memusnahkan kawasan Carolina Utara.
Ketika Perang Dingin berada pada waktu kemuncaknya, pesawat pengebom biasanya akan membawa senjata nuklear untuk terbang bersama sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya perang meletus. Namun, bagi mengelak sebarang kejadian tanpa disengajakan yang boleh menyababkan bom nuklear meletup, mekanisma suis keselamatan telah diperkenalkan.
Bagi bom yang kedua pula, ianya sukar untuk dikesan kerana ia tidak dipasang dengan payung terjun semasa jatuh daripada pesawat. Jadi ia menjunam jatuh dengan kelajuan 700 batu sejam. Setelah beberapa hari melakukan pencarian, kebimbangan RaVelle terhadap letupan bom itu semakin berkurang sebaliknya beliau lebih risau tentang kemungkinan terjadinya kebocoran radiasi dari teras bom nuklear itu.
Akhirnya, RaVelle dan pasukannya berjaya menemui lokasi di mana bom itu telah tertanam dalam tanah berlumpur di Jalan Big Daddy, Pikeville, Carolina Utara. Mereka telah melakukan kerja menggali untuk mengeluarkan bom tersebut dan juga satu penemuan yang menakutkan.
Menurut RaVelle, dia diberitahu oleh salah seorang sarjannya bahawa bom yang ditemui itu berada dalam keadaan aktif. RaVelle berkata itu adalah perkara yang tidak akan dilupakan sepanjang hayatnya.
Apa yang ajaibnya walaupun impak pelanggaran itu telah menyebabkan bom itu aktif, pada masa yang sama ia juga telah menyebabkan kerosakan teruk pada bom tersebut sehingga ia terhalang daripada meletup.
RaVelle menerangkan lagi bahawa tragedi yang berlaku itu hampir menyebabkan terjadinya satu malapetaka besar yang tidak dapat dibayangkan.
Sumber :
1. The Guardian