Oleh pada 01 Oct 2017 kategori

"Assalamualaikum warahmatullahhiwabarakatuh Encik Ahmad," Sani menyapa Ahmad yang sudah duduk menunggunya.

"Waalaikumussalam! Duduk, sila-sila. Nak minum apa?" tanya Ahmad.

"Teh tarik je la," kata Sani. "Macam mana? Dah ada penyewa berpotensi ke?"

"Ada bos, tapi tu lah yang saya ajak jumpa ni," kata Ahmad. "Kawasan tu memang senang nak sewakan."

"Ni kontrak?" Sani mengimbas dokumen yang diletak di depannya. Ahmad mengangguk mengiyakan sambil memanggil pelayan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

"Teh tarik satu bang!" kata dia pada pelayan kedai itu. "Yup, tu dokumen kontrak. Saya minta Encik Sani datang berjumpa ni pun sebab nak bincang tentang kontrak ni lah."

"Kenapa pula?" tanya Sani.

"Ada beberapa perkara yang Encik Sani minta yang saya rasa tak sesuailah dengan peredaran zaman," kata Ahmad.

"Yang mana pula tu?" soal Sani terpinga-pinga.

masyarakat berbilang bangsa di malaysia

Pelayan datang membawakan segelas teh tarik lalu meletakkannya di depan Sani lalu dihirup teh pekat berbuih, melegakan tekak Sani yang sedikit kering.

"Encik Sani, syarat penyewa perlu Muslim sahaja tu, akan hadkan potensi penyewa rumah Encik," kata Ahmad. "Lokasi dah cantik, namun dah berapa belas orang telefon nak sewa saya terpaksa tolak kerana mereka bukan Islam."

"Saya bukan apa, saya cuma risau kalau mereka bela anjing dalam rumah tu," jawab Sani.

"Maaf Encik Sani, tapi Islam sendiri tak membenarkan kita was-was perkara yang kita tak pasti ni," kata Ahmad cuba memujuk. "Saya secara peribadi tak nampak apa masalah besar jika penyewa rumah Encik Sani bela anjing dalam rumah."

Terbeliak mata Sani. "Betul?" 

Ahmad mengangguk. "Najis yang kita patut elak adalah najis yang kelihatan. Budaya Melayu saja yang takut sangat anjing dalam rumah sehinggakan kita was-was benda yang kita andaikan saja."

Sani tersinggung mendengar kata-kata Ahmad.

"Ada banyak sebab saya terpaksa letak syarat penyewa mesti dari orang Islam sahaja Encik Ahmad. Saya sendiri tidak selesa dan yakin dengan status kebersihan rumah saya jika disewa pada orang bukan Islam."

"Bukankah itu satu bentuk diskriminasi?" tanya Ahmad. "Orang Cina dan India boleh bagi sewa pada orang Melayu. Kenapa orang Melayu tak boleh?"

Marah Sani. Ejen hartanah apa jenis ni yang berani sekolahkan pelanggan sendiri?

"Saya rasa ini bukan isu yang besar, Encik Ahmad," kata Sani.

"Besar Encik Sani. Kita nak buat kontrak perjanjian dan dalam kontrak itu ada dinyatakan secara bertulis yang bukan Islam tidak dibenarkan menyewa," terang Ahmad.

"Saya seorang ejen yang mengamalkan sikap muhibah, prinsip 1Malaysia dan saling bertoleransi. Dengan meletakkan nama saya sebagai ejen urusan penyewaan, seolah saya kata saya setuju dengan apa yang terkandung dalam kontrak ni."

masyarakat berbilang bangsa di malaysia latar belakang klcc

"Jadi, Encik Ahmad tak setuju hendak teruskan lantikan ini?" tanya Sani.

"Bukan maksud saya begitu Encik Sani," kata Ahmad dengan tenang. "Saya nak teruskan dengan syarat Encik Sani dapat buang segala syarat rasis yang ada dalam kontrak ini."

Sani diam sambil terus merenung dokumen berkulit kertas merah jambu di depannya. Tertera namanya dengan ruangan penyewa belum berisi kerana dia meminta untuk melihat contoh kontrak yang disediakan. Pengalaman menyewakan rumah hanya dengan janji mulut banyak mengajar dia kepentingan wujudnya kontrak bertulis.

"Saya ada beberapa orang bukan Muslim yang dah setuju nak sewa dengan kadar sewa lebih tinggi daripada apa yang Encik Sani minta sebenarnya," kata Ahmad. 

"Tak apalah Encik Ahmad, kekalkan saja syarat yang saya minta," kata Sani. 

Ahmad diam merenung wajah Sani.

"Syarat tu rasis Encik Sani," kata Ahmad. "Susah nak dapat penyewa orang kita ni."

"Betul ke rasis?" tanya Sani. 

"Betul," kata Ahmad.

Sani menegur sekumpulan lelaki Cina di sebelah mereka. "Bro, bro. Good afternoon. Nak tanya satu benda boleh ke?"

"Yup," jawab salah seorang daripada mereka.

"Kalau aku nak sewakan rumah aku hanya dekat Melayu sahaja, rasis ke?"

Soalan Sani membuatkan pemuda-pemuda Cina itu terkejut juga.

"You punya rumah, you punya suka la," kata seorang daripada mereka.

Sani senyum melihat Ahmad menggelengkan kepala. "Bukan pandangan ramai tu," kata Ahmad. Dia masih belum mahu mengalah hendak menegakkan benang basahnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)