Kredit foto: Instagram Syamel
Penyanyi Syamel, menceritakan kenangan pahit sewaktu mewakili Malaysia di festival muzik ABU TV song Festival 2017 yang berlangsung di Chengdu, China pada 1 November lalu.
Dedahnya, dia terkejut dengan permintaan seorang wanita yang bekerja dengan produksi festival itu.
"Terkejut juga apabila digoda oleh krew produksi dan dia berani memberitahu mahu mengikut saya balik ke hotel.
"Ingatkan dia bergurau tetapi apabila tengok seperti lain sahaja saya pun jadi takut," katanya yang dipetik daripada laporan portal Mstar Online.
Syamel membuat kenyataan tersebut di peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 32 (SFMM32) yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam pada Ahad.
Dua buah lagu ciptaan Syamel iaitu Aku Cinta, duet bersama Erni Zakri dan Lebih Sempurna layak ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) yang bakal berlangsung Februari tahun hadapan.
Tambah Syamel, walaupun wanita itu mengulangi hasratnya berulang kali, dia hanya mampu menolak secara baik, apatah lagi kehadirannya di sana bukan untuk menimbulkan masalah selain tidak tahu niat sebenar wanita itu.
Kredit foto: Instagram Syamel
"Sudah tentu saya tolak secara baik permintaannya itu dan saya ke China bukannya hendak buat perkara bukan-bukan," katanya.
Menyambung cerita, naib juara Akademi Fantasia 2015 ini berkata, kejadian malang sebenarnya telah bermula sejak dia dalam perjalanan ke China, apabila bagasinya hilang!
Rentetan itu, dia tidak mempunyai pakaian bersih sepanjang tiga hari berada di sana.
"Bayangkanlah beg hilang! Apa yang saya hendak pakai? Mujur juga saya bawa beg galas yang saya simpan barangan penting selain tiga helai seluar dalam.
"Paling penting bahagian 'dalam' dapat ditukar tetapi memang masalah juga kerana semua baju penting dalam bagasi.
"Walaupun pelbagai pengalaman pahit berlaku tetapi saya anggap ia sebagai cabaran dan memori untuk saya kenang di kemudian hari," dedahnya.
Mengenai festival itu, Syamel mengakui ia merupakan pengalaman berharga di samping melihat banyak ruang untuk penyanyi dari Malaysia mengembangkan bakat di sana.
Kredit foto: Instagram Syamel
"Apa yang saya lihat banyak perkara sebenarnya kita boleh buat di luar meskipun berlainan bahasa dan budaya tetapi masyarakat di China sangat menghargai sesebuah karya.
"Penyertaan saya itu sebenarnya membuka mata bahawa kita ada peluang untuk memperkenalkan muzik tempatan di luar negara," katanya.
Festival bukan berbentuk pertandingan itu antara lain membariskan persembahan peserta dari negara Afghanistan, China, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Macau, Maldives, Vietnam, Zambia, Kazakhstan, dan Turkmenistan.
Pada masa sama, Syamel juga bakal menempuh cabaran bersaing dalam AJL32 pada Februari tahun depan, yang menyaksikannya membawakan dua lagu ciptaannya sendiri.
Masih berasa fobia dengan kontroversi yang melanda dirinya pada pertandingan itu tahun lalu, penyanyi berusia 24 tahun ini menganggap penyertaannya kali ini sebagai hikmah atas apa yang terjadi.
"Jujur saya fobia dengan apa jadi dahulu tetapi saya sudah lupakan perkara itu kerana menganggap ia bukan rezeki.
"Dua lagu terpilih pada tahun ini saya anggap ia hikmah daripada apa yang berlaku dahulu dan sebagai seorang penyanyi dan komposer ia pencapaian besar," katanya.
Tahun lalu, lagu nyanyian Syamel berjudul Hidup Dalam Mati menarik diri daripada AJL atas sebab tertentu.
Sumber berita: Mstar