Kredit foto: Instagram Syamel
Penyanyi Syamel akan menjadi wakil Malaysia dalam acara ABU TV Song Festival 2017 yang bakal berlangsung di Chengdu, China pada 1 November ini.
Syamel atau nama penuhnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly melahirkan rasa terharu kerana mendapat kepercayaan untuk mewakili negara.
Malah penyanyi berusia 24 tahun ini teruja kerana berpeluang berkongsi pentas dengan wakil negara Asia Pasifik yang lain.
“Apabila diberitahu saya terpilih mewakili Malaysia, memang perasaan sangat teruja dan terharu dengan kepercayaan yang diberikan itu.
“Memang berdebar juga, tapi saya sudah sedia untuk menunjukkan kemampuan sebenar. Saya berharap dapat membanggakan Malaysia,” katanya memetik laporan portal Harian Metro.
Menyentuh persediaan yang dilakukan, naib juara Akademi Fantasia 2015 itu memberitahu dia bakal membawa lagunya sendiri berjudul Lebih Sempurna.
Malah ada sedikit perubahan akan dilakukan terhadap lirik asal.
“Disebabkan ia berlangsung di China, saya mungkin akan menukar sedikit lirik kepada bahasa Mandarin," dedahnya.
Tak kurang, kesempatan yang ada juga akan digunakan sebaik mungkin untuk mencari peluang baru dalam kerjaya seni di China.
“Saya akan berada di sana selama seminggu, jadi saya tidak mahu lepaskan peluang untuk mencari ruang mengembangkan nama saya. Saya tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu, manalah tahu selepas ini dapat menembusi pasaran antarabangsa pula,” beritahunya.
Festival itu antara lain membariskan persembahan peserta dari negara Afghanistan, China, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Macau, Maldives, Vietnam, Zambia, Kazakhstan, dan Turkmenistan.
Sumber berita: Harian Metro