Keracunan plumbum telah diketahui selama ribuan tahun sebagai penyebab pelbagai penyakit. Pada tahun 370 SM, Hippocrates, seorang doktor Yunani antara terawal dalam catatan sejarah yang menemui punca keracunan plumbum pada seorang pekerja logam.
Beberapa abad kemudian, seorang doktor Yunani lain pula menyedari bahawa pendedahan kepada plumbum boleh menyebabkan kelumpuhan dan kecelaruan selain masalah usus dan pembengkakan.
BESARKAN TEKS A- A+
Plumbum
Jurutera Rom, Vitruvius, menyatakan bahawa asap plumbum "merosakkan darah dan memberikan keburukan pada badan". Orang Rom menggunakan peralatan dapur yang diperbuat daripada plumbum dan merebus wain menggunakan periuk plumbum agar masakan dan wain mereka lebih manis.
Golongan kelas atasan Rom secara puratanya mengambil antara 35 hingga 250 miligram plumbum setiap hari.
Pada abad ke-18 pula, Benjamin Franklin memberi amaran tentang bahaya terdedah kepada plumbum. Dia mendapati pelbagai masalah kesihatan berlaku ke atas pekerja di sebuah kilang pencetakan di London pada 1724.
Satu abad kemudian, Charles Dickens juga menulis tentang keracunan plumbum dalam The Uncommercial Traveler yang diterbitkan pada 1860.
Walaupun beribu-ribu tahun amaran diberikan tentang bahaya plumbum, manusia masih lagi mendahulukan keuntungan berbanding kesihatan orang ramai.
Menyelesaikan masalah ketukan pada enjin
Pada permulaan awal industri kenderaan, kereta yang dibangunkan sering mengalami masalah teknikal. Salah satunya dikenali sebagai "ketukan enjin" atau "engine knocking" di mana bahan bakar menyala terlalu cepat dan di luar kawasan pembakaran enjin.
Namun, masalah ini juga tidak hanya berlaku pada kenderaan.
Thomas Midgley Jr.
Pada tahun 1916, presiden Dayton Electric Light Co. (DELCO) iaitu Charles Kettering telah meminta penyelidik bernama Thomas Midgley Jr. untuk menyelesaikan masalah engine knocking pada penjana elektrik syarikat itu yang digunakan di kawasan luar bandar untuk membekalkan kuasa kepada lampu elektrik.
Beberapa tahun kemudian, General Motor (GM) membeli DELCO. Kettering dan Midgley tetap meneruskan usaha mereka untuk GM dan mereka hampir menemui kejayaan.
Pada 3 Disember 1921, para penyelidik di makmal GM di Dayton, Ohio telah menemui kejayaan. Dua hingga empat gram bahan yang dikenali sebagai plumbum tetraetil (TEL) dicampurkan ke dalam satu galon (3.78 liter) petrol bagi menyelesaikan masalah engine knocking.
Dalam hanya dua tahun, rakyat Amerika telah mengepan berjuta-juta galon bahan bakar yang mengandungi plumbum ke dalam tangki kereta mereka. Kebanyakan daripada mereka tidak mengetahui sejarah keburukan dan bahaya plumbum.
Inovasi yang memakan diri
Pada Disember 1922, Thomas Midgley Jr. dianugerahkan Pingat William H. Nichols dari Persatuan Kimia Amerika kerana kejayaannya. Namun, penghargaan ini perlu dibayar dengan harga yang tinggi apabila inovasinya itu turut mengorbankan kesihatan dirinya dan banyak rakan penyelidik yang lain.
Pada September 1923, seorang pekerja berusia 37 tahun, Frank Durr, menjadi mangsa pertama yang meninggal dunia akibat keracunan plumbum tetraetil (TEL). Sebulan kemudian, seorang lagi lelaki bernama Sim Jones menjadi mangsa.
Antara September 1923 hingga musim luruh 1924, dilaporkan seramai tujuh pekerja kilang GM di Dayton dan kilang DuPont (syarikat kimia) di New Jersey meninggal dunia.
Namun, masyarakat hanya mengetahui mengenai hal ini pada 27 Oktober 1924 apabila media mula melaporkan tentang pekerja kilang yang menjadi "gila" akibat menghasilkan minyak berplumbum.
Dua minggu kemudian, Time Magazine mendedahkan sebanyak 35 pekerja di kilang Standard Oil di New Jersey mengalami penyakit "misteri".
Kegilaan Thomas Midgley Jr.
Pada 30 Oktober 1924, Midgley mengadakan sidang media dan melakukan beberapa "kerja gila". Dia menuangkan plumbum tetraetil (TEL) ke atas tangannya dan menghidu botol yang mengandungi bahan itu selama 60 saat.
Midgley mendakwa dia boleh melakukan perkara itu setiap hari tanpa mengalami sebarang masalah. Dia juga menegaskan bahawa semua kematian dan kecederaan pekerja bukanlah keracunan plumbum tetapi disebabkan "sikap pekerja yang lalai dan gagal mematuhi arahan".
Midgley akhirnya dihentikan perkhidmatannya sebagai Timbalan Pengarah GMCC (General Motors Chemical Corp) pada awal tahun 1925.
Namun, Midgley tidak hanya berhenti di situ sahaja. Beberapa tahun kemudian, dia mendapat idea bagaimana dia boleh menyelesaikan masalah pendingin pada peti sejuk dan penyaman udara.
Pada waktu itu, bahan yang digunakan pada pendingin adalah beracun, mudah terbakar dan meletup. Midgley mendapat idea bagaimana untuk menangani masalah itu berdasarkan pengalaman dan "kepandaiannya".
Dia memperkenalkan bahan dichlorodifluoromethane (diklorodifluorometana) sebagai penyelesaian itu. Bahan ini lebih dikenali sebagai Freon iaitu chlorofluorocarbon (CFC) atau klorofluorokarbon yang pertama.
Freon merupakan gas yang tidak tidak mempunyai rasa dan bau. Apabila disedut dengan dalam, ia dapat menyekat oksigen penting untuk masuk ke sel dan paru-paru anda.
Pada mesyuarat tahunan Persatuan Kimia Amerika pada 1930, Midgley sekali lagi melakukan "kerja gila" untuk membuktikan bahawa ciptaannya selamat. Dia telah menyedut gas CFC dalam jumlah yang banyak, kemudian meniup lilin sehingga terpadam.
Demonstrasi Midgley menyedut CFC
Dia cuba meyakinkan bahawa ciptaannya itu tidak bertoksik atau mudah terbakar. Walaupun melakukan demonstrasi "gila", Midgley tetap dianugerahkan Pingat Priestley pada 1941 dan dilantik sebagai presiden Persatuan Kimia Amerika.
Namun, ketika bahaya minyak berplumbum kelihatan semakin jelas, begitu jugalah dengan kesan gas CFC.
Keuntungan membutakan mata
Walaupun bahaya bahan plumbum mula diketahui umum, penggunaan minyak berplumbum terus digunakan di Amerika sehingga 1986 dan di Eropah sehingga tahun 2000. CFC pula telah diharamkan mengikut Protokol Montreal yang diluluskan pada 1987.
Lelaki di sebalik kedua-dua bahan ini, Thomas Midgley Jr., mungkin merupakan pencipta paling berbahaya serta individu yang menjadi punca pencemaran terburuk terhadap manusia dan dunia.
Malah, kesedaran tentang bahaya bahan ini di kalangan masyarakat dan industri juga dilihat sangat lambat. Mungkin atas pelbagai alasan dan sebab.
Midgley pula akhirnya menerima padah atas kepintarannya sendiri. Pada penghujung kehidupannya, dia menjadi lumpuh akibat Polio. Dia telah mencipta tali pengangkat (abah-abah) untuk membantunya bergerak dari tempat tidur ke kerusi roda.
Walaupun ideanya itu nampak selamat dan berguna tetapi malang tidak berbau. Tali pengangkat itu akhirnya secara tidak sengaja membelit lehernya sehingga mati.
Ironinya, begitu juga dengan minyak berplumbum dan CFC. Bahan itu dicipta sebagai alat memperbaiki kehidupan tetapi sebaliknya yang berlaku.