Pada tahun 2003, pembangunan sebuah projek berbilion dolar yang diberi nama "The World" telah diumumkan.

Kepulauan buatan manusia yang berbentuk seperti peta bumi ini dirancang untuk menampilkan rumah-rumah mewah dan tempat-tempat pelancongan yang terletak tidak jauh dari Dubai.

Namun pada hari ini iaitu lebih daripada 10 tahun selepas kepulauan ini siap, kepulauan ini kelihatan terbiar dengan hampir tiada pembinaan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa sebenarnya yang berlaku?

projek the world tergendala

Pada awal tahun 2000-an, pemaju hartanah melihat peluang yang sangat besar dalam membina daratan tiruan di luar pantai Dubai.

Ledakan hartanah di kawasan ini sangat dahsyat dan Emiriah ini kelihatan sangat berkembang.

Permintaan terhadap hartanah di lautan juga sangat besar dan Dubai sememangnya telah berkembang di sebahagian besar pesisir pantainya.

Jadi, Nakheel Properties iaitu sebuah syarikat hartanah yang dimiliki oleh kerajaan Dubai, membuat rancangan untuk mengubah wilayah tersebut secara radikal, semuanya hanya dalam tempoh dua dekad.

Antara tahun 2001 dan 2006, sejumlah rancangan telah diumumkan.

Syarikat itu merancang tiga projek pulau yang berbeza yang mana apabila dilihat dari luar angkasa, kelihatan seperti pokok palma.

Ketiga-tiga projek tersebut dinamakan sebagai Palm Jumeirah, Palm Jebel Ali dan terakhir Palm Deira, yang terbesar setakat ini.

Sebagai tambahan, "The World" juga diumumkan.

palm jumeirah palm jebel ali palm deira the world

(Projek mega di pesisir pantai Dubai)

Kawasan yang berbeza dirancang, dari perumahan dengan berkepadatan rendah, kompleks-kompleks berkepadatan tinggi dan pulau-pulau yang dapat digunakan secara komersial.

Pada fasa kedua, "The World" dirancang untuk dilengkapi dengan projek lain yang lebih besar, iaitu "The Universe".

Kepulauan buatan manusia dirancang, yang menyerupai bentuk matahari, bulan serta planet-planet dalam sistem suria, Milky Way dan galaksi yang jauh.

Di sebelah Palm Jebel Ali, satu lagi projek raksasa bakal dibina iaitu Dubai Waterfront.

Pulau-pulau ini dirancang untuk menyerupai bintang dan bulan sabit yang merupakan simbol penting dalam Islam. Projek pembinaan ini diiklankan sebagai projek pembangunan buatan manusia terbesar di dunia.

Bentuknya juga dicipta untuk berfungsi sebagai pelindung kepada Palm Jebel Ali daripada hakisan. Dengan adanya projek-projek ini, Dubai yang terletak di antara Abu Dhabi dan Sharjah, dilihatkan akan berubah secara drastik.

Pulau-pulau itu dilihatkan sebagai projek berprestij yang mempunyai sasaran lebih besar untuk mengembangkan Dubai menjadi tempat pelancongan utama, dan dengan itu mewujudkan sumber pendapatan baru bagi kawasan yang memperoleh sebagian besar kekayaannya melalui pengekstrakan minyak.

Akan tetapi, rancangan ini menemui kegagalan besar.

nakheel properties

Pada tahun 2001, Nakheel Properties mula membina Palm Jumeirah di mana projek ini sahaja akan melipatgandakan panjang pantai Dubai.

Pada tahun 2006, penambakan tanah selesai dan pangsapuri pertama diserahkan kepada pembeli.

Sebahagian besar daripada pantai ini mempunyai rumah-rumah milik peribadi manakala sebilangan besar hotel mewah dibina di sepanjang pesisir pantai, yang melindungi pulau buatan tersebut dari ribut.

Ketika Palm Jumeirah masih dalam pembinaan, projek-projek lain sudah mula terbentuk yang membawa kepada pencapaian baharu dalam kadar pertumbuhan Dubai pada abad ke-21.

Ini sekaligus membuatkan pasaran hartanah mengalami ledakan pesat dan sejumlah projek berprestij, seperti Burj Khalifa yang merupakan bangunan terbesar dan tertinggi di dunia telah dibina.

Pada September 2008, Hotel Atlantis di Palm Jumeirah meraikan pembukaannya dengan pertunjukan bunga api melebihi RM80 juta.

hotel atlantis di dubai

(Hotel Atlantis di Dubai)

Tetapi perayaan mewah itu tidak dapat mengubah hakikat bahawa krisis kewangan antarabangsa pada tahun 2008 mula memberikan kesan kepada Dubai.

Disebabkan oleh permintaan yang semakin merosot, harga sebidang tanah juga merudum dengan begitu cepat dan pembangunan Palm Jebel Ali terhenti.

Pada tahun 2011, Nakheel Properties menawarkan pemulangan wang kepada pelabur dan sejak itu, projek dahsyat ini ditangguhkan.

Tebing pasir kosong yang mencecah 7 kilometer ke laut kelihatan seperti dilupakan.

Ia terletak di belakang Pelabuhan Jebel Ali tanpa pembangunan bandar berhampirannya dan sebahagian besar daripada pemandangan indah yang diimpikan oleh perancang projek nampaknya hanya menjadi mimpi.

Penambakan tanah Dubai Waterfront juga jauh daripada apa yang dirancang, namun kita sudah dapat melihat bentuk beberapa pulau melalui gambar satelit.

Malangnya, projek ini juga telah dihentikan.

ilustrasi rancangan pembinaan dubai waterfront

(Ilustrasi rancangan pembinaan Dubai Waterfront)

Situasi serupa berlaku kepada Palm Deira di mana penambakan tanah telah berjalan tetapi masih jauh untuk diselesaikan.

Pada tahun 2013, Nakheel Properties memutuskan untuk cuba menyelamatkan projek ini dengan menjenamakannya semula.

Daripada terus membina tanah baru, projek ini diperkecilkan dan sekarang hanya disebut sebagai Kepulauan Deira.

Dan masih ada kerja pembinaan yang sedang berjalan, termasuklah pusat membeli-belah dan dua bangunan tinggi.

Bagi projek The World pula, pembinaan tanah hampir siap dan sebahagian besar daripada pulau-pulau itu telah pun dijual sebelum krisis ekonomi melanda.

Namun pulau-pulau ini tidak lagi dibangunkan kerana kebanyakan daripada pelabur yang membelinya berhadapan dengan masalah sendiri selepas krisis kewangan.

Dan walaupun pelaburan terhadap projek baru di Dubai meningkat setelah krisis ini, projek The World tidak mendapat faedah daripadanya kerana kurangnya keyakinan terhadap pulangan daripada pelaburan seperti ini.

10 tahun selepas projek ini diumumkan, The World dikatakan sudah tidak lagi sesuai dengan dunia pada hari ini.

palm jumeirah dubai 2

(Palm Jumeirah)

Banyak kebimbangan muncul berkaitan dengan tahap keselamatan dan kadar usia projek itu apabila laporan berita menyatakan bahawa saluran-saluran kecil di antara pulau-pulau itu mula mengenai mendap.

Dan kenaikan paras laut adalah bahaya yang semakin membimbangkan untuk projek seperti ini.

Secara umumnya, kebimbangan berkaitan dengan projek penambakan tanah muncul. Penduduk di Palm Jumeirah mengkritik kualiti air yang diterima mereka.

Walaupun pembinaan di pesisir pantai penting untuk melindungi Palm Jumeirah dari hakisan, ia juga menghalang pergerakan pasang surut semula jadi yang menyebabkan air laut di kepulauan itu bertakung.

Selain itu, masalah alam sekitar semakin mendapat perhatian. Penimbunan beratus-ratus ribu tan pasir di dasar laut yang sebelumnya rata mempunyai kesan terhadap ekologi laut.

pekerja migran dubai

Sebahagian besar daripada pulau-pulau itu terdiri daripada pasir yang dikoreak dari perairan pantai cetek Dubai dan terdapat kebimbangan bahawa ini membawa kepada ketidakstabilan tanah pantai, yang boleh membawa kepada hakisan pantai semula jadi.

Walaupun kesan ini telah lama diketahui, ia menjadi semakin sukar untuk memasarkan projek yang dianggap berbahaya bagi alam sekitar.

Oleh itu, banyak projek yang dipromosikan dalam beberapa tahun kebelakangan ini berusaha untuk mengambil kira kesesuaian persekitaran.

Di samping itu, kesukaran hidup bagi pekerja binaan migran di Dubai adalah satu topik yang semakin mendapat perhatian media.

Namun demikian, ada projek pembangunan di kepulauan ini yang mula terbentuk.

pulau upernavik di dubai

(Pulau Upernavik di The World)

Pada awalnya, hanya ada satu sahaja pulau yang telah dibangunkan, iaitu Pulau Upernavik.

Vila ini berfungsi sebagai rumah pameran untuk mempromosikan projek ini.

Pada musim panas 2012, Royal Island Beach Club dibuka di pulau Lebanon dan kelab ini menjadi lokasi pelancongan yang boleh sampai ke sini dengan kapal. 

Projek terbesar melibatkan kepulauan ini diumumkan pada tahun 2014 di mana seorang pelabur hartanah Austria merancang untuk membangunkan sejumlah projek di pulau-pulau Eropah.

pembinaan the hearts of europe 782

(Fasa 1 The Hearts of Europe dirancang dibuka penghujung tahun 2020)

Projek ini dipanggil "The Hearts of Europe" dan sasarannya adalah untuk mencipta Eropah mini, dengan hotel mewah yang diilhamkan oleh tempat-tempat seperti Venice atau Monaco.

Selain sejumlah restoran makanan Eropah, pelabur tersebut juga merancang untuk membangun sebuah plaza di pulau Swiss dengan salji buatan.

Projek ini sedang dalam pembinaan dan hanya masa sahaja yang akan menentukan sama ada ia akan membawa kejayaan ekonomi yang diinginkan.

Rujukan:

1. Forbes

2. Neo

3. Zawya




Hakcipta iluminasi.com (2017)