Dikenali sebagai syurga bagi mereka yang berbadan gebu untuk berseronok tanpa berasa malu tentang masalah berat badan, The Resort dipercayai merupakan destinasi pelancongan pertama dalam dunia yang menerima pengunjung atau pelanggan dikalangan individu obesiti, montok, gemuk, tembam dan berbadan gempal.
Terletak di suatu lokasi yang tersorok di Pulau Eleuthera di tengah-tengah Caribbean, pusat penginapan itu membuka pintunya sejak dua tahun yang lalu. Ia telah menjadi sangat popular di kalangan pelancong yang mengalami berat badan berlebihan dan menginginkan privasi serta ketenangan daripada dihakimi oleh mana-mana makcik bawang.
BESARKAN TEKS A- A+
Keseluruhan kompleks itu dibina dari awal sehingga ke akhir dengan mengambil kira keperluan orang yang obes. Pintu-pintu laluan dibina lebih besar daripada biasa, setiap katil dipasang dua tetulang besi untuk menampung berat badan dan kesemua kerusi lepak dibina selebar satu meter menggunakan kayu yang sangat teguh. Malah, tandas juga direka untuk menampung bentuk fizikal dan berat badan para pelanggan ini.
Pusat peranginan ini dicipta oleh usahawan bernama James King yang mendakwa telah mendapat idea sejak 14 tahun yang lalu. Ketika itu, dia telah menyaksikan satu insiden yang memalukan di mana satu individu yang gemuk telah mematahkan sebuah perabot secara tidak sengaja. Seolah-olah kejadian itu tidak cukup memalukan lagi bagi individu terbabit, dia perlu membayar pula wang ganti rugi sebanyak 150 dolar.
Kejadian yang berlaku di bawah pengurusannya sebagai Pengarah Urusan ketika itu memerlukan dia bertindak mengikut polisi hotel. Disebabkan itulah pelanggan tersebut terpaksa membayar penalti kerana telah merosakkan harta benda milik hotel.
Kemudian King telah memilih untuk membangunkan tempat di mana semua orang boleh datang dan menjalani percutian menyeronokkan tanpa dinilai oleh sesiapa. Para pengunjung tidak perlu takut ditertawakan apabila memakai baju renang atau apabila menghasilkan percikan air yang kuat semasa terjun ke dalam kolam renang. King dan para pekerjanya faham akan sifat kurang keyakinan diri akibat kegemukan dan obesiti, jadi mereka berusaha untuk membuat semua tetamu berasa selesa.
Menurut seorang pengunjung, Amy Flahery yang datang ke situ bersama suaminya, sebelum ini dia sering risau apabila ingin berjemur atau terjun ke dalam kolam. Dia pernah berpengalaman mematahkan sebuah kerusi plastik dan menjadi bahan gurauan orang yang melihat. Namun, dengan kewujudan hotel yang khusus untuk individu sepertinya, dia tidak perlu lagi khuatir akan mematahkan apa-apa perabot atau tidak muat untuk duduk di mana-mana kerusi.
Shawn-Marie Riley, wanita dari Texas dengan berat badan 170kg, juga mempunyai pandangan yang sama seperti Flahery. Menurutnya, pusat penginapan itu mengambil kira ketidakyakinan dan cabaran yang tidak pernah diambil peduli oleh orang lain. Adakah golongan ini akan mempunyai kerusi untuk duduk? Adakah katil boleh menampung berat badan mereka? Adakah mereka akan muat untuk berendam di dalam tab mandi? Kesemua isu ini dititikberatkan dan diserap ke dalam resort.
Sekitar 60% tetamu resort itu datang dari Amerika Syarikat dan selebihnya datang dari negara Eropah seperti United Kingdom dan Sepanyol. Walau bagaimanapun, jika anda bercadang melawat ke pusat penginapan ini, ia hanya menerima kunjungan dalam kumpulan kecil dan tidak menerima pelancong yang datang berseorangan untuk menjaga keselesaan pengunjung lain.
King berkata, industri hospitaliti tidak sepatutnya mengabaikan 40% populasi dunia ini. Kini dia bercadang untuk membuka resort kedua di Pulau Cat yang terletak tidak jauh dari Pulau Eleuthera. Hotel baru ini akan dibuka kepada pasangan dan juga pelancong individu.
Rujukan:
2. The Sun
3. Independent
4. The Resort