Oleh pada 04 May 2018 kategori

Tahun 1200an bermula dengan baik buat dunia Islam. Tentera Salib telah berjaya ditewaskan, Jerusalem berjaya dibebaskan pada tahun 1187, Ismaili Fatimids pula berjaya dikalahkan sekitar pertengah 1100an, dan Empayar Khwarazmian yang kuat juga mula muncul di Parsi. Walaubagaimanapun, semuanya akan akan beralih arah setelah ketibaan tentera Mongol dari barat daya Asia. Kehancuran dan kerosakan yang dilakukan mereka meninggalkan kesan yang mendalam terhadap sejarah peradaban dunia.

Siapakah orang Mongol?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mongol sebenarnya adalah sekumpulan suku kaum yang hidup secara nomad (berpindah randah) di sekitar utara Asia dan Asia Tengah. Mereka sangat bergantung kepada kuda sebagai kenderaan utama untuk mereka bergerak. Dari segi agama, mereka adalah animis politeisktik, yakni kepercayaan terhadap alam semula jadi. Berdasarkan sejarah, suku kaum ini sentiasa berperang dengan jiran mereka. Malah, empayar China turut terkesan dengan tentera Mongol, sehingga memaksa mereka untuk membina Tembok Besar China bagi menghalang serangan yang berterusan. 

Seorang pahlawan Mongol yang muda yang bernama Temujin berjaya menyatukan suku kaum Mongol, dan mengambil nama Genghis Khan. Cucunya, Hulagu adalah individu yang bertanggungjawab meluaskan empayar Mongol sehingga ke kawasan yang kini kita kenali sebagai Iraq dan Syria.

Matlamat utama Hulagu adalah untuk memantapkan lagi genggamannya terhadap rantau Parsi. Antara langkah pertama yang dilakukannya adalah dengan membunuh kesemua ahli kumpulan fanatik Shiah yang dikenali sebagai 'Assassins', dan menghancurkan kubu kuat mereka di pergunungan Parsi. Seterusnya, tentera Mongol berarak menuju ke barat bagi menyerang Empayar Abbasiyah. 

Mengenali Empayar Abbasiyah

mengenali empayar abbasiyah

Sebelum datangnya Islam, Baghdad adalah sebuah perkampungan nelayan yang sunyi dan tenang. Kehadiran Islam membawa cahaya lembaran baharu kepada kawasan berkenaan, dan diangkat menjadi sebuah ibu negeri kepada kerajaan Abbasiyah di bawah pimpinan Khalifah Al-Mansur pada tahun 762. Kejayaan cucu baginda, iaitu Khalifah Harun Al-Rashid menaik taraf kota itu kepada pusat ilmu berjaya menarik para ilmuan termasuklah saintis, sarjana agama, penyair dan ahli seni untuk datang ke Baghdad. 

Dalam tempoh sekitar 400 tahun sejak kurun ke-8, para ilmuan, penyelidik dan penulis telah berjaya menghasilkan banyak manuskrip dan buku ilmiah. Antara buku yang ditulis termasuklah tentang teknologi penghasilan kertas yang diperolehi daripada empayar China melalui Perang Sungai Talas. Teknologi ini membolehkan masyarakat Baghdad pandai membaca, menulis dan menjadi lebih berilmu. 

Serangan Tentera Mongol Terhadap Empayar Abbasiyah

serangan tentera mongol ke atas baghdad

tentera mongol menyerang empayar abbasiyah

Pemerintah kerajaan Abbasiyah pada ketika itu, Khalifah Al-Musta'sim sudah mendengar ura-ura tentang kejatuhan Shiah di Parsi, dan kemaraan mereka ke Baghdad. Namun, baginda sangat yakin bahawa seluruh dunia Islam akan bersatu untuk mempertahankan kedaulatannya, sekiranya diperlukan. 

Pada penghujung tahun 1257, Hulagu menghantar mesej kepada Khalifah Al-Musta'sim agar baginda membuka pintu utama kota Baghdad supaya tentera Mongol dan sekutu mereka iaitu Kristian dari Georgia dapat memasuki kota berkenaan. Baginda membalas dengan berkata Hulagu dan tenteranya harus pulang ke tempat asal mereka. Berang dengan kata-kata tersebut, Hulagu mengarahkan tentera Mongol untuk mengelilingi dan menyerang kota tersebut dari pelbagai arah. Akibatnya, mereka berjaya memasuki kota Baghdad dan membunuh tentera Abbasiyah dan kebanyakan rakyat. 

Tentera Abbasiyah hanya bertahan selama 12 hari, sebelum mereka berundur kerana tentera Mongol terlalu ramai dan kuat. Setelah runtuhnya dinding tembok kota itu, tentera musuh berpusu-pusu masuk bagi mendapatkan harta dan barangan berharga seperti perak, emas dan permata. Berpuluh ribu tentera dan rakyat Baghdad telah dibunuh.

bayt al hikmah dihancurkan tentera mongol

Buku ilmiah yang dihasilkan melalui terjemahan dan kajian yang terdapat di gedung ilmu Bayt al Hikmah, atau House of Wisdom atau Grand Library of Baghdad pula dibuang ke Sungai Tigris. Jumlah buku di pusat itu adalah terlalu banyak, sehingga ada yang mengatakan bahawa ianya boleh dijadikan jambatan untuk kuda menyeberangi sungai. Malah, ramai saksi menyatakan bahawa Sungai Tigris menjadi hitam kemerahan kerana kelunturan dakwat daripada buku-buku yang bercampur dengan darah mangsa pembunuhan beramai-ramai. 

Istana pemerintah yang dibina menggunakan kayu eksotik pula dibakar sehingga hangus, malah Khalifah Al-Musta'sim sendiri dibunuh, dan keluarga baginda dipenjarakan. Tentera Mongol percaya tumpahan darah keluarga diraja boleh mengakibatkan bencana alam seperti gempa bumi. Sebagai langkah berjaga-jaga, mereka membungkus baginda di dalam hamparan karpet, dan memijak baginda menggunakan kuda, sehingga mati. 

Kesan Serangan Tentera Mongol ke Atas Empayar Abbasiyah

baibars sultan mesir tewaskan tentera mongol

perang ain jalut tentera mongol kalah

Kejatuhan Baghdad adalah penunjuk berakhirnya Empayar Abbasiyah yang berusia ratusan tahun. Selepas Baghdad, tentera Mongol meneruskan perluasan kuasa mereka ke barat. Mereka berjaya menakluki Syria daripada Ayyubids, dengan bantuan tentera Armenia dan tentera Salib. Tentera Mongol juga berjaya meluaskan kawasan taklukan mereka sehingga ke Palestin.

Sultan Mesir ke-4 daripada dinasti Mamluk Bahri, iaitu Sultan Baibars akhirnya berjaya menewaskan tentera Mongol dalam Peperangan Ain Jalut pada tahun 1260. Kemenangan ini berjaya mengelakkan Kota Suci Mekah, Madinah dan Jerusalem daripada ditakluki. Kejayaan ini juga berjaya memastikan keteguhan satu-satunya empayar Islam pada ketika itu, iaitu empayar Mamluk, bagi menyelamatkan masyarakat Islam daripada terus dibunuh. 

Walaupun tentera Mongol tidak berjaya dalam usaha mereka untuk meluaskan kuasa dan menghancurkan Islam, kesan yang ditinggalkan adalah sangat parah dan mendalam terutamanya terhadap sosial, politik, ekonomi dan ketenteraan dunia Islam. Pembunuhan dan kehancuran yang dilakukan oleh tentera Mongol mengingatkan kita untuk sentiasa bersedia daripada serangan musuh, dan jangan sekali-kali berasa terlalu yakin dan memandang rendah terhadap pihak lawan. 

Rujukan:

  1. thoughtco.com
  2. islam.ru
  3. hizb-australia.org



Hakcipta iluminasi.com (2017)