Constantinople telah bertahan melawan serangan dan pengepungan sejak berabad-abad lamanya. Ia kekal bertahan sehingga akhinya teknologi baru meriam besar Empayar Uthmaniyyah telah dibawa ke ibu kota Empayar Byzantine itu.

Kejatuhan Constantinople pada bulan Mei 1453 itu menandakan berakhirnya zaman kegemilangan kebanyakan empayar di Eropah dan Asia Barat. Selepas meriam besar membedil kubu Constatinople, tentera Uthmaniyyah merampas bandar purba itu dan membunuh sesiapa sahaja yang melawan. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Hampir 4,000 orang telah terkorban dan 50,000 lagi menjadi tawanan perang. Ada penduduk Constantinople yang membunuh diri kerana takut untuk menghadapi tentera Uthmaniyyah atau dijadikan hamba.

Latar belakang Constantinople

constantinople 31

Constantinople adalah ibu kota kepada Empayar Byzantium atau Empayar Rom Timur. Ia juga menjadi salah satu kota utama bagi agama Kristian. Bandar ini dinamakan sempena Maharaja Constantine yang memerintah pada kurun ke-4 Masihi ketika pada hari-hari awal kebangkitan Kristian. Hari ini, bandar ini dinamakan Istanbul dan kebanyakan penduduknya adalah Muslim.

Namun, ini bukanlah kali pertama Constantinople dan Empayar Byzantine diserang. Sebelum Empayar Uthmaniyyah menyerang bandar itu pada kurun ke-15, Constantinople telah berjaya menahan beberapa serangan lain seperti:

  • Pada kurun ke-7 dan ke-8 oleh bangsa Arab
  • Pada kurun ke-9 oleh Bulgar Khan (Khan of Bulgaria)
  • Pada kurun ke-9, 10 dan 11 oleh Kievan Rus
  • Pada kurun ke-9 oleh Thomas the Slav
  • Pada kurun ke-13 oleh Tentera Salib (mereka berjaya menawan buat seketika kerana pintu kubu dibiarkan terbuka)

Tentera Byzantine yang berpangkalan di dalam bandar dan mempunyai armada di pelabuhan telah menghalang penceroboh daripada berjaya selama beberapa abad lamanya. Ini kerana angkatan bersenjata Constantinople mempunyai senjata rahsia yang dipanggil "Greek Fire" iaitu cecair yang sangat mudah terbakar.

Tembok Constantinople

3 lapisan tembok constantinople 577

Aset terbesar kota itu adalah tembok pertahanan dan paritnya. Pada abad ke-5, Maharaja Theodosius II telah membangunkan sistem pertahanan kota itu dengan membina tiga lapisan tembok sepanjang 6.5 km.

Selain itu, Constantinople terletak di bahagian semenanjung dan dikelilingi oleh tiga sisi laluan air. Adalah sangat mudah untuk menghalang kapal daripada menghampiri dengan memasang rantai di bawah permukaan air pada laluan masuk.

Ketika berlakunya serangan tentera Uthmaniyyah pada April 1453, dianggarkan hanya 5,000 orang tentera sahaja yang mengawal bandar itu dan beberapa buah kapal mempertahankan perairannya. Kali ini pasukan Byzantine telah kalah dari segi bilangan tentera, senjata dan kapal.

Uthmaniyyah meminta Constantinople menyerah

potret sultan muhammad al fatih

Potret Sultan Muhammad al-Fatih

Pada 5 April 1453, Sultan Muhammad al-Fatih atau dikenali juga sebagai Muhammad II dan tenteranya telah mengepung Constantinople. Sultan yang hanya berusia 21 tahun itu telah menghantar utusan kepada Maharaja Constantine IX, menuntut supaya menyerah kepada tentera Uthmaniyyah.

Constantine IX tidak memberikan sebarang respon. Sultan Muhammad al-Fatih bertekad untuk menawan kota purba itu dan dia sememangnya mempunyai jumlah kekuatan yang cukup bagi menyokong tindakannya itu.

Tidak seperti mereka yang pernah menyerang Constantinople sebelum ini, Muhammad al-Fatih mempunyai senjata berat yang direka oleh seorang rakyat Hungary bernama Orban. Kekuatan pasukan Muhammad al-Fatih dianggarkan antara 60,000 hingga 200,000 orang tentera. Dia juga mempunyai sebuah armada besar yang menunggu di luar untuk memasuki pelabuhan Costantinople.

meriam tentera uthmaniyyah

Meriam milik tentera Uthmaniyyah itu sangat menggerunkan. Salah satu daripada jenis meriam itu berukuran 9 meter panjang dan lubang meriam itu berukuran 1 meter diameter. Meriam itu boleh menembak peluru seberat 500 kg dengan jarah sejauh 1.5 km.

Meriam itu akan menjadi terlalu panas hinggakan hanya boleh ditembak sebanyak tujuh kali sahaja sehari. Akan tetapi, tentera Uthmaniyyah mempunyai meriam lain yang lebih hebat dan boleh menembak sebanyak 100 kali sehari.

Pengeboman tanpa henti

Keesokan harinya pada 6 April, meriam besar Uthmaniyyah mula memecahkan tembok Constantinople menjadi runtuhan. Tentera Constantinople membalas serangan pada tembok yang berlubang dan cuba membaik pulih tembok itu pada sebelah malam. Tentera Constantinople juga mempunyai meriam mereka sendiri namun jauh lebih kecil berbanding Uthmaniyyah.

lukisan pelabuhan constantinople 71

Lukisan pelabuhan Constantinople

Pengeboman ke atas Constantinople berlangsung selama enam minggu lamanya. Tentera Constantinople cuba untuk memasang rantai pada perairan kota mereka tetapi tentera Uthmaniyyah berjaya mematahkan perangkap mereka.

Armada Uthmaniyyah berjaya membawa masuk sebanyak 70 buah kapal ke dalam pelabuhan Constantinople. Mereka mula mengebom tembok yang lebih lemah menghadap laut.

Pemberontakan di Asia Minor

Pada akhir bulan Mei, Sultan Muhammad al-Fatih menerima berita bahawa beberapa tanah jajahannya di Asia Minor sedang berlakunya pemberontak kerana kebanyakan tenteranya telah dikerahkan ke Constantinople.

patung maharaja constantine xi

Patung Maharaja Constantine XI

Pada waktu ini Sultan Muhammad al-Fatih telah membuat tawaran kepada Maharaja Constantine IX agar maharaja itu membayar ufti kepadanya dan sultan akan menarik balik pengepungan terhadap Constantinople agar dapat kembali ke Asia Minor.

Akan tetapi, Maharaja Constantine IX telah menolak tawaran itu. Ia merupakan satu kesilapan besar yang telah dilakukan oleh maharaja Empayar Byzantine itu. Sultan Muhammad al-Fatih kemudian mengarahkan tenteranya untuk terus menyerang dan menawan Constantinople yang merupakan bandar terkaya di dunia ketika itu.

Pada 29 Mei 1453, selepas 57 hari mengepung Constantinople akhirnya Sultan Muhammad al-Fatih berjaya menawan kota itu. Mereka menaikkan bendera Uthmaniyyah dan membuka pintu utama di bandar itu bagi membolehkan tentera selebihnya masuk.

masjid hagia sophia

Masjid Hagia Sophia

Pasukan tentera Uthmaniyyah telah menghancurkan berhala-berhala, lukisan dan gereja Kristian. Sultan Muhammad al-Fatih masuk ke bandar itu pada hari yang sama dan menitahkan agar gereja Hagia Sophia yang megah itu akan ditukarkan menjadi sebuah masjid.

Selepas penaklukan kota purba itu, Sultan Muhammad al-Fatih telah memindahkan ibu kota Uthmaniyyah dari Andianople (Edirne di Turki) ke Constantinople.

Rujukan:

1. Ancient

2. Eye Witness To History

3. War History Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)