Jebe adalah seorang jeneral Mongol yang terkenal dan berkhidmat di bawah pimpinan Genghis Khan yang terkenal. Dia adalah lelaki yang berjaya menembak anak panah pada Genghis Khan semasa pertempuran berlaku.
Apa yang anehnya ialah, penakluk Mongol yang terkenal dengan kebengisannya itu telah mengambil lelaki yang ingin membunuhnya itu untuk berkhidmat dengannya. Jebe yang tidak pernah mengecewakan tuannya yang baru itu menjadi salah seorang panglima paling berbakat dan setia kepada Genghis Khan.
BESARKAN TEKS A- A+
Jebe dilahirkan pada abad ke-12 Masihi. Nama asal Jebe semasa dia dilahirkan ialah Zurgudai. Jebe direkodkan sebagai sebahagian daripada puak Besud yang merupakan sebahagian daripada suku Taichud. Pada tahun 1201, dia telah menyertai 'Pertempuran 13 Pihak' menentang Genghis Khan.
Kisah Jebe dan anak panahnya
Menurut salah satu versi cerita, Jebe telah berjaya melukai Genghis Khan dan kudanya menggunakan anak panahnya semasa pertempuran berlaku. Genghis Khan yang kemudiannya berjaya memenangi pertempuran itu ingin tahu siapakah yang telah mencederakannya.
Genghis Khan telah bertanya kepada tawanan perang yang berjaya ditangkapnya. Jebe kemudian mengaku bahawa dialah yang telah menembak Genghis Khan. Jebe juga mengatakan bahawa dia tidak takut mati. Namun, sekiranya dia dibiarkan hidup, dia berjanji akan berkhidmat dengan Genghis Khan dengan setia.
Dalam satu lagi cerita yang kurang popular, Jebe dikatakan telah melarikan diri dari pengikut Genghis Khan kerana pasukannya kalah dalam pertempuran. Sebelum dapat ditangkap, Jebe berjaya membunuh kuda Genghis Khan dengan anak panah yang ditembaknya. Sebagai pertukaran untuk nyawanya, Jebe telah berjanji untuk menggantikan kuda Genghis Khan yang mati dengan memberikannya lebih banyak lagi kuda yang baik.
Walau apapun kisahnya, Genghis Khan terkesan oleh seorang tentera yang telah dikalahkannya ini sekaligus mengambil lelaki itu untuk berkhidmat dengannya. Genghis Khan jugalah yang telah memberikan lelaki ini dengan panggilan Jebe, yang membawa maksud 'panah' dalam bahasa Mongolia.
Selepas diterima masuk, Jebe telah berkhidmat untuk Genghis Khan dengan sangat setia. Dengan bakatnya yang ada, Jebe telah berjaya menaiki hierarki pangkat dalam tentera Mongol dengan cepat.
Menurut satu kisah, kenaikan pangkat Jebe dengan cepat telah menyebabkan ada pihak yang cemburu dan khabar angin mengenainya mula tersebar. Khabar angin itu mengatakan bahawa Jebe merancang untuk memberontak terhadap Genghis Khan.
Untuk menafikan khabar angin itu serta menunjukkan kesetiannya, dia segera menemui Genghis Khan dan menghadiahkan tuannya itu dengan 100 ekor kuda putih. Sejak itu, penakluk terhebat Mongol itu telah meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap Jebe.
Panglima Jebe
Jebe sememangnya seorang jeneral yang berkebolehan. Pada tahun 1204, Genghis Khan telah berjaya mengalahkan suku Naiman, satu suku Mongolia yang kuat. Para pemimpin suku Naiman ini telah membentuk satu liga untuk menentang Genghis Khan.
Suku Naiman yang terselamat daripada pertempuran itu telah melarikan diri ke barat. Menyedari bahawa puak-puak ini mempunyai peluang untuk membentuk semula pakatan baru dan boleh menjadi ancaman di masa hadapan, Genghis Khan telah memutuskan untuk mengejar dan menghapuskan saki-baki kaum itu.
Jebe adalah salah seorang jeneral yang diberikan kepercayaan untuk melakukan tugasan ini. Selama beberapa tahun lamanya, Jebe menjadi begitu asyik dengan misi memburu suku Naiman yang terselamat.
Pertempuran Mongol dengan Dinasti Jin
Jebe kemudian telah dipanggil untuk pulang dan mengambil bahagian dalam kempen menentang Dinasti Jin yang bermula pada tahun 1211. Pada tahun 1215, ibukota Dinasti Jin iaitu Zhongdu telah jatuh ke tangan puak penakluk Mongol.
Jebe kemudian dihantar sekali lagi ke barat, di mana dia ditugaskan untuk mengejar Kuchlug. Kuchlug adalah pemimpin kaum Naiman yang masih belum berjaya dijejaki oleh Jebe semasa misi pemburuannya yang terdahulu.
Pertarungan Sungai Kalka
Al-Khawarizmi
Jebe juga merupakan sebahagian daripada pasukan yang dihantar untuk menyerang Empayar Khawarizmi. Pasukan yang dihantar Genghis Khan itu berjaya mengalahkan tentera Khawarizmi dan memusnahkan empayar mereka.
Kemudian, Jebe dan seorang lagi jeneral bernama Subutai diberikan tugas untuk memimpin pasukan ekspidisi di sekitar Laut Kaspia. Dalam ekspidisi itu, tentera Mongol telah menyerbu Azerbaijan, menyerang Georgia dan bergerak di sepanjang pantai barat Laut Kaspia hingga ke Rusia.
Di sepanjang perjalanan mereka, tentera Mongol telah berjaya mengalahkan tentera Georgia, satu pakatan suku Turki dan suku Cuman. Beberapa suku Cuman yang terselamat telah merayu bantuan daripada putera Rusia.
Pihak Rusia kemudian telah mengumpulkan pasukan tentera mereka. Bersama sekutu mereka iaitu kaum Cuman, mereka cuba untuk mengepung tentera Mongil di tebing Sungai Dnieper. Walau bagaimanapun, tentera Mongol telah mengundurkan diri ke arah timur.
Panglima musuh yang kalah pada Pertempuran Sungai Kalka ditangkap hidup-hidup dan diseksa Mongol
Hal itu membuatkan tentera Rusia terpaksa mengejar tentera Mongol selama sembilan hari. Akhirnya, tentera Mongol tiba di tebing Sungai Kalka. Mereka kemudian berpatah balik dan menyerang tentera Rusia.
Pada Pertempuran Sungai Kalka yang berlaku pada tahun 1223 itu, tentera Rusia berjaya dikalahkan oleh tentera Mongol. Ini adalah pertemuan pertama Mongol dengan Rusia.
Kejadian ini telah membuka jalan untuk misi pencerobohan Mongol terhadap Eropah Timur pada 15 tahun kemudian. Panglima Jebe telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang ke Mongolia setelah kemenangan menentang tentera Rusia itu.
Rujukan:
1. History
2. Britannica