Seorang pemuda Jepun yang sebelum ini hidup secara gelandangan telah mengubah hidupnya dengan menjadi "hos profesional" untuk salah satu kelab terbesar di negara itu.

Akaya Kunugi yang satu ketika dahulu hanya hidup dengan makan mi segera berharga $1, kini berpendapatan lumayan mencecah RM760,000 sebulan.

Sudah tentu anda tak pernah mendengar nama profesion hos profesional kan? Nama lain bagi kerjaya ini adalah, gigolo. Namun, jangan menuduh bukan-bukan dahulu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tugas sebenar hos profesional

Mungkin anda ingin tahu, apakah tugas seorang hos profesional ini? Tugas mereka adalah minum dan berborak dengan pelanggan, terutamanya wanita, di kelab tersebut.

Jadi, apa sebenarnya yang dilakukan oleh mereka adalah mereka harus membuatkan para pelanggan membeli minuman yang dijual di kelab. Lebih mahal harga minuman, lebih tinggi komisen mereka.

akaya kunugi melayan pelanggan

Akaya Kunugi dianggap sebagai hos nombor 1 di Acqua Group, salah satu kelab gigolo terbesar dan terpopular di Jepun. Akaya bekerja di cawangan utama syarikat ini di Kabukicho, yang terbesar di negara ini. 

Mengimbau kembali bagaimana dia boleh menceburkan diri dalam industri ini, Akaya mendedahkan bagaimana dia hidup berdikari selepas berhenti dari alam persekolahan.

Menurut Akaya, selepas tamat sekolah menengah rendah, dia cuba untuk memasuki sebuah sekolah menengah yang popular pada ketika itu.

Sekolah tersebut terkenal dengan pelajar yang bodoh dan sesiapa sahaja boleh memasukinya hanya dengan menulis nama.

Gagal masuk sekolah menengah 3 kali

Tetapi, syarat itu pun tidak dilepasi oleh Akaya. Selepas 3 gagal memasuki sekolah tersebut, ibu bapa Akaya menyuruhnya untuk hidup sendiri, membuatkan dia memutuskan untuk bekerja demi menyara hidupnya.

Pekerjaan pertama yang dilakukan oleh Akaya adalah bekerja sebagai pekerja di tapak pembinaan selama 6 bulan. Selepas 6 bulan, Akaya membina sebuah rumah kecil di sebuah taman, menggunakan kotak kadbod.

Walaupun tidak menyambung persekolahan, Akaya faham bahawa kini hidupnya ditentukan sendiri olehnya sepenuhnya. Dengan wang sebanyak RM220, remaja 16 tahun ini berhijrah ke Tokyo untuk meneroka peluang untuk dirinya sendiri.

poster akaya kunugi

"Sudah tentu impian saya ketika kecil bukanlah untuk menjadi seorang gigolo. Tetapi saya mempunyai impian yang besar, seperti memiliki sebuah kereta sport, jam mewah dan pakaian berjenama. Saya mengimpikan semua ini," kata Akaya.

Dan tanpa pengetahuannya, Akaya bakal memiliki apa yang diingininya beberapa tahun kemudian.

Walaupun pelbagai cabaran mendatang, Akaya yang masih mudah mengharungi kehidupan dengan keazaman dan kepintaran "street-smart" yang mana tidak diajar di sekolah.

Akaya fikir masak-masak tentang langkah seterusnya dan ke mana hala tujunya, lalu memutuskan untuk menjadi seorang gigolo.

Seperti perniagaan lain, bermula dalam industri kelab ini adalah tempoh yang mencabar bagi Akaya Kunugi.

Pada usia 18 tahun, dia perlu membersihkan kelab itu 2 hingga 3 jam sebelum syifnya bermula, dan sekali lagi membersihkan kelab selepas ia ditutup, kecuali jika dia menjana pulangan sebanyak RM18,500 untuk kelab tersebut setiap malam.

Akaya tidak dibayar secara jam tetapi secara komisen. Jumlah gaji yang diperolehinya adalah sebanyak RM75 sehari selepas ditolak yuran penalti kerana membawa pulangan rendah kepada kelab. 

"Sudah tentu ia haram, tetapi saya mempunyai impian. Itu yang buatkan saya kuat," jelas Akaya.

akaya kunugi bersama jam mewahnya

Dan Akaya mula menyedari bahawa kerja keras tak semestinya memberikan pulangan yang lumayan. Dia pernah bekerja begitu keras tetapi mendapat gaji sebanyak RM1,600. 

"Bagaimana saya nak hidup? RM600 dibelanjakan untuk bil telefon, saya sewa bilik buatkan semua gaji saya habis. Jadi, saya tak ada duit untuk makan," keluh Akaya Kunagi.

Dan apa yang menyelamatkan hidup Akaya ketika itu adalah mi segera.

Setiap hari Akaya akan ke kedai serbaneka dan membeli mi segera yang berharga RM4. Mi segera tersebut dibahagikan kepada 3 bahagian supaya dia boleh makan 3 kali sehari.

Ketika kemiskinan membuatkan dia sukar untuk mendapatkan pelanggan, Akaya Kunagi menggunakan situasinya buruk tersebut untuk kebaikannya, melalui kejujuran.

mi segera penyelamat akaya kunugi

Menurut Akaya, jika anda tak ada duit, anda juga tak akan dapat pelanggan.

"Lelaki sentiasa ingin kelihatan cool di hadapan wanita. Tetapi bagaimana jika seorang gigolo berlagak cool dan berpura-pura menjadi yang paling popular di kelab, namun apabila dia membawa pelanggan keluar, dia tak ada wang untuk menampung perbelanjaan?" - Akaya Kunugi

Dengan itu, Akaya mengubah cara dia mendekati pelanggan dan mula berterus terang tentang dirinya. Dia memberitahu bahawa dia tidak ada wang dan yang paling tidak popular di kelab tersebut.

Dan semakin Akaya menjadi lebih jujur, para pelanggan mula membantunya membuatkan "jualan" nya meningkat.

Sejak itu, kewangan Akaya Kunagi menjadi stabil sehinggakan pernah mendapat pulangan RM760,000 sebulan. Dia mampu memiliki apa sahaja yang diimpikan ketika kecil, termasuklah jam tangan mewah berharga RM410,000.

Akaya memberitahu bahawa setiap hos mempunyai cara tersendiri untuk membuatkan para pelanggan membeli lebih banyak minuman. Sebagai contoh, sesetengah hos akan berpura-pura beralih ke meja lain untuk mendapatkan lebih minuman.

Dan untuk para pelanggan terus mendapatkan perkhidmatan hos ini, mereka harus beli lebih minuman.

Menurut Akaya, pelanggan tetapnya biasanya membelanjakan wang di antara RM1,430 hingga RM143,000 untuknya setiap bulan. Salah seorang daripada mereka adalah gadis berusia 19 tahun yang membelanjakan RM450,000 hanya untuk minum.

Malah, salah seorang daripada pelanggannya menghadiahkan sebuah kereta sport Lamborghini Huracán Performante yang berharga sekitar RM1.5 juta.

hos profesional

Walaupun Akaya Kunugi telah menjadi inspirasi ramai yang segolongan dengannya di Jepun, tetapi dia menggalakkan sesiapa yang ingin menceburi dalam bidang ini agar mencari gaya sendiri.

"Tolong jangan tiru apa yang saya buat. Itu sahaja. Banyak perkara yang saya boleh lepas. Ramai yang ingin menjadi seperti saya tetapi kemudian mereka cuba untuk meniru gigolo lain kerana mereka tak mampu untuk meniru saya. Ia bergantung kepada stail yang sesuai dengan anda. Sukar untuk tiru saya," jelas Akaya Kunugi.


Sudah tentu kami di iluminasi.com tidak menggalakkan pembaca untuk meniru aksi Akaya Kunugi dengan menjadikan hos profesional sebagai kerjaya. Namun apa yang boleh dipelajari adalah semangat untuk mengejar impian itu sangat besar nilainya dan kejujuran mampu membuatkan anda lebih bahagia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)