Bagi mereka yang seringkali berdepan dengan tugasan yang memerlukan pengurusan data dan statistik, perisian Microsoft Excel menjadi salah satu pilihan popular pengguna di seluruh dunia.
Mampu menguruskan data, perkiraan, statistik dan maklumat dengan cara yang bolehlah dikatakan mudah, selain daripada penggunaan pengaturcaraan yang ringkas untuk kita mampu menghasilkan sistem yang baik - kemudahan mesra pengguna ini menyebabkan Excel menjadi de facto standard perisian statistik.
BESARKAN TEKS A- A+
Tetapi tahukah anda tentang seorang pelukis bernama Tatsuo Horiuchi dari Jepun, yang menjadikan perisian tersebut sebagai perkakas utama untuk dia menghasilkan karya seni?
Melatih diri kerana kekurangan dana
Selepas menjalani persaraan sekitar awal abad ke 21, Tatsuo Horiuchi mula mencari hobi untuk mengisi masa lapang.
Dia merancang mahu melukis, namun sifat kedekut (diakui sendiri oleh dirinya) serta tidak suka mengeluarkan belanja bagi membeli peralatan seni, membuatkan dirinya sedar dia perlu bergantung hanya dengan komputer dan mesin pencetak.
Bagi majoriti orang lain, untuk melukis di komputer - perisian yang akan disebut-sebut biasanya adalah Adobe Photoshop, CorelDraw atau paling kurang pun Microsoft Paint, yang sudah terpasang dalam semua komputer.
Semua pilihan yang memerlukan Horiuchi mengeluarkan belanja tambahan ditolak, kerana bagi beliau harga yang diminta terlalu tinggi. Microsoft Paint pula bagi Horiuchi, terlalu terhad fungsinya.
Semasa masih bertugas, Horiuchi pernah melihat rakan sejawatnya menyediakan hamparan-hamparan data statistik lengkap dengan graf menggunakan perisian Microsoft Excel.
Dia sedar perisian itu mampu melukis, tetapi kemahiran dirinya masih rendah kerana dia tidak pernah menggunakan perisian itu sebelum itu.
Kenapa tak guna Microsoft Word?
Bagi memulakan minatnya secara serius, Horiuchi membeli sebuah komputer yang lengkap dengan kumpulan perisian Microsoft Office membolehkan Horiuchi memulakan hobi barunya.
Dia meletakkan sasaran peribadi untuk mampu menghasilkan karya yang layak dipamerkan kepada orang ramai dalam tempoh 10 tahun.
Pada peringkat awal, Horiuchi turut sama cuba mempelajari fungsi lukisan yang ada pada Microsoft Word - sebuah lagi perisian yang SEBENARNYA lebih sesuai untuk dijadikan perkakas lukisan; namun bagi Horiuchi, Word masih terhad kepada dimensi kertasnya yang perlu mengikut saiz tertentu.
Excel pula tiada had dari segi saiz, di mana saiz kanvas yang akan digunakan hanya bergantung kepada saiz lukisan yang mahu dihasilkan.
Untuk tempoh beberapa tahun, Horiuchi mula melatih dirinya sendiri sehinggalah pada tahun 2006, dia memberanikan diri menyertai pertandingan lukisan di Jepun yang bertemakan fungsi Autoshape dalam Microsoft Excel.
Siapa sangka memang ada pertandingan sebegitu dianjurkan?
Karya Horiuchi mula popular
Hasil karya yang terhasil daripada kerja tangan Horiuchi, diberi judul 'Bunga Ceri di Tepi Runtuhan Istana' diakui kualitinya oleh panel hakim, jauh mendahului peserta-peserta lain - melayakkan beliau mendapat tempat pertama.
Kemenangan itu menyebabkan lukisan beliau yang terhasil mula tular dikongsikan orang ramai, yang takjub dengan ketelitiannya. Apatah lagi apabila orang ramai diberitahu karya itu terhasil menggunakan Microsoft Excel!
Merasai populariti kali pertama selepas berusaha keras mempelajari perisian itu, Horiuchi tidak mudah leka. Dia mula memperbaiki teknik penghasilan karyanya, mempelajari lebih banyak kaedah yang boleh membantu karyanya tampak lebih realistik.
Dia memenangi pertandingan sama untuk dua tahun berikutnya sebelum namanya mula menjadi sebutan media Jepun. Horiuchi mula dipaparkan dalam majalah pengkomputeran tempatan atas kejayaan beliau menggabungkan kemahiran dalam ruangan yang jarang diterokai individu lain secara mendalam.
Keunikan itu diiktiraf kerajaan Jepun sendiri, yang menganugerahkan beliau dengan sijil penghargaan atas usaha inovatif menggunakan kemahiran ICT dan seni, seterusnya mampu mempunyai karier baru sebagai artis dan guru selepas persaraan yang mengajar orang ramai menggunakan perisian Excel.
Wujudkah komuniti pelukis Excel yang besar?
Oleh kerana status Microsoft Excel sendiri sebagai sebuah perisian data, tidak ramai pengkarya yang benar-benar serius menggunakan perisian tersebut sebagai peralatan utama dalam karier seni.
Selain Horiuchi, seorang lagi pereka grafik bernama Danielle Aubert pernah mengkompilasikan hasil lukisannya menggunakan Microsoft Exel selama 16 bulan yang lebih mirip kepada karya piksel (pixel arts) dalam buku '16 Months Worth of Drawings in Microsoft Excel', diterbitkan pada tahun 2006.
Namun pada pendapat penulis, jika dibandingkan karya yang terhasil - nyata karya Horiuchi jauh sekali tarafnya dari segi kualiti dan kemahiran walaupun kedua-duanya membawa tema berbeza, disebabkan oleh elemen-elemen halus yang menjadikan karya Horiuchi tampak hidup.
Karya Aubert tampak dibuat dengan Excel sementara lukisan Horiuchi pula sukar dipercayai dibuat dalam perisian mengurus data.
Kini Horiuchi terus aktif berkarya menggunakan tetikus, terlibat dalam pertunjukan seni secara kecil-kecilan di sekitar Jepun serta melatih individu yang berminat untuk mendalami kemahirannya yang nyata unik.
Semua karya beliau, baik yang buruk (seperti di atas), sederhana dan yang terbaik terus dipamerkan di galeri dalam talian kelolaannya, membuktikan usia lanjut sepatutnya tidak menjadi penghalang untuk anda mempunyai kemahiran baru yang mampu menjadi penyambung karier anda.
Kejayaan Horiuchi juga jelas menunjukkan kita tidak sepatutnya mengeluh dengan kekurangan yang kita ada - kerana dengan fokus dan usaha, siapa saja mampu jadi seseorang seperti Horiuchi yang melukis bukan dengan perisian sepatutnya.
Rujukan