kredit foto : malaysiakini

Bankrap. Satu istilah yang cukup ditakuti oleh masyarakat kita namun malangnya, tetap menghantui sebahagian kecil dari kita yang berdepan masalah kewangan. 

Walaupun ditakuti ramai, malangnya masih ramai menyimpan salah faham tentang status kebankrapan sehingga wujud stigma-stigma tidak masuk akal yang sering dikongsi tanpa usul periksa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Fahamkah anda tentang bankrap yang sebenar dan apakah yang boleh berlaku kepada anda, sekiranya anda terjerumus ke dalam status ini?

Apakah itu bankrap / muflis? 

bankrap

Ramai menyimpan tanggapan, sesiapa saja yang gagal melunaskan pinjaman boleh diisytiharkan bankrap. Pendapat itu tidak benar.

Seseorang itu hanya layak diisytiharkan bankrap, seandainya dia mempunyai jumlah hutang minima RM100,000 yang gagal dibayar selepas proses tuntutan cuba dijalankan. Nak bankrap pun bukan senang ya.

Seseorang itu hanya boleh diklasifikasikan sebagai seorang yang bankrap atas perintah mahkamah hasil daripada petisyen pihak penuntut hutang ataupun dia sendiri melakukan petisyen mahkamah, untuk mengisytiharkan dirinya bankrap.

Kenapa tindakan ini boleh dilakukan seseorang? Individu yang sengaja memfailkan petisyen bankrap ke atas dirinya, biasanya melakukannya bagi membolehkan dia dilindungi daripada tuntutan yang boleh dilakukan ke atas dirinya daripada pihak pemiutang. 

Seseorang itu akan mengisytiharkan dirinya bankrap melalui petisyen dalam situasi di mana dia tahu buatlah macam mana pun, dia tetap tiada kemampuan membayar hutang yang ada. Situasi sebegini tidak mengambil kira jumlah hutang minima yang kami sebutkan di atas. 

Apakah kesan negatif diisytiharkan bankrap?

punca ramai bankrap

Walaupun nampak selamat mengisytiharkan diri sendiri bankrap untuk mengelak tuntutan hutang, realitinya status ini banyak kekangannya ke atas kita.

Seorang yang bankrap tidak lagi layak berkhidmat sebagai penjawat awam dan memegang jawatan dalam mana-mana badan berkanun, koperasi atau organisasi.

Dia juga tidak lagi dibenarkan menjalankan perniagaan sama ada secara persendirian atau sebagai rakan kongsi. Individu bankrap juga tidak dibenarkan memulakan sebuah syarikat.

Jika seorang bankrap ingin mendapatkan peluang pekerjaan, dia haruslah berkhidmat dalam syarikat yang tidak dikendalikan mana-mana individu yang ada pertalian darah dengannya. Mereka juga tidak dibenarkan keluar dari negara.

Nak kerja pula, individu bankrap tidak dibenarkan menyertai profesion yang dianggap profesional atau memerlukan lesen, seperti peguam, akauntan, juru ukur kuaniti atau pegawai likuidasi.

Paling teruk, semua pendapatan yang diterima individu bankrap tertakluk kepada kuasa Ketua Pengarah Insolvensi atau KPI, yang bertanggungjawab untuk membahagikan dana yang ada kepada pihak penuntut..

Oh ya. Individu bankrap juga tidak boleh memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri. Jika anda ada cita-cita besar, pastikan bayar hutang anda.

Bagaimana seseorang boleh keluar daripada status bankrap? 

dompet kosong akibat bankrap

Bercakap tentang pendapatan yang diterima akan disekat, bukanlah bermaksud si bankrap akan hilang 100% pendapatan beliau. 

Ada banyak faktor akan diambil kira dalam menentukan jumlah yang akan dipulangkan kepada penghutang dan jumlah yang akan diambil bagi menyelesaikan hutang. Angka akhir akan ditentukan berdasarkan kepada jumlah pendapatan yang diterima, selain jumlah yang dirasakan munasabah untuk si penghutang menyara keluarganya.

Tahap pendidikan, usia dan juga pengalaman kerja akan menjadi penentu berapakah amaun yang dirasakan sesuai dalam membayar semula tunggakan.

Kaedah paling mudah untuk seseorang dikeluarkan daripada status bankrap, adalah dengan berjaya membayar semula semua tuntutan yang dikenakan ke atas beliau atau telah memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh KPI, semasa proses deklarasi bankrap dijalankan.

Selain itu, ada 3 status seseorang individu bankrap yang akan membolehkan dia dikeluarkan daripada status itu secara automatik.

Yang pertama, individu bankrap yang telah meninggal dunia semasa dia masih diisytiharkan bankrap. Kedua adalah individu bankrap yang telah didaftarkan sebagai Orang Kurang Upaya di bawah Akta Orang Upaya 2008. 

Yang terakhir pula adalah individu bankrap yang telah disahkan menghidap penyakit serius atau kritikal, berdasarkan kepada laporan dan pengesahan yang dikeluarkan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan.

Saya penjamin pinjaman kawan. Bolehkah saya diisytihar bankrap?

penjamin tidak lagi boleh bankap

Satu tanggapan yang perlu diperbetulkan atau dikemaskini oleh masyarakat kita adalah berkenaan ketakutan orang ramai yang bertindak sebagai penjamin pinjaman kenalan, sehingga jatuh bankrap.

Akta 360 atau Akta Insolvensi 1967 telahpun dikemaskini untuk tidak lagi membolehkan mana-mana individu penjamin, diistilahkan sebagai penjamin sosial yang menjadi wakil atau guarantor kepada pinjaman pelajar, kenderaan atau kediaman pihak lain - adalah tidak lagi boleh diisytiharkan muflis atau bankrap.

Semua individu penjamin yang sebelum itu pernah diwartakan bankrap, boleh melakukan permohonan kepada KPI agar status itu ditarik balik - kerana jelas masalah ini tidak adil bagi pihak yang terjejas.

Bagaimanapun pihak pemiutang atau pemberi pinjaman masih boleh melakukan tuntutan ke atas tunggakan yang belum dijelaskan peminjam kepada penjamin. Ini bermakna pihak bank masih boleh menelefon penjamin, bertanya kenapa kawan kita tak bayar lagi hutang dan minta kita ingatkan dia untuk bayar.

Salah satu nasihat yang penulis terima dan penulis pegang sampai sekarang, adalah jangan jadi penjamin pinjaman orang lain. Hanya mereka yang dah terkena, rasa padahnya terpaksa membayar pinjaman orang lain menggunakan pendapatan yang kita cari susah payah. 

Jadi seandainya ada pihak mahu melantik anda sebagai penjamin, tolaklah dengan sopan. Jika dia memaksa, tolaklah secara tegas.Rujukan 

Act 360 INSOLVENCY ACT 1967




Hakcipta iluminasi.com (2017)