Ketika kisah berkaitan kehilangan duit orang ramai dari dalam bank akibat sindiket penipuan heboh, akan wujud pihak yang mengeluarkan bermacam jenis kenyataan dan berkongsi pandangan. 

Ada kenyataan yang dikeluarkan berasas, ada juga yang faktanya tidak tepat sehingga mengelirukan orang ramai, yang beremosi mencari pihak mana yang patut dipertanggungjawabkan dalam isu scammer sistem perbankan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Salah satu salah tanggapan yang wujud di kalangan orang ramai melibatkan PIDM atau Perdananan Insurans Deposit Malaysia. Banyak pihak menyifatkan tugas PIDM adalah mengganti rugi atau menanggung kehilangan wang akibat skim penipuan akaun bank.

Betul kah pendapat itu?

Siapa PIDM? 

apa fungsi sebenar pidm insuran deposit simpanan

Bagi mereka yang suka menonton televisyen, pasti anda menyedari pihak PIDM telah pun menjalankan kempen pengiklanan bagi memperjelaskan fungsi badan tersebut kepada masyarakat umum. 

Namun mesej yang disampaikan, masih tidak sampai sehinggakan ramai silap faham apakah peranan sebenar PIDM dalam sistem kewangan masyarakat kita.

Secara rasminya, PIDM adalah perbadanan yang diselia oleh sebuah lembaga pengarah, yang semua ahlinya dilantik oleh Kementerian Kewangan dari kalangan individu yang berkhidmat dalam sektor awam dan juga sektor swasta.

Seorang pengarah berstatus bukan eksekutif bertindak sebagai ketua kepada lembaga ini dibantu oleh wakil bagi pihak Gabenor Bank Negara Malaysia dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dari Kementerian Kewangan. 

Ditubuhkan pada tahun 2005 di bawah Akta PIDM, pada mulanya akta ini hanya meliputi badan-badan perbankan yang ada di Malaysia. Bermula pada tahun 2010, PIDM turut sama mula melindungi penyelia insurans dan takaful yang beroperasi di negara kita.

Apa tugas sebenar PIDM? 

siapa jamin duit dalam bank simpanan

Ramai salah faham tugas sebenar PIDM jadi baik kita fahamkan dengan lebih jelas.

PIDM bertanggungjawab menyelia dua dana terkumpul; yang pertama dinamakan sebagai Sistem Insurans Deposit atau Deposit Insurance System (DIS) melibatkan semua pemegang akaun baik di bank.

Kedua adalah dana pemegang perlindungan insurans atau takaful yang diselia dibawah TIPS atau Takaful and Insurance Benefits Protection System.

DIS dan TIPS adalah dua sistem yang dibentuk kerajaan Malaysia bagi melindungi pendeposit daripada kerugian, akibat daripada kegagalan atau kerugian institusi itu mengurus sehingga mengalami status bankrap. 

Semua bank dan syarikat insurans/takaful yang diselia Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islamik 2013 adalah ahli PIDM secara automatik. Kita sebagai pendeposit tidaklah dikira sebagai ahli kepada PIDM, kerana badan yang menyertai PIDM adalah di kalangan bank dan syarikat insurans atau takaful sahaja.

Kedua-dua badan ini bertanggungjawab membayar premium perlindungan yang telah ditetapkan oleh PIDM, bagi memastikan perlindungan ke atas dana pendeposit berlangsung.

Bagaimanapun ada beberapa kategori badan kewangan yang dikategorikan tidak layak menjadi ahli PIDM, seperti syarikat insurans yang menyelia insurans kepada penyelia insurans (re-insurance), penyelia insurans bersifat antarabangsa walaupun masih diselia Akta Perkhidmatan Kewangan Islamik 2013, broker-broker insurans dan juga syarikat penyelaras insurans atau insurance adjuster. 

Ada beberapa kategori lagi dianggap tidak layak. Kita bincangkan sekejap lagi.

Apa yang dilindungi PIDM? 

duit anda dilindungi pidm

Sekiranya dalam situasi di mana bank atau syarikat insurans/takaful diisytiharkan bankrap atau apa saja situasi yang menyebabkan pendeposit bakal berdepan kerugian akibat tahap kewangan bank/syarikat yang rendah - PIDM akan bertindak sebagai penanggung kerugian pendeposit.

Ini kerana PIDM juga diberikan kuasa untuk melupuskan dana ahli bagi membolehkan pembayaran semula hakmilik pendeposit dapat dilakukan selain daripada menggunakan dana yang dikumpul melalui DIS atau TIPS.

Semua pemegang akaun peribadi di bank yang berdaftar dengan PIDM dilindungi sehingga maksima RM250,000 seandainya bank jatuh dalam situasi yang kami sebutkan, dikira secara keseluruhan daripada baki prinsipial serta dividen.

Perlindungan ini bagaimanapun bukan merangkumi semua jenis akaun. Hanya akaun simpanan, akaun semasa, simpanan tetap, deposit matawang asing, deposit Islamik, draf bank dan cek dilindungi di bawah skim PIDM.

Bagi unit-unit saham amanah, saham, perjanjian pembelian semula dan produk skim pelaburan berasaskan emas walaupun dianjurkan oleh pihak bank, adalah tidak tertakluk kepada perlindungan PIDM. 

Dengan had maksima RM250,000 PIDM berupaya melindungi hampir 96% pendeposit akaun yang ada, jadi besar kemungkinan majoriti daripada kita tak perlu risaulah wang kita hilang sekiranya bank kita diisytiharkan bankrap. 

Bagaimana pula dengan TIPS? 

takaful insurans kematian hayat

Perlindungan PIDM bagi akaun insurans atau takaful pula diletakkan pada had maksima RM500,000, yang mampu melindungi hampir 99% pemegang polisi takaful dan insurans serta 96% pemegang polisi takaful/insurans am.

Dalam aspek insurans dan takaful, semua produk yang dilindungi mestilah tertakluk di bawah kategori insurans am dan hayat atau takaful am dan hayat, dengan syarat transaksi pembayaran yang dilakukan mestilah berlaku dalam Ringgit Malaysia.

Ini bermakna seandainya anda telahpun layak menerima pampasan daripada pengendali takaful/insurans anda tetapi syarikat mengalami masalah pengurusan kewangan sehingga diisytiharkan bankrap, anda masih layak menerima pampasan yang telah dijanjikan sehingga nilai maksima RM500,000.

Dalam kes di mana syarikat bankrap dan gagal memulangkan semula nilai premium terkumpul yang sepatutnya dibayar, PIDM juga bertanggungjawab membayar kembali kepada anda amaun tertunggak yang sepatutnya anda terima.

Ada tak bank yang bukan ahli PIDM? 

bank rakyat bukan ahli pidm

Pasti ada yang tertanya soalan di atas kan sepanjang membaca artikel ini? Sekiranya anda teringin nak tahu, jawapannya ada.

Hanya bank yang jatuh ke dalam akta-akta yang kami sebutkan di atas bergelar ahli PIDM secara automatik. Namun ada juga bank yang tidak tertakluk dengan dua akta di atas. 

Bank yang tidak layak menjadi anggota PIDM adalah bank-bank berteraskan pelaburan, biasanya dinamakan sebagai 'Bank Pelaburan' seperti CIMB Investment Bank Berhad atau Maybank Investment Bank Berhad, di mana dua entiti ini adalah badan berbeza dengan bank yang menyelia akaun-akaun peribadi biasa.

PIDM juga tidak melindungi badan-badan kewangan bukan perbankan atau insurans/takaful seperti KWSP, badan peminjam perumahan dan koperasi. Selain itu PIDM juga tidak melindungi akaun simpanan ahli PIDM yang dibuka di cawangan luar Malaysia. 

Bagi bank yang diselia Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002, bank sebegini tidak layak menjadi ahli PIDM, contohnya seperti Bank Rakyat. Adakah anda tahu Bank Rakyat bukan ahli PIDM? Jika nak tahu bank anda adalah ahli berdaftar PIDM atau tidak, boleh rujuk pautan di bawah ya.

Kami harap dengan artikel ini anda faham dan lebih arif tentang fungsi sebenar PIDM.

Mereka tidak bertanggungjawab membayar pampasan kepada anda sekiranya anda tertipu, sebaliknya memainkan peranan melindungi dana simpanan anda seandainya bank simpanan anda melingkup. 

Rujukan

Senarai Ahli PIDM




Hakcipta iluminasi.com (2017)