Kredit foto: Instagram Datuk Siti Nurhaliza

Penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza menerima pengiktirafan buat kali ketiga berturut-turut apabila disenaraikan antara 500 umat Islam paling berpengaruh di dunia.

Pertama kali namanya diiktiraf bagi edisi 2016, The Muslim 500: The World's 500 Most Influential Muslims untuk edisi terbaharu ini sekali lagi memilih beliau dalam kategori seni dan budaya.

"Alhamdulillah kerana tahun ini saya tersenarai bagi tahun yang ketiga. Ia tentu saja penghormatan besar buat diri saya.

"Saya yakin, setiap individu mempunyai peranan dan sumbangan mereka tersendiri. Begitupun, setiap perkara dilakukan itu bukan semata-mata untuk mendapat penghargaan atau pengiktirafan.

"Sebagai seorang Muslim dan anggota masyarakat, saya berasa perlu terbabit sama, tidak kira apa jenis pekerjaan, bidang diceburi mahupun komitmen terhadap agama, bangsa dan negara.

"Dengan kemampuan yang ada, saya sedaya upaya mahu mengambil bahagian dalam apa juga pembangunan dan aktiviti yang merapatkan kita sebagai Muslim seluruh dunia, mengukuhkan agama serta memperlihatkan contoh terbaik buat semua," kata Siti yang dipetik daripada laporan portal BH Online.

Tambahnya, dia menganggap sokongan insan yang menyayanginya termasuklah para peminat sebagai faktor kejayaan dan pengiktirafan yang diraih selama ini.

Sebelum ini iaitu sehari selepas dia membuat pengumuman hamil empat bulan, Siti terlebih dahulu melakar kejayaan sebagai pemegang trofi kategori Duo Terbaik di Anugerah Planet Muzik (APM) 2017 yang berlangsung pada 13 Oktober di Singapura - menerusi lagu popularnya bersama Faizal Tahir, Dirgahayu.

Diikuti pencapaian lagu duet bersama Cakra Khan, Seluruh Cinta yang mengungguli Lagu Tema Sinetron Tersilet (lagu tema drama Cahaya Hati, siaran di Indonesia) di majlis Anugerah Silet 2017 yang berlangsung di Jakarta pada 16 Oktober

Dalam pada itu, Siti turut melahirkan rasa syukur kerana dikurniakan kesihatan yang baik menjelang usia lima bulan kehamilannya.

"Saya tidak mengidam yang bukan-bukan sangat. Alhamdulillah," ucapnya.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)