Oleh pada 25 Jul 2018 kategori

Scolopendra Subspinipes - nama saintifik bagi spesis lipan yang dipanggil sebagai lipan bara oleh kita rakyat Malaysia. Spesis lipan ini ditakuti ramai kerana sengatannya yang dikatakan akan menyebabkan kesakitan yang luar biasa. Ada yang mengatakan sengatannya sangat berbahaya sehingga boleh menyebabkan kematian. Adakah pendapat ini benar?

Jadi untuk mengetahui dengan lebih mendalam, Iluminasi.com menyediakan sedikit info tentang sifat, habitat dan jawapan tentang peraoalan mengenai betapa bahaya sengatan lipan bara.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sifat dan karakteristik lipan bara

lipan bara mempunyai sesungut yang kuat

Spesis lipan ini boleh membesar sehingga sekitar 20 cm panjang. Tubuh badan lipan bara ini biasanya berwarna merah ataupun coklat kemerahan dengan kaki yang berwarna kuning atau oren kekuningan. Persamaan lipan ini dengan spesis-spesis lipan yang lain adalah tubuh badannya yang mempunyai 21 bahagian dan setiap bahagian memiliki sepasang kaki.

Di bahagian kepalanya pula, terdapat sepasang sesungut yang dikenali sebagai forcipules dan ia adalah 'senjata utama' yang digunakan untuk membunuh mangsa mereka. 

Habitat lipan bara

lipan bara mudah dijumpai di kawasan tanah lembap

Spesis ini boleh ditemui di semua kawasan tanah sekitar atau sekeliling Lautan Hindi, negara-negara Asia beriklim Tropika dan juga Sub-Tropika(termasuk Rusia), Amerika Tengah dan Selatan, dan juga kepulauan Carribean. Mereka biasanya sangat aktif dan memburu makanan atau mangsa di waktu malam.

Pada waktu siang, mereka biasanya lebih cenderung berada di kawasan yang gelap dan lembab, seperti di bawah batu, di celah-celah kayu atau di ruang-ruang kecil yang sempit. Jika di rumah, mereka biasanya dijumpai di alam tandas. 

Benarkah sengatan lipan bara boleh menyebabkan kematian?

Seekor lipan bara yang cukup besar mampu membunuh seorang bayi, namun tidak untuk seseorang yang sudah dewasa kecuali mereka sudah sangat tua dengan antibodi yang sudah lemah ataupun mereka sememangnya sudah sangat lemah disebabkan penyakit yang kronik, walaupun ada sesetengah spesis lipan yang mempunyai bisa yang sangat kuat dengan dibantu oleh sesungut yang juga sangat kuat cukup kuat untuk menembusi kasut seorang lelaki dewasa.

Ia tidak seperti tebuan yang akan meninggalkan 'sengat' di tubuh manusia, jadi dalam satu-satu masa ia boleh menyengat manusia beberapa kali. Persatuan Perubatan Wilderness di Amerika Syarikat juga pernah menyatakan, Tidak ada kematian disebakan ioleh sengatan lipan pernah dilaporkan, dan mereka turut menjelaskan bahawa sebanyak hampir 1000 kelenjar racun diperlukan untuk membunuh seorang manusia dewasa.

Pengalaman dan kisah mangsa yang pernah disengat lipan bara

Berdasarkan kisah seorang blogger iaitu saudara Azram Sulong, beliau pernah digigit lipan bara di bahagian leher. Menurutnya, dalam tempoh awal selepas disengat, kesakitan yang dirasai tidaklah begitu ketara.

Namun selepas tempoh lebih kurang satu jam, kesakitan yang dialami tidak terperi sehingga menyebabkan beliau muntah beberapa kali. Beliau mendapatkan rawatan di hospital dan diberikan beberapa suntikan untuk menghilangkan rasa sakit tersebut dan dibenarkan pulang.

Namun tidak sampai tempoh satu jam selepas itu kesakitan yang dialami kembali berulang dan kali ini lebih teruk dari kesakitan yang pertama. Beliau percaya itulah tahap kemuncak kesakitan yang dialami. Beliau hanya memakan pil yang dibekalkan doktor untuk menghilangkan kesakitan tersebut.

Selepas itu, dalam tempoh lebih kurang dua jam, kesakitan tersebut mulai berkurangan. Katanya, rasa sakit akan hilang dalam 80% selepas 12 jam dan akan sembuh sepenuhnya selepas tempoh 24 jam. 

Simptom-simptom dan langkah-langkah yang boleh dilakukan jika disengat lipan bara

kesan sengatan lipan bara

Jika anda tidak bernasib baik dan disengat oleh lipan bara, anda mungkin perlu bersedia merasai kesakitan yang sangat ketara dan berpanjangan, di mana jika kesakitan tersebut dinilai dari skala 1 hingga 10, ia mungkin berada di skala 10.

Anda juga mungkin akan demam, rasa tidak bermaya, kulit di bahagian terkena sengatan akan menjadi sensitif, bengkak dan kemerah-merahan dan juga merasa kebas. Jadi apa yang boleh anda lakukan jika anda disengat lipan bara? Gunakan air panas, tetapi tidak terlalu panas (tidak lebih dari 45°C)dan sapukan di kawasan yang terkena sengatan untuk mengurangkan rasa sakit.

Anda juga boleh membuat rawatan menggunakan ais sama seperti jika terdapat kecederaan otot atau anda boleh mendapatkan 'pain killers' di mana-mana farmasi atau klinik berhampiran.

Rujukan:

Pengalaman digigit lipan bara

Scolopendra subspinipes

How to identify centipede bites




Hakcipta iluminasi.com (2017)