Kredit foto: rollingstone.com
DJ terkenal dunia yang bertanggungjawab mempopularkan dunia muzik elektronik, Avicii, meninggal dunia di Oman, semalam, pada usia 28 tahun.
Dilaporkan, DJ dari Sweden yang mengalami kesukaran menyesuaikan diri dengan gaya hidup parti ini, ditemui mati di Muscat, dua tahun selepas mengumumkan persaraannya secara mengejut.
Kredit foto: pennlive.com
"Dengan penuh dukacita kami mengumumkan bahawa Tim Bergling atau dikenali sebagai Avicii, sudah meninggal dunia.
"Keluarga mendiang sedang berada dalam kesedihan yang amat sangat dan kami amat berharap orang ramai termasuk pihak media memberikan mereka ruang untuk menghadapi saat-saat menyedihkan ini," kata pihak pengurusan mendiang.
Bagaimanapun punca kematian tidak dinyatakan.
Sementara itu, seorang DJ di Muscat Hills Resort, Maitrai Joshi mendedahkan ada melihat bintang muzik berentak tarian itu sebelum dikhabarkan sedang menikmati percutian di Oman buat julung kalinya serta melanjutkan percutiannya untuk beberapa hari.
Kredit foto: surrendernightclub.com
"Saya melihat beliau sekali lagi keesokan harinya dan Avicii sangat peramah, rendah diri dan turut bergambar bersama," katanya.
Untuk rekod, Avicii menjadi antara DJ terawal menembusi pasaran utama selari perkembangan muzik berentak tarian yang menjadi fenomena di kalangan peminat muzik sedunia, yang mana asalnya hanya berkumandang di kelab malam sehinggalah menghuni senarai carta radio Top 40.
Bintang EDM ini cukup dikenali menerusi karya berjudul Wake Me Up (penampilan bersama penyanyi berentak soul, Aloe Blacc) yang merampas kedudukan tertinggi seluruh Eropah pada tahun 2013.
Lain-lain lagu hitsnya termasuk You Make Me, Hey Brother dan Addicted to You.