Bagi seorang guru, mengajar di sekolah yang terletak di kawasan pendalaman atau terpencil mempunyai cabarannya yang tersendiri. Sekolah seperti ini biasanya mempunyai kemudahan yang agak terhad seperti kelengkapan belajar, akses internet dan banyak lagi.

Demi menggalas tanggungjawab yang diamanahkan, guru-guru di kawasan pendalaman terpaksa berhadapan dengan masalah tambahan seperti gangguan elektrik, bekalan air bersih dan tinggal berjauhan dengan keluarga. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sebenarnya, agak sukar mendapatkan guru yang sanggup mengajar di kawasan pendalaman atau terpencil ini. Jika diberi pilihan, mereka tentu memilih untuk mengajar di kawasan bandar atau pinggir bandar. Keadaan yang sama juga berlaku di sebuah sekolah di UK.

Sekolah paling terpencil di UK

Sekolah rendah yang paling terpencil di United Kingdom iaitu Sekolah Rendah Fair Isle kini sedang mencari individu yang layak untuk mengisi kekosongan sebagai seorang guru merangkap Guru Besar.

Sekolah rendah itu membuka tawaran kepada sesiapa sahaja yang berminat, hanya untuk mengajar tiga orang murid sahaja ketika ini dengan bantuan dua orang guru sokongan.

burung puffin 570

Burung Puffin yang mendiami Fair Isle

Fair Isle merupakan sebuah pulau yang terpencil di Scotland. Ia terletak diantara Pulau Orkney dan Pulau Shetland. Perjalanan dari Pulau Shetland ke Fair Isle memakan masa selama dua jam setengah dengan menaiki feri atau 25 minit jika menggunakan pesawat.

Dengan keluasan hanya 4.8 km persegi, Fair Isle terkenal dengan keindahan semula jadi dan populasi burung-burung laut. Dianggarkan sekitar kira-kira 10,000 ekor burung Puffin menjadikan Fair Isle sebagai habitat mereka.

Jumlah itu jauh lebih besar berbanding populasi manusia yang hanya seramai 60 orang penduduk sahaja. Pulau ini sering menjadi tumpuan pengunjung setiap tahun. Mereka datang untuk melihat spesies burung unik, mempelajari teknik mengait pakaian dan kraf tangan Fair Isle yang terkenal.

Tawaran yang lumayan

Berdasarkan iklan jawatan kosong sekolah rendah itu, mereka memerlukan seorang guru sepenuh masa dengan jawatan tetap. Guru itu perlu bekerja selama 7 jam sehari, lima hari dalam seminggu.

Bagi calon yang berjaya dipilih, mereka akan dibayar gaji sebanyak RM 27,591 (£ 4,732) sebulan atau RM 331,110 (£ 56,787) dalam setahun. Mereka juga akan menerima imbuhan sebanyak RM 13,206 (£ 2,265) setahun di bawah Elaun Kepulauan Jauh yang disediakan oleh kerajaan Scotland.

sekolah rendah fair isle 788

Sekolah Rendah Fair Isle

Secara puratanya, seorang guru sekolah rendah di UK menerima gaji sebanyak RM 13,404 (£ 2299) sebulan atau RM 160,911 (£ 27,597) dalam setahun. Ini bermakna, Sekolah Randah Fair Isle menawarkan gaji sebanyak dua kali ganda berbanding guru-guru sekolah rendah lain di UK.

Selain mempunyai kelayakan yang dinyatakan, sekolah itu juga mencari seorang calon yang memiliki sikap mahu menerima cabaran, mempunyai visi, inisiatif, kemahiran komunikasi dan disiplin diri.

Pegawai Peningkatan Kualiti Fair Isle iaitu Robin Calder berkata bahawa tawaran ini adalah peluang yang baik bagi calon guru untuk menyertai komuniti di Fair Isle dan memacu sekolah itu supaya lebih maju.

Pulau itu hanya mempunyai sekolah rendah sahaja. Apabila pelajar tamat sekolah rendah, mereka akan dihantar ke sekolah berasrama yang terletak di Pulau Shetland.

Kemudahan lain turut disediakan

Bagi calon yang terpilih untuk sesi temuduga, Sekolah Rendah Fair Isle akan menanggung semua perbelanjaan mereka seperti pengangkutan dan penginapan.

Bagi calon yang diterima pula, pihak sekolah akan menawarkan pakej penempatan semula seperti kos berpindah, pengangkutan dan kediaman.

peta fair isle

Calon yang berjaya juga perlu membuat semakan latar belakang terlebih di bawah Skim PVG (Protecting Vulnerable Group) sebelum diberikan kontrak rasmi. Skim PVG ini akan sentiasa memeriksa kesesuaian seseorang itu untuk bekerja dengan kanak-kanak dan tiada rekod jenayah.

Menurut Ketua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Rendah Fair Isle, Susannah Parnaby, calon yang diterima juga mempunyai banyak peluang untuk melakukan pendidikan kreatif.

Menjadi sebahagian daripada komuniti

Murid-murid di Fair Isle bukan sahaja berminat dalam akademik tetapi juga sering terlibat dengan aktiviti berkebun, mempelajari alam semula jadi, muzik kebudayaan, mengait pakaian dan seni kraf tangan.

Menurut Susannah lagi, Fair Isle adalah tempat yang bagus untuk didiami dan mempunyai komuniti setempat yang sangat rapat dan saling menyokong antara satu sama lain.

baju kait fair isle yang terkenal

Contoh baju sejuk teknik mengait Fair Isle yang terkenal

Pulau yang dimiliki oleh National Trust for Scotland (NTS) ini bukan sahaja sering dilawati pengunjung tetapi ia juga menjadi pilihan orang luar untuk berpindah dan tinggal di situ. 

Namun, bukan mudah untuk menjadi penduduk tetap di Fair Isle. Anda tidak boleh membina rumah di Fair Isle memandangkan ia milik NTS.

Apabila pemohonan dibuka, NTS menerima hampir 1,000 permohonan untuk tinggal di pulau itu tetapi mereka hanya akan meluluskan satu atau dua permohonan sahaja.

Pemohon yang layak hanya perlu membayar sewa rumah yang disedakan oleh NTS sebanyak £ 300 setahun.




Hakcipta iluminasi.com (2017)