"Assalamualaikum Cikgu Hana," kata Jamilah menghulurkan salam.
Hana menyambut salam ibu kepada Farid Amirul itu dengan mesra, walaupun dia sendiri sudah keletihan melayan pelbagai pertanyaan ibu bapa yang datang.
"Macam mana dengan Farid, Cikgu?" tanya Jamilah.
Hana merenung sebentar laporan kemajuan Farid yang ada di atas meja sambil menyemak di Ipadnya. "Puan, saya rasa Puan sendiri sudah sedia maklum mengenai prestasi Farid di sekolah," kata Cikgu Hana.
BESARKAN TEKS A- A+
"Saya tau, tapi tak ada apa-apa kah yang Cikgu boleh buat untuk bantu dia?" tanya Jamilah.
Hana tersenyum saja mendengar kata ibu Farid di depannya. Terimbas kembali di kepalanya Farid menceritakan bagaimana dia dikurung dalam stor selepas terpecahkan pinggan makan atau waktu Farid datang dengan bibir pecah ke sekolah. Alasannya, jatuh masa bermain tetapi apabila diselidik, kawan-kawannya kata ayah si Farid kerap membelasah anaknya itu.
"Farid kerap memberontak di sekolah Puan, dia tak mau dengar kata," terang Cikgu Hana menyembunyikan kisah yang dia tahu. "Bila saya tanya, dia tak berapa rajin buka mulut." Terpaksa Cikgu Hana menipu.
Jamilah mengangguk-ngangguk. "Saya pun tak tahu kenapa si Farid tu bermasalah di sekolah. Di rumah baik saja dia."
Cikgu Hana mengetapkan gigi menahan emosi. "Saya paling risau bila dia kerap benar hilang waktu subjek pendidikan Islam, Puan."
"Dia hilang? Dia lari ke mana?" tanya Jamilah terkejut.
"Dia tak lari. Cuma Ustazah dia ada berceritalah, setiap kali subjek dia saja, Farid nak ke tandas lah, sekali pergi 10 minit baru balik. Cikgu lain tak ada cerita perkara sama pada saya tentang subjek lain," kata Cikgu Hana.
Jamilah memeriksa telefonnya yang menerima mesej lalu dia membalas mesej. Cikgu Hana menanti urusannya selesai.
"Puan, saya nak tanya sikit, Farid di rumah dia solat tak?" tanya Cikgu Hana.
"Jarang Cikgu," kata Jamilah. "Selalunya dia solat sendiri, itupun lepas kena paksa-paksa sikit."
Cikgu Hana menghelakan nafas memikirkan jalan hendak membantu anak muridnya itu. "Keputusan peperiksaan dia pun boleh dikatakan antara yang terendah dalam kelas saya. Saya selalu dapat aduan tentang masalah kerja sekolah dia yang tak siap Puan. Ada puan atau suami cuba bantu dia buat kerja sekolah?"
Jamilah tersentak mendengar soalan itu yang sedikit mencalar maruah dia dan suaminya.
"Kami tolong Cikgu, cuma Farid ni memang keras sikit kepalanya. Tak macam adik dia si Farah," kata Jamilah.
"Saya tak berniat nak menasihatkan Puan atau suami Puan, cuma saya minta kerjasama pihak Puan untuk sekurang-kurangnya temankan Farid buat kerja sekolah dia," kata Cikgu Hana.
"Dia ada mengadu kami tak layan dia ke Cikgu?" tanya Jamilah sedikit berang.
"Bukan Puan. Memang sukatan pelajaran sekarang ni susah sikit, jadi ibu bapa perlu bantu anak-anak," kata CIkgu Hana.
"I don't think the problem dekat kami. Problem sebenarnya dekat you all lah," kata Jamilah. "The teacher yang tak pandai mengajar."
Cikgu Hana diam saja.
Pengalaman hampir 10 tahun mengajarmembuatkan dia kerap bertemu ibu bapa golongan pertengahan, yang tidak dapat menerima anak mereka pelajar bermasalah. Pertama kali ditempelak begitu dia gugup, namun sekarang dia sedar tugas utamanya bukan hanya sekadar mendidik anak-anak.
Dia juga perlu mendidik ibu bapa kepada anak-anak itu, yang memerlukan didikan.
"Saya akui saya ada kekurangan dan saya tak mahu selindung di sebalik alasan pelajar ramai atau masa tak cukup, tapi saya janji dengan Puan saya dah cuba sehabis boleh nak bantu Farid," kata Cikgu Hana.
"Maybe your best is not good enough?" herdik Jamilah.
Cikgu Hana mengetapkan bibirnya lebih ketat. Zaman media sosial yang membuat manusia hilang sempadan kesusilaan, kini semakin menular ke dunia nyata.
"See? Awak admit kan? Sebab tu awak diam," tuduh Jamilah lagi. "You don't even know how hard it is nak besarkan anak dekat kawasan bandar. What do you know? Balik tengahari. Cuti banyak."
Diam saja Cikgu Hana mendengar tuduhan-tuduhan itu.
"Farid is fine, dia tak ada masalah di rumah. Kalau dia ada masalah di sekolah, it means sekolah yang bermasalah." kata Jamilah.
Bohong belaka, fikir Cikgu Hana. Farid selalu mengadu bermacam perkara. Sekolah adalah tempat dia mahu penuhi kemahuan dia, kerana itu dia memberontak. Dia takut di rumah. Takut kena kurung, kena sebat.
Kena terajang.
"Kami tak perlu Cikgu nak ajar kami jaga anak sendiri la," kata Jamilah.
Cikgu Hana dah hilang sedikit sabarnya namun dia tahan juga.
"Just do your job. Jangan malas. Kami yang bayar gaji awak!"
Tinggi betul ego ibu bapa zaman media sosial ni, fikir Cikgu Hana.
"See? Awak diam, a sign of admission," kata Jamilah lagi memanaskan suasana.
"Bukan Puan," kata Cikgu Hana. "Saya cuma nak.."
"Awak nak saya viralkan muka awak ke?" ugut Jamilah.
"Puan, maaf Puan, tak elok Puan bertindak demikian," kata Cikgu Hana. "Malu saya nanti."
"No, no, no. Yang malu saya. Awak kata saya tak pandai didik anak sendiri, Cikgu," kata Jamilah sambil mengeluarkan telefon.
Cikgu Hana cuba menutup wajahnya daripada diambil gambarnya namun tidak berjaya.
Dengan 8352 'friends' dan 11348 'follower' milik Jamilah, kisah Cikgu Hana sekejap sahaja viral di media sosial.
Kritikan, ancaman dan ugutan yang tak sepatutnya terucap ditujukan pada Cikgu Hana, sehinggakan dia terpaksa menutup akaun media sosialnya buat sementara selepas mendapat ugutan rogol.
Prestasi pelajaran Farid tetap tidak berubah walaupun nukilan ibunya itu dikongsikan lebih 3.5k pembaca dan majoritinya menyatakan rasa risau dengan masa depan Farid jika dia terus tidak dihiraukan gurunya.