Satu post di laman Facebook baru-baru ini menjadi tular selepas ia berjaya mencairkan hati netizen.
Status Facebook yang dimuatnaik oleh seorang guru dari Ghana itu menunjukkan cara yang amat ganjil sambil menggunakan hanya apa-apa sumber yang ada bagi tujuan mengajar subjek Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Anda mungkin terfikir, apa yang pelik sangat mengajar mata pelajaran TMK ini? Cubalah mengajar tanpa komputer seperti guru ini.
BESARKAN TEKS A- A+
Guru yang berasal dari Kumasi, Ghana itu mengajar subjek tersebut kepada sebuah komuniti pertanian di kawasan pedalaman. Di sana, guru itu terpaksa menghadapi kekangan kemudahan dan peralatan asas berkaitan teknologi maklumat. Menurutnya, setiap guru di dunia ini ada cara dan gaya tersendiri untuk menyampaikan proses pembelajaran dan pengajaran. Bagi dirinya pula, mengajar bidang IT tanpa komputer adalah cabaran yang perlu ditempuhi.
Owura Kwadwo ialah seorang graduan Seni Visual. Beliau sedang mengajar komponen asas bagi Word Document namun disebabkan kekangan sumber bahan mengajar, beliau terpaksa melukis sendiri tangkap layar (screenshot) penuh bagi perisian tersebut di papan hitam semata-mata untuk membolehkan pelajarnya belajar dengan betul.
Menurut Kwadwo, beliau sanggup bersusah-payah melukis perisian tersebut supaya pelajarnya faham apa yang sedang diajarkan. Walaupun ketiadaan komputer, sekurang-kurangnya mereka boleh mendapat gambaran tentang perisian tersebut.
Walaupun kaedah mengajar itu adalah sedikit ganjil, namun ia membuahkan hasil. Para pelajar Kwadwo berasa seronok dan belajar pelbagai perkara daripada kelasnya. Status Facebook Kwadwo juga telah membuatkan netizen berasa kagum kerana masih ada guru yang sangat komited dan berdedikasi sepertinya. Selain itu, hasil lukisannya juga telah berjaya memukau ramai pihak.
Apa yang menyedihkan Kwadwo adalah masih banyak sekolah di Ghana yang mengalami masalah yang sama.
Selepas status Facebooknya menjadi tular, ia telah mendapat perhatian banyak pihak dan sejak itu, ramai yang telah bertanya untuk menghulurkan derma dan bantuan. Ada yang ingin mendermakan laptop dan projektor selain dalam bentuk wang ringgit. Walaupun ada pihak yang mengecam tindakan Kwadwo kerana memuatnaik status 'poyo' berkenaan, beliau percaya yang tindakan itu adalah salah satu cara terbaik untuk membantu sekolah yang kurang bernasib baik.
Kwadwo adalah salah satu contoh guru yang sanggup bersusah-payah memberikan yang terbaik untuk pelajarnya. Apabila pihak kerajaan tidak mampu untuk menyediakan sumber sepatutnya, guru seperti Kwadwo akan melakukan sendiri segala penambahbaikan. Semuanya atas dasar minat mendidik dan rasa sayang kepada anak-anak didiknya.
Tahniah, Cikgu Kwadwo. Anda memang seorang hero! Semoga lebih ramai guru di Malaysia yang menjadikan anda sebagai inspirasi.