Bidang perguruan satu masa dahulu adalah satu profesion yang cukup dipandang tinggi tetapi entah di mana silapnya, persepsi masyarakat terhadap guru berubah. Dengan kisah-kisah kurang enak dikongsikan di laman media sosial serta pelbagai kontroversi yang menjatuhkan imej guru, pihak Kementerian Pendidikan nampaknya sedang cuba memperbaiki pelbagai kelemahan yang wujud.
BESARKAN TEKS A- A+
Adakah pendidikan di negara kita seburuk yang kita sangkakan atau itu semua hanyalah permainan realiti kita sahaja? Berikut adalah fakta-fakta tentang bidang pendidikan dan perguruan yang telah kami kumpulkan untuk dikongsi, sekurang-kurangnya untuk memperbaiki persepsi masyarakat terhadap profesion guru - yang selalu dikatakan manja dan hendak kerja senang.
1. Majoriti guru sendiri negatif tentang suasana kerja mereka
Menurut laporan Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), majoriti guru di Malaysia tidak berpuas hati tentang suasana kerja mereka di sekolah kerana mereka secara majoriti bersetuju masa guru lebih banyak dihabiskan untuk mengawal kelas berbanding mengajar dan melakukan kerja-kerja pengurusan. Secara purata jika dibandingkan dengan guru lain di negara luar, guru di Malaysia menghabiskan 6 jam hanya untuk kerja pengurusan, sangat tinggi berbanding negara-negara lain.
2. Pelajar di Malaysia sukar dikawal
Secara purata, majoriti guru bersetuju yang mereka terpaksa menghabiskan 15% daripada masa dalam bilik darjah hanya untuk memastikan suasana kelas yang kondusif berlaku. Isu yang sama juga wujud di kalangan dua negara lain iaitu Singapura dan Brazil yang menjadikan ketiga-tiga negara ini, adalah antara negara teratas dalam masa yang dibuang oleh guru - hanya untuk mengawal kelas.
3. Terlalu banyak aktiviti-aktiviti ekstra kurikulum
Jangan terkejut jika anda diberitahu, guru-guru di Malaysia memegang rekod tempat kedua dalam masa yang diperuntukkan bagi aktiviti-aktiviti tambahan luar kelas melibatkan pelajar seperti badan beruniform, sukan dan sebagainya. Dengan purata hampir 5 jam setiap minggu diperlukan oleh setiap guru, tidak hairanlah guru gagal memberikan fokus lebih baik pada kelas. Tempat pertama pula jatuh kepada negara Jepun dengan majoriti gurunya menghabiskan hampir 8 jam, untuk aktiviti luar kelas.
4. Kurangnya waktu guru dalam kelas
Seperti yang dah disenaraikan, oleh kerana guru di Malaysia memerlukan terlalu banyak masa digunakan bagi aktiviti luar kelas dan pengurusan, jangan hairan pula jika guru-guru di Malaysia merupakan antara barisan guru yang paling sikit berjaya meluangkan masa untuk mengajar dalam kelas. Secara purata di seluruh negara yang dikaji, 80% masa guru diperuntukkan dalam kelas, 10% untuk pengurusan dan 10% lagi untuk mengawal situasi dalam kelas.
Bagi Malaysia, guru hanya berjaya memanfaatkan 70% masa mereka untuk mengajar dan kita berada di tangga kedua paling teruk selepas Brazil yang gurunya hanya berjaya menggunakan 68% masa mereka untuk pengajaran.
5. Tidak ada pembangunan kemahiran yang cukup
Purata guru-guru seluruh dunia mempunyai 15.3 hari dalam setahun untuk digunakan bagi tujuan latihan sementara Malaysia pula hanya mampu memberikan 11 hari secara purata bagi guru memajukan diri mereka menerusi kursus. Jumlah ini agak jauh berbanding purata dan ini pasti memberikan kesan besar pada perkembangan karier guru.
6. Prestasi guru teruk? Tak apalah!
Statistik ini agak membimbangkan. Hanya 18% guru di Malaysia percaya yang prestasi mereka di sekolah akan memberikan impak pada karier mereka. Mentaliti ini jika terus dipegang pasti akan membantutkan usaha untuk memperbaiki kualiti pendidikan di negara kita kerana guru-guru tidak nampak keperluan untuk menjadi lebih baik dan berkembang.
7. Kurangnya pengetahuan pedagogi di kalangan guru
Masalah ini memerlukan masa untuk di atasi dan hanya melalui latihan saja seorang guru dapat dilengkapkan dengan ilmu pedagogi, bagi memberi mereka kemahiran menguruskan pelajar dari segi teknik, pengetahuan dan aspek kawalan psikologi. Berdasarkan kajian OECD, jumlah guru yang mempunyai kemahiran ini di Malaysia berada pada paras yang rendah iaitu hanya 30% daripada jumlah guru. Ini akan memberikan kesan paling ketara dalam ilmu pengurusan kelas seorang guru dan bagaimana SOP hendak menyelesaikan sesuatu permasalahan yang timbul.
8. Walaupun begitu, bukan semuanya tidak baik.
Malaysia mempunyai guru-guru yang berkelayakan tinggi, dengan hampir 91.2% guru mempunyai pendidikan tertiari, melepasi penanda aras. Usia guru di Malaysia juga muda dengan purata umur 38.9 tahun seorang yang membolehkan kita merancang pendidikan dengan lebih teratur. 92.1% guru di Malaysia mempunyai latihan dalam mengajar, lebih tinggi daripada Jepun dan Itali. Sementara yang paling boleh kita bangga- 99.8% guru di Malaysia bekerja sebagai penjawat perkhidmatan tetap, nombor 1 di dunia.
9. Apa isu paling besar yang guru hadapi?
Isu paling besar yang dihadapi oleh guru bukan sahaja di Malaysia, malahan di Singapura juga adalah jumlah murid yang terlalu ramai ditempatkan dalam satu kelas. Kebanyakan masalah pengajaran dan pembelajaran di Malaysia banyak berpunca daripada masalah ini sehingga mengakibatkan mereka terlalu banyak menghabiskan masa mengawal kelas.
Singapura mendapat tempat pertama dengan purata 35.5 murid dalam setiap kelas, sementara Malaysia pula berada pada kedudukan ke empat dengan purata 32.1 pelajar, mengekori Mexico dan Korea Selatan. Dengan penanda aras 24.1 murid bagi setiap kelas dianggap sebagai nilai ideal, setiap guru di Malaysia perlu mengawal pertambahan 8 orang murid berbanding guru-guru lain di seluruh dunia.
Jadi tidak hairanlah pendidikan di negara kita banyak mengalami kontroversi dan isu. Persekitaran yang tidak kondusif banyak menghalang peningkatan kualiti pendidikan yang dapat disalurkan pada murid-murid kita.
Apa solusinya?
Kita akan ulas dalam artikel akan datang kerana artikel ini ditulis, adalah untuk memberikan latar belakang sebenar masalah yang dihadapi oleh guru setiap hari dalam mendidik generasi masa depan Malaysia.