Negara Jepun banyak membawakan budaya popular atau 'pop-culture' yang unik menjadi ikutan ramai orang di seluruh dunia.
Sehingga kini populariti watak adiwira ciptaan mereka, walaupun mungkin tidak menyaingi kisah-kisah fiksyen dari barat yang sedang melalui zaman kegemilangan kini, masih kekal relevan dan terus diminati.
Buka saja di televisyen, bila anda pergi ke mana-mana kedai permainan pasti akan ada produk daripada Jepun seperti siri popular Ultraman yang telah lama menjadi minat masyarakat kita atau beberapa siri lain seperti 'Power Rangers'; yang sebenarnya dicipta orang Jepun juga.
BESARKAN TEKS A- A+
Kenapa watak fiksyen ciptaan Jepun iaitu Ultraman mampu kekal popular? Apakah kisah disebalik penciptaan genre unik ini? Jom kita belajar serba sedikit kisahnya.
Kisah di sebalik Ultraman
Jika masyarakat barat berbangga untuk mengangkat watak adiwira Superman sebagai simbol identiti masyarakat mereka, watak Ultraman sebenarnya juga merupakan hasil kerjasama identiti masyarakat Jepun yang mencerminkan budaya mereka, walaupun Ultraman itu sendiri makhluk asing sebenarnya.
Fenomena fiksyen Ultraman bermula pada tahun 1966 dengan kemunculan watak pertama Ultraman, sebelum perjuangannya disambung oleh adik-beradik serta keluarga Ultra yang lain.
Watak Superman menjadi model asas bagaimana watak Ultraman diwujudkan.
Bagaimanapun berbeza dengan Superman yang bergerak solo serta berkedudukan unik menjadi satu-satunya nyawa yang terselamat dalam insiden letupan planet asalnya, pencipta Ultraman mahu menjadikan Ultraman sebuah keluarga bagi menunjukkan kepada masyarakat Jepun kepentingan hidup bersama-sama.
Rekaan latar belakang watak Ultraman dan ahli keluarganya mengekalkan tema yang serupa selama lebih 50 tahun, menggunakan warna merah dan perak sebagai warna asas digabungkan dengan jalur-jalur atau corak yang memberikan setiap 'makhluk manusia Ultra' identiti mereka sendiri.
Pemilihan warna merah dan perak itu dipengaruhi oleh budaya masyarakat Jepun yang percaya kedua-dua warna tersebut membawakan maksud nasib baik, mewakili acara yang menggembirakan.
Ini dilihat seiras dengan sifat Ultraman yang akan muncul setiap kali diperlukan dan menghilangkan diri selepas semuanya selamat.
Mengapa Ultraman direka hanya tahu berlawan?
Sekiranya anda meneliti siri-siri Ultraman, Ultraman secara eksklusif hanya dipaparkan pandai melakukan satu perkara sahaja - bertarung.
Ultraman tidak pernah dipaparkan melakukan perkara-perkara rutin harian seperti makan dan minum, berehat, mandi malahan juga bercakap kecuali beberapa siri yang lebih baharu.
Dia datang, dia belasah, dia balik. Berbeza dengan watak adiwira lain, fokus Ultraman adalah pertarungan.
Hanya beberapa tahun kebelakangan ini watak Ultraman mula diberikan suara, lebih banyak terlibat dengan adegan-adegan drama serta mempunyai jalan cerita yang lebih kompleks, untuk membina identiti yang lebih seiring dengan permintaan semasa.
Mengapakah Ultraman generasi awal dicipta sedemikian rupa?
Pendapat popular menyebut semasa era penciptaannya, Ultraman sengaja dihadkan kemampuannya hanya mampu bertarung semata-mata.
Ini berpunca daripada simbolik mentaliti masyarakat Jepun ketika itu yang memerlukan sesuatu jalan keluar bagi menyuarakan rasa ketidak puasan hati mereka ketika itu terhadap situasi dalam negara mereka sendiri.
Pada era watak Ultraman dicipta, kerajaan Jepun ketika itu baru saja melalui fasa kejatuhan selepas tewas dalam perang, sehingga menyebabkan mereka perlu mengikut telunjuk penjajah Amerika Syarikat dalam pelbagai aspek yang mengubah kehidupan mereka.
Simbol ketidak puasan hati atau kekecewaan itu merupakan punca sebenar mengapa Ultraman hanya diberikan kebolehan untuk bertarung semata-mata.
Ini kerana syarikat Tsuburaya, pihak penerbit Ultraman melihat Ultraman sebagai satu ikon yang mampu mewakili rasa kurang senang masyarakat terhadap perubahan negara mereka sendiri, yang dikuasai kuasa asing dan dijajah secara tidak rasmi.
Jadi Ultraman hanya diam, bertarung dan pulang; menggambarkan protes masyarakat Jepun secara senyap terhadap apa yang berlaku, marah tanpa perlu membuka mulut bersuara.
Elemen agama dalam rekaan Ultraman
Kita sudah memahami serba ringkas kisah bagaimana budaya dan mentaliti masyarakat Jepun mempengaruhi latar belakang dan sifat Ultraman.
Bagaimana pula dengan rekaannya yang amat dikenali dan ikonik itu?
Semua Ultraman mempunyai elemen rekaan yang hampir serupa dan yang lebih penting, ekspresi wajah setiap watak adiwira Ultra memaparkan wajah yang boleh dikatakan 'kosong' - tiada sebarang ekspresi.
Percayakah anda wajah tiada ekspresi itu sebenarnya diambil daripadai elemen tokoh agama Buddha sebagai satu representasi, bagi menggambarkan kepercayaan mereka?
Kisah bagaimana 'wajah Ultraman' direka ada disebutkan dalam buku Eiji Tsuburaya : Master of Monsters yang menjelaskan bagaimana wajah Buddha menjadi rujukan pelukis awal Ultraman bernama Tohl Narita.
Lakaran-lakaran awal Ultraman pada asalnya memaparkan Ultraman dalam ekspresi lebih garang dengan wajah yang dikatakan oleh Tsuburaya dan Narita sendiri, terlalu berbeza dengan manusia.
Disebabkan itu Narita diminta memperbaiki wajah Ultraman agar wajahnya dilihat mampu memaparkan elemen kebaikan atau kesucian dengan lebih jelas.
Bagi memperbaiki rekaan Ultraman, Narita pasal asalnya mengambil idea daripada gambaran watak dalam sejarah Mesir dan Yunani namun maklum balas yang diterima, mendapati rekaan yang diajukan masih belum menepati apa yang dikehendaki.
Jadi Tsuburaya dan Narita merujuk kepada ukiran-ukiran patung Buddha yang ada di Jepun, menggunakan ekspresi bersifat kosong yang dipaparkan pada patung itu dan menterjemahkannya kepada wajah Ultraman.
Wajah Buddha yang dipilih untuk dijadikan wajah Ultraman datang daripada ukiran yang dikenali dengan nama Miroku Bosatsu, mempunyai ekspresi yang tenang hampir tersenyum dan yang paling penting - melambangkan kebaikan serta keamanan.
Naik turun nasib Ultraman
Selepas kemunculan kali pertama Ultraman, siri Ultraman berjaya menguasai imaginasi peminat di Jepun sehingga mampu mencapai skor 42.8 peratus daripada jumlah keseluruhan penonton di Jepun.
Ini bermakna untuk setiap episod yang ditayangkan, lebih 40 juta orang akan menontonnya!
Selepas hampir 15 tahun fenomena Ultraman mula mengalami penurunan populariti, gagal mendapatkan reaksi penonton yang diharapkan. Siri 'Ultraman 80' yang ditayangkan pada tahun 1980 menjadi titik penamat generasi pertama siri Ultraman ekoran kegagalannya mendapat sambutan.
Untuk lebih sedekad lamanya pihak penerbitan Tsuburaya berhenti daripada memperkenalkan watak baru Ultraman disebabkan kekurangan peminat.
Sehinggalah Tsuburaya mengeluarkan penyambung kepada legasi Ultraman yang bersifat lebih moden - diberikan nama Gridman pada tahun 1993.
Tema yang dibawakan siri Gridman jauh berbeza dengan naratif menjadi tunjang cerita dipersembahkan dalam siri Ultraman.
Gridman seringkali digambarkan memerlukan bantuan pihak luar untuk menewaskan musuhnya serta mempunyai perwatakan yang lebih mirip dengan manusia berbanding Ultraman.
Hasil daripada pendekatan baru yang lebih segar serta sokongan peminat yang kembali hangat, penerbitan Tsuburaya mengambil keputusan memulakan kembali siri Ultraman; memperkenalkan watak Ultraman Tiga yang membawa beberapa perubahan besar dari segi konsep asal siri itu.
Ultraman Tiga menjadi watak adiwira pertama siri tersebut tidak mengekalkan warna asal merah dan perak pada rekaannya, serta mempunyai beberapa mod berlainan untuk bertukar semasa pertarungan melawan raksasa.
Majoriti idea ini sangat mirip dengan konsep yang cuba diperkenalkan dalam siri Gridman sebelumnya.
Bagaimana Ultraman dinamakan?
Kami tinggalkan anda dengan satu kisah menarik bagaimana nama Ultraman dicipta.
Pada tahun 1964, ahli gimnastik Jepun yang terkenal bernama Yukio Endo berjaya memenangi 3 pingat emas Olimpik. Salah satu gerakan asli yang dicipta beliau semasa kejohanan tersebut dinamakan sebagai 'Ultra C.'
Semasa siaran langsung pertandingan yang memaparkan Endo, pengulas pasti akan menjerit 'ULTRA!' apabila Endo diumumkan sebagai pemenang.
Mendapat inspirasi daripada kejayaan Endo serta kedudukan beliau sebagai seorang atlit yang disegani masyarakat, Tsuburaya menamakan watak ciptaan syarikatnya 'Ultraman', sebagai satu bentuk penghormatan kepada atlit Jepun tersebut.
Rujukan
Ultraman’s Origin Story: The 1964 Tokyo Olympics Men’s Gymnastics Team
Transformational Magic : Japanese Superheroes and Monsters (PDF)