Sebelum tersebarnya agama-agama besar dunia yang dapat kita lihat sekarang, tamadun manusia pastilah telahpun melalui satu proses di mana wujudnya pelbagai jenis kepercayaan atau anutan, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.
Berbeza dengan format penyebaran agama dalam zaman moden yang boleh dikatakan sangat tersusun serta teratur, orang zaman dahulu kebiasaannya mengamalkan kepercayaan mereka dalam pelbagai jenis kaedah yang bersifat ortodoks.
BESARKAN TEKS A- A+
Apakah jenis-jenis kepercayaan masyarakat zaman dahulu yang popular di kalangan masyarakat dunia, sehingga mampu membentuk kumpulan komuniti penganut agama yang besar jumlahnya? Berikut adalah lima agama kuno yang telah diamalkan orang zaman dahulu serta dipercayai telah lenyap, tidak lagi diamalkan.
1. Mithrais
Kepercayaan ini kurang popular serta tidak menular di kalangan masyarakat Rom dalam skala yang besar, kerana gerakan penyebarannya berlaku secara sulit; lebih mirip dengan gerakan sebuah ajaran sesat.
Penganut Mithrais menyembah sejenis dewa bernama Mithras, yang dipercayai mengawal elemen-elemen dalam manusia dan juga atur cara hidup mereka. Wujud sekitar abad pertama lagi dalam kalendar, ajaran ini walaupun dijalankan secara rahsia berjaya berkembang sehingga ke keseluruhan kawasan di bawah taklukan Empayar Roman, termasuklah kumpulan-kumpulan rahsia di Itali.
Bagi mengelakkan kegiatan mereka diketahui ramai, penganut Mitrhas yang dinamakan sebagai Votaries akan membina ruang penyembahan mereka di dalam gua yang jauh daripada komuniti orang ramai. Penemuan pusat penyembahan mereka meliputi kawasan yang sangat luas, meliputi Walbrook di London, Jajce di Bosnia dan banyak lagi. Penemuan terbaru berlaku di daerah Diyarbakir, Turki di sebuah istana lama pada tahun 2017.
2. Maniche
Maniche merupakan sebuah kepercayaan yang diasaskan oleh seorang lelaki Parsi bernama Mani, seorang lelaki yang dipercayai berstatus utusan Tuhan oleh pengikut beliau.
Selama lebih empat abad bermula sekitar abad ke 3 sehinggalah abad ke 7, kepercayaan ini menjadi pilihan ramai ahli masyarakat dunia, daripada negara-negara yang menggunakan bahasa Aramaic seperti Mesopotamia, Levant dan Mesir Kuno - sehingga dikatakan mampu menyaingi populariti ajaran Kristian ketika itu.
Mengakui dirinya sebagai manusia terpilih, Mani mengajar pengikutnya bahawa agama-agama besar ketika itu iaitu Kristian, Buddha dan Zoroaster berada dalam keadaan tidak lengkap jadi dia ditugaskan untuk melengkapkan ajaran yang ada, dengan menggabungkan kesemua elemen dalam ketiga-tiga agama itu ke dalam satu ajaran sempurna.
Apa yang unik, ajaran Maniche memilih untuk meletakkan ketiga-tiga utusan Tuhan yang dipercayai masyarakat dunia ketika itu iaitu Buddha, Jesus, Zoroaster dan Mani sendiri sebagai kepercayaan asas penganut agama tersebut.
3. Olmec
Nenek moyang kepada orang Mexico atau lebih tepat lagi digelarkan sebagai masyarakat Meso-Amerika mempunyai satu tamadun yang terkenal, wujud sekitar tahun 1600SM sehinggalah tahun 350SM yang dikenali dengan nama Tamadun Olmec.
Mereka adalah tamadun pertama yang wujud di kawasan tersebut dengan perusahaan getah menjadi asas ekonomi mereka. Sekiranya kita mampu menghasilkan pelbagai jenis barangan menggunakan getah, orang Olmec adalah kumpulan manusia yang berjaya membentuk getah dengan sempurna.
Kepercayaan mereka pula masih bersifat kepercayaan kuno di mana mereka menyembah 5 jenis Tuhan yang tidak berjantina yang mempunyai bentuk sama seperti haiwan - naga, burung, ikan, harimau kumbang dan ular dan 3 lagi Tuhan yang mewakili kehidupan mereka - mata, air dan jagung.
Upacara penyembahan mereka memerlukan pengorbanan dilakukan, dengan beberapa penemuan rangka bayi yang dispekulasi telah dijadikan bahan pemujaan pada Tuhan mereka, mampu membuatkan kita tidak senang duduk memikirkannya. (Olmec Ferox : Ritual Human Sacrifice - PDF)
4. Vedi
Dipercayai sebagai antara yang terbesar di kalangan masyarakat India purba satu masa dulu, Vedi atau Vedic muncul sekitar tahun 1500SM sehinggalah mengalami penurunan bermula pada tahun 500SM.
Vedi amat mirip dengan ajaran agama Hindu, kerana turut sama disebutkan di dalam kitab-kitab ajaran Hindu utama termasuklah juga dalam koleksi teks kuno Upanishad yang menjadi rujukan penganut Hindu. Bagaimanapun, Vedi berbeza dengan ajaran Hindu kerana tidak mengajarkan konsep 'samsara' atau konsep kehidupan semula dan juga konsep 'karma'.
Kepercayaan Vedi dikatakan menjadi batu asas kepada pembentukan ajaran Hindu yang ada, namun ajaran Vedi meletakkan Dewa Indra sebagai Dewa yang berada pada kedudukan paling atas.
5. Kepercayaan masyarakat Kana'an
Salah sebuah kepercayaan paling tua yang dianuti masyarakat sekitar kawasan Meditteranean, agama ini merupakan agama yang paling banyak menimbulkan kontroversi di kalangan pengkaji sejarah - berikutan perselisihan pendapat yang sering berlaku apabila kepercayaan dan masyarakat Kana'an dibincangkan, kerana istilah 'Kana'an' dan kaitannya dengan istilah 'Israel' kerap kali mengundang kontroversi. Tetapi itu kita simpan untuk artikel lain ya!
Dari segi kepercayaan mereka, masyarakat yang menduduki kawasan itu tidak mempunyai bentuk atau konsep agama rasmi, tetapi mempercayai kewujudan beberapa jenis kuasa Tuhan atau Dewa yang wujud dan menguasai alam - dengan Tuhan paling tinggi kedudukannya disebut sebagai El, ayah kepada Tuhan lain serta pencipta kepada dewa dan dewi.
Berkahwin dengan makhluk dewi yang bernama Asherah, El mempunyai 70 orang anak dengan anaknya yang paling terkenal, bernama Baal yang akhirnya menjadi antara Dewa yang paling ramai pengikutnya di kalangan orang Kana'an. Berikutan kepercayaan yang kuat dipegang penyembah Baal, nama Baal banyak disebutkan dalam kitab-kitab masyarakat Kristian sebagai salah satu musuh utama penganut Kristian menyebarkan fahaman mereka, dengan nama Baal kerap kali muncul dalam kitab Perjanjian Lama.