Niccolo Machiavelli lahir pada 3 Mei 1469 di Florence, Itali. Anak seorang peguam bernama Bernardo Machiavelli, kedudukan ayahnya membolehkan Niccolo mendapatkan pendidikan formal yang baik sejak kecil.
Ketidak stabilan politik akibatkan kejatuhan keluarga Medici yang memerintah Florence selama lebih 60 tahun. Walaupun berdepan dengan keadaan yang tidak aman, Machiavelli berjaya membina kariernya. Dia dilantik sebagai setiausaha badan kerajaan yang kemudiannya membawa beliau bertugas sebagai seorang diplomat.
BESARKAN TEKS A- A+
Hampir 14 tahun menjadi diplomat, Niccolo kemudian bertugas sebagai pemimpin pasukan askar Florence. Di bawah kendaliannya, dia berjaya membentuk semula barisan anggota askar Florence dengan melantik warga tempatan, ekoran ketidak percayaan beliau pada askar upahan militan.
Menjadi seorang penulis
Karier yang dilihat semakin baik menjunam selepas keluarga Medici dengan bantuan tentera Sepanyol berjaya menawan semula bandar Florence pada tahun 1512. Ini menyebabkan Niccolo hilang pekerjaan. Dia kemudiannya ditangkap, dipenjarakan dan diseksa atas tuduhan berkonspirasi menentang kerajaan yang sah dilantik.
Tiga minggu ditahan dan menghadapi seksaan yang menyebabkan tulang bahunya patah, Niccolo akhirnya dibebaskan. Serik dengan apa yang dihadapinya, Niccolo memilih untuk bersara dan menumpukan perhatian kepada bidang penulisan.
Pengalamannya merujuk serta mengarang perjanjian-perjanjian semasa menjadi setiausaha politik, memberikannya kemahiran untuk menulis dalam bermacam jenis genre. Niccolo menulis sajak dan skrip untuk teater, namun minatnya tetap satu - politik dunia dan masyarakat setempat.
Jadi dia mengambil keputusan untuk terus melibatkan diri dengan politik secara tidak rasmi melalui rakan-rakannya yang masih bergiat dalam politik.
Menulis buku The Prince
Menggunakan pengalamannya dalam bidang politik, Niccolo menghabiskan masa merujuk sejarah-sejarah Rom lama serta membaca kembali perjanjian-perjanjian yang dibuat kerajaan terdahulu.
Dia mengumpulkan semua yang telah dipelajarinya dalam satu karya ringkas bergelar 'The Prince' pada tahun 1513 - kini digelarkan sebagai salah satu karya terawal dunia dalam bidang falsafah moden.
'The Prince' ditulis dalam bentuk penerangan terperinci kepada pembaca prinsip atau teori politik yang ingin dibincangkan. Setiap satu daripada 26 bahagian dalam 'The Prince' membincangkan topik yang berbeza-beza seperti cara-cara mengambil alih kuasa, bagaimana menguasai bidang ketenteraan, panduan sifat-sifat sebenar pemimpin dan pelbagai lagi.
'The Prince' digambarkan sebagai satu buku falsafah yang mendahului zaman untuk memahami bagaimana seseorang itu mampu mengambil alih kuasa dan meletakkan dirinya sahaja secara total dalam memegang kuasa tersebut.
'The Prince' hanya dapat dicetak untuk terbitan orang ramai pada tahun 1532, lima tahun selepas kematian Niccolo. Penerbitan buku ini secara meluas mendapat kecaman orang ramai berikutan prinsip politik yang dipaparkan hasil buah fikirannya jauh berbeza dengan kebiasaan.
Pope Clement VIII mengutuk kandungan 'The Prince' yang dikatakan menggalakkan pemimpin untuk memimpin menggunakan penipuan dan ketakutan, berbanding cuba menjadi dihormati dan disayangi.
Falsafah politik Machiavelli
Dalam tulisannya yang dipetik daripada 'The Prince', Niccolo menyatakan sekiranya seorang pemimpin perlu memilih untuk disayangi atau ditakuti - adalah lebih baik dia memilih untuk ditakuti - kerana keselamatan dan kuasa pemimpin tersebut lebih terjamin dalam kondisi tersebut.
Membincangkan falsafah Niccolo, kita perlu menerima falsafah yang disampaikan ada kalanya bersifat ekstrim.
Niccolo berhujah mustahil seorang pemimpin yang disayangi semua rakyatnya tetapi dalam masa yang sama turut ditakuti musuhnya. Pandangan beliau, seorang pemimpin perlu berusaha sebaik mungkin dalam memastikan perasaan takut menyelubungi individu yang diperintah, kerana 'ketakutan' itu adalah faktor yang menjadi pengawal situasi dalam sesebuah kerajaan.
Niccolo banyak belajar daripada kisah pengaruh Girolamo Savoranola, seorang paderi yang pernah memberikan pengaruh besar kepada penganut Kristian di Florence.
Langkah Girolamo cuba menjadi penasihat parti pemerintah Frateschi di Florence, dengan pengenalan kaedah perdamaian serta cuba berdemokrasi dengan semua pihak sebenarnya menjadi kelemahan kepada dirinya sendiri - yang menyebabkan dia dibunuh pada akhir hayatnya.
Pemimpin perlu ditakuti, bukan disayangi
Pengaruh Girolamo sebagai penasihat tidak rasmi kerajaan Florence dilihat semakin kuat, dengan sokongan orang ramai kepadanya melalui pengenalan pelbagai undang-undang baru yang meliberalisasikan masyarakat di sana.
Pope Alexander VI yang ketika itu mengetuai agama Kristian mula melihat Girolamo satu ancaman kepada pengaruh beliau dan penyebaran agama Kristian, kerana hasrat Girolamo mahu menjadikan Florence sebagai Jerusalem baharu, berbeza dengan gerakan Kristian lain ketika itu.
Pope Alexander VI melarang Girolamo daripada terus berceramah, namun tidak diendahkan jadi Girolamo mula berdepan dengan pelbagai tuduhan, kemudian dipenjarakan kerana didakwa menipu orang ramai selama ini.
Selepas perbicaraan, Girolamo disabitkan kesalahan menipu penganut Kristian dan menyelewengkan agama Kristian, yang menyebabkan dia dihukum mati bersama tiga orang lagi rakannya. Girolamo mati digantung di tengah-tengah bandar Florence di hadapan khalayak ramai. Mmayatnya terus dibakar selepas meninggal dunia bagi mengelakkan bahagian badannya disimpan pengikut beliau.
Kisah yang berlaku pada Girolamo Savoranola menjadi penyebab utama kenapa Niccolo Machiavelli berpendapat seorang pemimpin tidak sepatutnya mempamerkan sikap baik serta cuba bertoleransi dengan sesiapa saja.
Bagi Niccolo, tragedi Girolamo Savoranola boleh dielakkan sekiranya Girolamo mampu bertindak keras dan kejam dalam menghapuskan musuh-musuh politiknya, melalui kuasa yang sudah diperolehinya ketika itu.
Asas falsafah Machiavelli adalah "Virtu"
Asas kepada falsafah Machiavelli sangat bergantung kepada perkara dinamakan 'virtu'; iaitu sifat-sifat yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin dalam menjadikan dirinya seorang pemimpin yang efektif.
Menurut Niccolo, sifat-sifat seorang pemimpin pada asasnya bukanlah bergantung kepada keperluan untuk diterima semua orang - tetapi sifat-sifat berani mengambil langkah yang berlawanan dengan sifat-sifat yang dianjurkan agama Kristian yang terlalu berpandukan kebaikan. Girolamo Savoranola jatuh kerana dia terlalu berpegang pada ajaran Kristian sehingga tidak mampu melawan, menyebabkan dirinya tidak mampu menangkis serangan seteru politiknya yang mampu bertindak lebih keras.
Dengan mengabaikan ajaran Kristian - seorang pemimpin akan mempunyai kekuatan untuk membuat keputusan sukar bagi menjaga kepentingan pemerintahannya; ini kerana falsafah Machiavelli mengutamakan keutuhan pentadbiran berbanding moral pentadbiran itu sendiri.
Seorang pemimpin harus mempunyai satu sifat yang beliau gelarkan 'criminal virtu' atau 'sifat penjenayah' agar supaya pemimpin mampu bertindak ganas, kejam atau jahat - asalkan kestabilan masyarakatnya terpelihara dan kedudukannya sebagai seorang pemimpin tidak dapat digugat mana-mana pihak. Pengorbanan nyawa akibat tindakan kejam seorang pemimpin dihujahkan perlu, dalam usaha mengekalkan keamanan yang jauh lebih bernilai.
Mengorbankan etika dan moral untuk kestabilan politik
Buku 'The Prince' memberi pengaruh besar pada politik selepas itu, dengan prinsip dan falsafah yang dibincangkan Niccolo membawa satu dimensi baru pada pola pemikiran pemimpin dunia.
Falsafah politik Niccolo yang bersifat berpijak di bumi yang nyata mula dapat diterima pakai orang ramai, khasnya pemimpin-pemimpin yang muncul selepas eranya. Selain itu, Machiavelli disebut memberikan pengaruh yang sangat besar pada ahli-ahli falsafah yang muncul pada abad ke 16 hingga 19 seperti James Harrington, Baruch Spinoza dan ramai lagi. Karya William Shakespeare terkenal, 'Othello' juga membawakan sifat-sifat yang dibincangkan 'The Prince' dalam garapan peribadi watak utama kisah tersebut.
Diktator-diktator terkenal dunia seperti Benito Mussolini dan Joseph Stalin juga kerap kali membincangkan berkenaan kesan 'The Prince' pada corak pemikiran mereka serta dilihat tidak takut untuk mengamalkan 'criminal virtu' sebagai langkah terbaik dalam menangani satu masalah yang dihadapi. Perdana Menteri Malaysia sendiri, Tun Mahathir Mohamad juga didakwa kerap mengamalkan falsafah Machiavelli dalam merangka perancangan serta keputusan dasar negara.
Niccolo Machiavelli meninggal dunia pada 21 Jun 1527 di bandar Florence, selepas menghabiskan usianya di sebuah kampung kecil di situ. Tubuhnya dikebumikan di Santa Croce.
Apa yang menariknya, tempat persemadian beliau yang terletak dalam kawasan gereja merupakan kawasan larangan baginya semasa hidup, selepas pihak gereja melarang beliau masuk ke kawasan gereja tersebut ekoran falsafah yang dibawanya.
Pihak Roman Katolik melarang penyebaran buku tersebut pada tahun 1559. 'The Prince' diletakkan dalam senarai buku-buku larangan kerana dirasakan menyebarkan fahaman anti Kristian yang mampu menggugat pengaruh agama Kristian di Itali.