Seperti diketahui umum, cincin merupakan barang hiasan yang sering digunakan masyarakat dunia sebagai tanda ikatan sesuatu hubungan. Sama seperti di Malaysia, cincin menjadi simbol penting dalam acara merisik, pertunangan dan perkahwinan.

Maka, tidak hairanlah mengapa begitu banyak rekaan cincin yang terdapat di pasaran pada hari ini. Cincin perkahwinan biasanya diperbuat daripada emas, permata, platinum, perak dan pelbagai bahan lain lagi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Harganya juga boleh dikatakan agak mahal sehingga ada yang mencecah puluhan ribu ringgit. Bagaimana hiasan ini boleh menjadi begitu popular sebagai simbol cinta di seluruh dunia?

Sejarah cincin

Sebenarnya, cincin telah digunakan berabad-abad lamanya sebagai barang hiasan. Kira-kira 5000 tahun yang lalu, masyarakat tamadun Mesir Kuno sudahpun menggunakan cincin sebagai lambang kekayaan, cinta dan penghormatan kepada tuhan mereka.

cincin mesir purba

Antara rekaan cincin pada waktu itu adalah berbentuk kumbang yang membawa maksud kelahiran semula dan kesuburan. Mereka tidak menggunakan cincin sebagai lambang perkahwinan dan hanya gologan kaya sahaja yang mampu memilikinya.

Sejarah penggunaan cincin sebagai lambang perkahwinan sebenarnya telah dikesan bermula sejak dari zaman Rom Purba lagi. Institut Gemologi Amerika mempunyai bukti bahawa wanita pada zaman Rom Purba telah memakai cincin yang diperbuat daripada besi, tembaga, gading dan batu.

Cincin perkahwinan tertua

Cincin perkahwinan tertua berjaya ditemui ahli arkeologi di bandar Pompeii, Itali, yang musnah akibat letusan gunung berapi pada tahun 79 Masihi. Cincin perkahwinan itu diperbuat daripada emas.

cincin rom purba

Pada mulanya, mereka menggunakan cincin sebagai tanda sesuatu perniagaan, perjanjian atau pemilikan. Memandangkan perkahwinan merupakan suatu perjanjian antara dua pihak, secara tidak langsung cincin menjadi bukti kesetiaan dan cinta kepada pasangan hidup mereka.

Cincin perkahwinan menjadi begitu popular sebagai barang kemas sehingga para wanita pada waktu itu memakai cincin perkahwinan besi ketika berada di rumah dan memakai cincin perkahwinan emas apabila keluar di khalayak ramai.

Cincin pertunangan

Cincin kemudiannya mula digunakan sebagai tanda pertunangan sekitar tahun 850 Masihi. Pada waktu itu, Pope Nicholas I secara rasminya menyatakan bahawa cincin pertunangan diberikan dengan maksud menyatakan hasrat untuk berkahwin.

cincin maximilan i kepada mary of burgundy

Cincin Maximilan of Austria kepada Mary of Burgundy

Mereka tidak lagi menggunakan cincin sebagai tanda perniagaan atau perjanjian tetapi menjadi simbol cinta dan komitmen. Emas masih merupakan bahan paling popular digunakan untuk menghasilkan jenis cincin pertunangan ketika itu. 

Berlian pula pertama kalinya digunakan pada cincin pertunangan atau perkahwinan adalah sekitar tahun 1477. Ketika itu, Archduke Maximilian of Austria (1459–1519) telah memutuskan untuk melamar Mary of Burgundy (1457–1482).

Maximilian yang bakal dilantik menjadi Maharaja Rom Suci mahukan cincin yang berbeza berbanding orang lain. Maximilian mengarahkan agar cincin berliannya dihasilkan dari permata panjang menjadi bentuk "M".

Berlian menjadi pilihan popular

Sebenarnya, cincin berlian tidak banyak dihasilkan selepas pertama kali ia digunakan Archduke Maximilian of Austria sehinggalah ia menjadi popular semula beratus-ratus tahun kemudian pada sekitar tahun 1940-an.

de beers diamond is forever

Ia bermula pada tahun 1947, apabila sebuah syarikat Britain yang khusus dalam perlombongan berlian iaitu De Beers melancarkan kempen mempromosikan berlian. Dalam iklan tersebut, tertulis satu slogan yang menjadi popular sehingga hari ini iaitu "Diamond is forever".

Malah, cincin berlian yang baru diperkenalkan itu lebih mahal berbanding cincin emas yang digunakan sejak beribu-ribu tahun dahulu.

Apa yang lebih mengejutkan, De Beers berjaya mempromosikan berlian ketika dunia di ambang Perang Dunia Kedua dan kemelesetan ekonomi yang hebat. Sebelum WWII, hanya 10% sahaja cincin perkahwinan mengandungi berlian.

Bagaimana mereka melakukannya

Jadi, bagaimana De Beers mengubah cincin berlian yang nilainya lebih rendah berbanding emas dan perak menjadi sesuatu yang mahal?

upacara menyarung cincin 776

De Beers telah mengupah sebuah syarikat pengiklanan Amerika, N.W. Ayer, untuk mempromosikan berlian. Syarikat pengiklanan itu cuba mengubah persepsi dunia mengenai berlian dengan pelbagai propaganda sehingga menjadikan berlian itu sebagai sesuatu yang wajib dalam perkahwinan.

Mereka membuat iklan berlian menggunakan pelakon-pelakon ternama Hollywood, menulis pelbagai artikel, strategi pemasaran dan banyak lagi. Sejak kempen De Beers berjaya membuatkan berlian menjadi kegilaan ramai, tradisi cincin pertunangan dan perkahwinan juga semakin berkembang.

Pengantin sekarang masih lagi meminati berlian tetapi telah memperluaskan pilihan mereka dengan pelbagai tambahan yang lebih mewah dan eksotik. Cincin berlian pada hari ini ditambah dengan pelbagai batu permata berwarna dan logam yang unik.

Malah, pengantin lelaki pada hari ini juga memilih untuk memakai cincin bersama-sama pasangan mereka. Walaupun menyarung cincin pada jari pengantin merupakan amalan popular, tahukah anda bahawa ia bukanlah berasal dari ajaran Islam? Wallahu a'lam.




Hakcipta iluminasi.com (2017)