Dilahirkan pada 10 Ogos 1909 di California, Amerika Syarikat, Clarence Leonidas "Leo" Fender adalah pengasas kepada Syarikat Pengilangan Instrumen Elektrik Fender atau lebih dikenali ramai sebagai Fender sahaja.

Selain merupakan salah satu pengeluar gitar paling terkenal di dunia, Fender juga merupakan syarikat pertama yang menghasilkan gitar elektrik, Fender Telecaster, yang diperkenalkan pada tahun 1950.

BESARKAN TEKS     A-  A+

leo fender 360

Gitar elektrik sebenarnya sudah wujud dan diperkenalkan sekitar 20 tahun sebelum penghasilan Telecaster, namun model gitar elektrik Fender itu adalah hasil revolusioner dan dengan cepat menguasai dunia muzik.

Walaupun pencipta Telecaster itu dikenali sebagai pakar dalam pembuatan gitar dan mempunyai impak yang besar dalam industri muzik, Leo Fender sebenarnya tidak pernah belajar bagaimana untuk bermain instrumen yang disempurnakannya itu.

Sejarah awal Leo Fender

leo fender sewaktu muda 122

Mula meminati bidang elektronik sejak usia muda, Fender telah menerima kotak yang mengandungi bahagian radio dan bateri terbuang daripada bapa saudaranya yang menjalankan perniagaan kedai elektrik automotif.

Fender hanya berusia 13 tahun ketika dia melawat ke kedai bapa saudaranya itu. Dia menjadi begitu terpesona dengan bunyi yang keluar daripada radio yang dipasang oleh bapa saudaranya itu.

Beberapa tahun kemudian, dia telah mengembangkan minatnya itu dengan mendirikan sebuah kedai kecil di kediaman ibu bapanya dengan membaiki radio.

Selepas menamatkan pengajian dari Higherton Union High School pada tahun 1928, dia kemudian melanjutkan pengajiannya di Fullerton Junior College dalam jurusan perakaunan. Walaupun dia mahir dalam bidang ekonomi, Fender terus mempelajari tentang elektronik dan membaiki peralatan elektrik dengan sendiri.

leo fender 2

Hasil kerja utamanya adalah penghasilan enam sistem bunyi yang dibinanya untuk satu kugiran tempatan bagi kegunaan mereka untuk sebuah pertunjukan di Hollywood.

Pada waktu itu, Fender sudahpun bekerja sebagai seorang penghantar barangan dan kemudian menjadi seorang akauntan di Consolidated Ice and Cold Storage Company di Anaheim.

Pada tahun-tahun berikutnya, Fender telah beberapa kali bertukar pekerjaan. Dia pernah bekerja sebagai akauntan untuk Jabatan Lebuh Raya California dan di sebuah syarikat tayar.

Pada masa yang sama juga, dia telah bertemu dengan cinta hidupnya, Esther Klosky, dan mereka telah berkahwin pada tahun 1934. Era Kemelesetan Besar yang melanda Amerika telah menyebabkan Fender kehilangan pekerjaan dan pada tahun 1938, dia dan isterinya telah kembali ke Fullerton di mana Fender telah membuka kedai pembaikan radionya sendiri.

Fender Radio Services mula ditubuhkan dengan bermodalkan USD 600 yang dipinjam Fender. Tidak lama selepas itu reputasinya mula berkembang dan Fender menjadi popular di kalangan kumpulan muzik tempatan. Dia membina serta menjual sistem bunyi dan amplifiers untuk gitar akustik bagi kegunaan kumpulan muzik dalam persembahan mereka.

Gitar pertama Fender

gitar riba elektrik fender 196

Gitar Riba Elektrik dan Amplifier Fender

Fender bekerjasama dengan Doc Kauffman untuk menghasilkan gitar pertamanya. Kauffman sebenarnya adalah seorang pereka yang bekerja di Rickenbacker, sebuah syarikat pengeluar gitar.

Mereka berdua kemudian menubuhkan K&F Manufacturing Corporation yang menghasilkan gitar Hawaii dengan pembesar suara dan amplifier. Pada tahun 1944, dua orang pencipta itu telah mereka gitar riba keluli dengan pickup elektrik dan telah dipatenkan oleh Fender.

Setahun selepas itu, syarikat mereka mula menjual gitar riba itu bersama dengan amplifier Fender. Semasa berakhirnya Perang Dunia Kedua, suasana muzik di Amerika Syarikat juga berubah. Band-band besar menjadi kurang popular dan kugiran-kugiran kecil semakin banyak seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

doc kauffman

Doc Kauffman

Dengan genre baru seperti rhythm and blues dan swing, kugiran-kugiran ini lebih gemar menggunakan gitar elektrik. Pada penghujung tahun 1940-an, permintaan instrumen itu meningkat dengan ketara. Pada masa itu, model gitar yang paling mudah didapati ialah Rickenbacker Spanish Electro dan Log Les Paul.

Pada tahun 1946 pula, Leo Fender telah mengasaskan Fender Musical Instruments Corporation. Dia menyedari tentang keperluan untuk gitar yang lebih ringkas, mudah dimainkan, boleh memanjangkan bunyi dan boleh dilaraskan. Fender kemudian mula bekerja menghasilkan prototaip yang baru.

Penghasilan Fender Telecaster dan Stratocaster

fender esquire 1949

Fender Esquire 1949

Dia menyiapkan model itu pada tahun 1949 dan setahun kemudian Fender Esquire dihasilkan. Tidak lama selepas itu gitar model itu ditukar nama kepada Broadcaster dan pada tahun 1951, gitar itu dikenali dengan nama Telecaster. Model Telecaster merupakan gitar elektrik paling terkenal pernah dihasilkan.

Namun, nama gitarnya terkenal itu terpaksa ditukar kerana masalah hak cipta. Ini kerana sudah terdapat sejenis dram bernama Broadkaster yang dihasilkan oleh syarikat Gretsch. Syarikat itu menghantar telegram kepada Fender dan mengeluh mengenai nama model gitarnya itu.

Pada tahun 1953, Fender memulakan projek barunya menghasilkan model gitar elektrik yang dinamakan Stratocaster. Model itu kemudian menjadi salah satu gitar paling laris terjual sejak diperkenalkan termasuk beberapa lagi produk lain syarikatnya seperti Bass Precision De Luxe, Jazz Bass dan Fender Bassman Amplifier. 

fender telecaster 1951

Fender Telecaster 1951

Apabila tiba era 60-an, Leo masih lagi bekerja keras dalam kedua-dua bidang perniagaannya serta sektor kajian dan pembangunan untuk menghasilkan produk baru. Akibat jangkitan sinus streptokokus yang dialaminya sejak tahun 50-an menjejaskan kesihatannya, Fender akhirnya terpaksa menjual syarikatnya kepada Columbia Broadcasting System.

Pada tahun 1965, CBS telah membayar USD 13 juta untuk syarikatnya itu walaupun dia tetap menjadi perunding Fender untuk sementara waktu. Leo juga bersetuju untuk tidak terlibat dalam industri instrumen muzik dalam masa 10 tahun akan datang.

Leo Fender menubuhkan beberapa syarikat baru

Tidak lama selepas itu, Leo Fender telah berjaya sembuh dari penyakitnya dan menubuhkan syarikat baru bernama Tri-sonic pada tahun 1971. Dia memulakan syarikat itu bersama rakan kongsinya iaitu Forrest White dan Tom Walker.

gitar tri sonic

Tri-Sonic Burns

Leo dan Walker menjadi pereka amplifier sementara White pula menumpukan pada rekaan gitar. Mereka berhati-hati supaya reka bentuk model mereka tidak menyerupai model CBS Fender. Pada tahun 1974, mereka telah menukar nama syarikat itu kepada Musicman.

Leo Fender kemudian dipilih sebagai presiden syarikat itu. Mereka mempunyai permulaan yang baik tetapi pada penghujung 1970-an, perniagaan mereka semakin menurun. Pada tahun 1985 Leo Fender meninggalkan syarikat itu dan menjualnya kepada Ernie and Sterling Ball.

Tidak lama selepas itu Leo dan rakan lamanya, George Fullerton, membentuk pula syarikat baru iaitu G&L Guitars pada tahun 1979. Mereka menghasilkan gitar yang sama dengan model asal yang dihasilkan Fender tetapi dipertingkatkan dengan sistem elektronik dan tremolo moden.

gitar g l

Gitar dan bass elektrik G&L

Pada tahun yang sama juga isteri Fender iaitu Esther meninggal dunia akibat kenser. Leo yang tidak kenal erti penat lelah itu meneruskan kerjayanya dan menghasilkan beberapa lagi paten baru pada tahun berikutnya.

Hari terakhir dia bekerja adalah pada 20 Mac 1991. Ketika itu kesihatannya amat teruk disebabkan beberapa serangan strok dan penyakit Parkinson. Pada 21 Mac 1991, dia meninggal dunia dan dikebumikan di Fairhaven Memorial Park di Santa Ana, California.

Walaupun Leo Fender belajar bermain piano semasa zaman kanak-kanak, dia tidak pernah langsung belajar bagaimana untuk bermain gitar walaupun menghabiskan sebahagian besar masanya membangunkan dan memegang instrumen itu setiap hari sehingga dia meninggal dunia.

leo fender 3

Pada tahun 2009, Leo Fender dikurniakan Anugerah Grammy Teknikal kerana sumbangannya terhadap kepentingan teknikal yang luar biasa dalam bidang rakaman. Dia telah mengubah industri muzik dan pencapaiannya itu tidak dapat dijangkau oleh orang lain.

Rujukan:

1. Fender

2. Sound Unlimited

3. Dawsons




Hakcipta iluminasi.com (2017)