Pada 1 Februari 2021, dunia digemparkan dengan rampasan kuasa yang berlaku di Myanmar. Pemimpin de facto Myanmar, Aung San Suu Kyi bersama Presiden Win Myit telah ditahan junta tentera bersama puluhan lagi pemimpin kanan negara itu.
Rampasan kuasa itu berlaku apabila pihak tentera Myanmar mendakwa berlakunya "penipuan" dalam pilihan raya umum 2020. Parti politik yang dipimpin oleh Suu Kyi, Liga Nasional untuk Demokrasi atau National League for Democracy (NLD) menang besar dengan lebih 70% undian dalam pilihanraya yang diadakan pada 9 November 2020 yang lalu.
BESARKAN TEKS A- A+
Kemenangan ini adalah lebih baik berbanding pilihan raya 2015 manakala kekalahan Parti Solidariti dan Pembangunan Union atau Union Solidarity and Development Party (USDP) yang disokong junta tentera semakin teruk berbanding sebelumnya.
Walaupun tentera bersumpah untuk menghormati dan melindungi Perlembagaan negara pada 30 Januari 2021, kejutan berlaku hanya dua hari kemudian apabila berlakunya rampasan kuasa. Junta tentera mengisytiharkan darurat selama satu tahun, beberapa jam sebelum Parlimen bersambung semula buat pertama kalinya selepas pilihan raya.
Sejarah Junta Tentera Myanmar
Sebelum Myanmar, negara itu dikenali sebagai Burma dan mencapai kemerdekaan pada tahun 1948 dengan U Nu sebagai Perdana Menteri pertama. U Nu mengetuai Liga Kebebasan Rakyat Anti-Fasis atau Anti-Fascist People’s Freedom League (AFPFL) yang diterajui bersama Aung San (bapa Suu Kyi) menentang penjajahan Jepun dengan bantuan empayar Inggeris.
U Nu (kiri) bersama Aung San (kanan)
Kali pertama pihak tentera terlibat dalam politik Burma adalah pada 1958, apabila berlaku perpecahan dalam AFLPL. Ketua Panglima Ne Win diminta memikul tugas sebagai Perdana Menteri Interim (sementara). We Nin telah merombak semula parti Sosialis dan ini bakal memberi kesan besar terhadap Burma pada masa hadapan.
Pada pilihan raya 1960, U Nu dan partinya menang dan Panglima Ne Win menyerahkan kembali kuasa pemerintahannya. Hanya dua tahun kemudian pada 1962, Ne Win merebutnya semula melalui rampasan kuasa yang digelarnya sebagai "kudeta tanpa pertumpahan darah".
Ne Win kemudiannya membentuk "Burma untuk Sosialisme" dengan membubarkan struktur persekutuan dan memperkenalkan Parti Program Sosialis atau Socialist Programme Party (SPP) sebagai satu-satunya parti sah di negara itu.
Protes Antikerajaan
Ne Win menjalankan dasar pengecualian dengan dunia luar untuk Burma selama dua dekad. Antara perubahan besar yang dilakukannya adalah seperti menasionalisasikan ekonomi, menyekat kebebasan media, penjagaan kesihatan percuma, mengusir orang asing dan memenjarakan musuh politiknya.
Rusuhan Burma 1988
Burma mengalami keadaan ekonomi yang lembap, inflasi yang teruk dan kejatuhan mata wang yang ketara. Pada 1987, rusuhan antikerajaan berlaku secara besar-besaran melibatkan pelajar, para sami dan kumpulan pekerja.
Ribuan rakyat terbunuh dalam rusuhan itu dan kebencian terhadap kelemahan pengurusan ekonomi pemerintahan tentera menjadi semakin menebal di kalangan kumpulan pro-demokrasi.
Apabila Panglima Ne Win berundur sebagai Ketua SPP pada 1988, status ekonomi Burma telah jatuh begitu rendah sehingga dilabelkan sebagai salah satu "Negara Termundur Dunia".
Ne Win digantikan oleh Panglima Saw Maung yang menubuhkan Majlis Pemulihan Undang-Undang dan Ketertiban Negeri untuk memenangi hati rakyat. Pada masa yang sama juga, Aung San Suu Kyi mengasaskan Parti NLD dengan tujuan mengembalikan demokrasi tanpa campur tangan tentera.
Penolakan Suara Rakyat
Pada 1989, Burma telah ditukar namanya kepada Myanmar sementara ibu negerinya, Rangoon, digantikan dengan Yangon. Pada tahun yang sama juga, Aung San Suu Kyi telah dikenakan tahanan rumah dalam usaha untuk menggagalkan perjuangan politiknya.
Suu Kyi bertemu penyokong ketika berada dalam tahanan rumah
Pada 1990, Parti NLD telah memenangi majoriti kerusi legislatif (kuasa menggubal undang-undang) setelah tiga dekad lamanya dengan sokongan kumpulan etnik minoriti. Pemilihan ini bukanlah untuk membentuk kerajaan tetapi mewujudkan jawatankuasa perlembagaan bagi menggubal perlembagaan baru.
Namun, junta tentera menolak keputusan itu dan enggan menyerahkan kuasa kepada rakyat. Kemelut ini berlanjutan selama dua dekad lagi sementara sokongan terhadap perjuangan Suu Kyi semakin meningkat di peringkat antarabangsa.
Junta tentera cuba memperbaiki imej mereka di peringkat antarabangsa dengan membebaskan Suu Kyi dari tahanan rumahnya tetapi menahan ratusan lagi pemimpin NLD setahun kemudian. Pelbagai persatuan dan badan dunia seperti PBB dan Kesatuan Eropah mengecam tindakan salah guna kuasa junta tentera di Myanmar.
Cubaan ke arah pilihan raya demokratik
Ketika jurang pendapatan dan bahan bakar di Myanmar terus meningkat, terjadi lagi demonstrasi antikerajaan besar-besaran pada 2007 yang dipimpin oleh para sami Buddha. Ia dikenali sebagai "Revolusi Saffron".
Revolusi Saffron
Pada 2009 pula, Suu Kyi sekali lagi ditahan atas tuduhan melanggar perintah tahanan rumah. Setahun kemudian, junta tentera mengusulkan perlembagaan baru di mana satu perempat kerusi diperuntukkan kepada tentera dan melarang Suu Kyi daripada bertanding pilihan raya.
Beberapa pemimpin tentera dalam kerajaan juga telah melepaskan jawatan mereka daripada bertanding tetapi NLD memboikot pilihan raya dan membubarkan parti mereka.
Pilihan raya demokratik pertama dalam tempoh 20 tahun diadakan pada 2010 di mana USDP yang disokong junta tentera menang majoriti. Bekas Panglima Tentera Thien Sein mengambil alih kuasa negara walaupun Pembangkang mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya.
Kerajaan demokrasi pertama Myanmar dalam 50 tahun
Sejurus selepas pilihan raya 2010, Suu Kyi dibebaskan setelah menjalani tahanan rumah selama 14 tahun bersama ramai lagi pemimpin politik lain. Apabila Suu Kyi kembali menyertai politik, NLD didaftarkan semula untuk pilihan raya berikutnya pada 2015.
Penyokong Parti NLD
Dipimpin oleh Suu Kyi, Parti NLD menang dalam pilihan raya 2015 setelah hampir 50 tahun di bawah pemerintahan tentera. Myanmar kini membentuk kerajaan yang dipilih secara demokratik.
Namun, pemerintahan NLD juga tidak jauh berbeza. Suu Kyi dikatakan menutup sebelah mata apabila pemimpin tentera Myanmar dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Muslim Rohingya.
Kekejaman pihak tentera dan serangan pemberontak Rohingya di Rakhine menyebabkan berlakunya kejadian pelarian terbesar yang berlaku di Asia sejak kebelakangan ini.
Pilihan raya demokratik Myanmar yang kedua
Pelarian Rohingya
Menjelang pilihan raya 2020, suruhanjaya pilihan raya Myanmar telah membatalkan proses pengundian di beberapa daerah di seluruh Rakhine dengan mendakwa bahawa mereka tidak layak untuk mengundi dengan bebas dan adil.
Kesempatan ini juga diambil oleh Panglima Tentera Min Aung Hlaing untuk menyelar kerajaan pilihan rakyat kerana melakukan pelbagai kesalahan yang "tidak dapat dimaafkan".
Hlaing melaporkan kepada akhbar tempatan bahawa dia sebagai "penjaga" negara itu sudah membuat memerhatikan dengan teliti sebelum menuduh suruhanjaya pilihan raya melanggar undang-undang dan prosedur sebelum hari mengundi.
Ketika pengiraan undi pilihan raya 2020 semakin memihak kepada parti Suu Kyi, USDP meminta agar pilihan raya diadakan semula. Pihak tentera menuduh berlaku penyelewengan seperti peti dan sampul undi yang berkualiti rendah, rasuah dan pelbagai lagi.
Suu Kyi bersama Panglima Min Aung Hlaing (kanan), lelaki paling berkuasa di Myanmar selepas rampasan kuasa
Walaupun berjanji akan melindungi Perlembagaan dan tidak merancang rampasan kuasa, Jurucakap tentera iaitu Laksamana Pertama Zaw Min Tun memberi amaran akan "mengambil tindakan" jika masalah pilihan raya ini tidak diselesaikan.
Suruhanjaya pilihan raya menafikan tuduhan pihak tentera mengenai penipuan yang berlaku. Dua hari kemudian, beberapa jam sebelum sidang parlimen pertama diadakan, Suu Kyi dan pemimpin kanan lain ditahan dan darurat diisytiharkan melalui siaran TV.