Lebih kurang 208 tahun dahulu, pada 12 Oktober 1810, satu perkahwinan di antara Putera Ludwig dengan Puteri Theresien dari Sachsen-Hildburghausen di adakan di Bavaria.

Bagi meraikan perkahwinan ini, pemerintah Munich ketika itu mahu mewujudkan satu upacara besar-besaran. Satu cadangan oleh seorang pegawai tentera bernama Franz Baumgartner untuk mereka mengadakan pesta keraian di padang diajukan, serta diterima. Lokasi yang dikenali dengan nama Bukit Sendlinger, salah satu pintu masuk ke pekan Munich ketika itu dipilih untuk menjadi tempat acara, berikutan keadaannya yang rata dan lapang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Lima hari selepas perkahwinan mereka, pada 17 Oktober 1810 - upacara makan besar-besaran itu pun diadakan di Bukit Sendlinger. Pada perayaan pertama kali dianjurkan itu, lokasi tersebut dinamakan semula sebagai Theresienwiese atau 'Padang Teresa,' sempena nama Puteri Teresa yang bakal menjadi Permaisuri mereka. Nama itu kekal hingga kini.

Sebagai acara kemuncak sambutan perkahwinan mereka berdua, satu acara lumba kuda turut sama dianjurkan sebagai majlis penutup perayaan itu pada 18 Oktober 1810. Perlumbaan 30 ekor kuda pada litar sepanjang 3.4 km itu akhirnya dimenangi oleh Franz Baumgartner sendiri.

Ini adalah kali pertama acara yang akan menjadi Oktoberfest dianjurkan.

Festival Oktober dijadikan acara tahunan

padang pertama sambutan perkahwinan ludwig

Sambutan tahun berikutnya diteruskan lagi dengan membawa matlamat tambahan. Melihat potensi yang ada pada penganjuran pertama, pemerintah Bavaria ketika itu mengambil kesempatan menjadikan festival itu sebagai acara tahunan.

Untuk tahun kedua penganjurannya, kerajaan Bavaria membuka penyertaan kepada masyarakat awam bukan sahaja untuk masyarakat Munich semata-mata.

Bagi membantu mempertingkatkan ekonomi mereka, satu persembahan pertanian mempamerkan produk-produk masyarakat tempatan dianjurkan bagi membantu peladang, penternak dan petani menambah sumber pendapatan. Acara lumba kuda yang menjadi acara penutup tetap diteruskan penganjurannya.

Mula menjadi festival mabuk

gambar lama oktoberfest

Pada beberapa tahun awal penganjuran festival ini, unsur-unsur hiburan yang dibenarkan berada dalam paras minima kerana penganjurannya lebih ke arah memantapkan ekonomi masyarakat tersebut. Hanya pada tahun 1818, permainan seperti buaian dan karusel kuda dipasangkan. Pemilik-pemilik pub pun mula dibenarkan membuat persembahan pada tahun yang sama.

Pada mulanya, jualan bir dan minuman beralkohol bukanlah matlamat utama penganjuran festival ini, walaupun ada - tetapi jumlahnya agak minima. Bagaimanapun, jumlah pengeluar bir dan alkohol saban tahun semakin bertambah.

Pada awalnya festival ini hanya membenarkan gerai mengedarkan bir untuk jualan pada orang ramai. Bagaimanapun menjelang tahun 1896, ekoran permintaan orang ramai serta kemampuan kewangan pengeluar minuman beralkohol seluruh dunia, khemah menempatkan produk-produk minuman alkohol mula menjadi identiti festival tersebut.

Bagi meraikan ulang tahun ke 100 festival ini - yang asalnya untuk meraikan perkahwinan Raja Ludwig I dan Permaisuri Theresien; pada tahun 1910 satu cubaan memecah rekod dilakukan pengunjung di mana sebanyak 120,000 liter bir berjaya dihirup oleh mereka yang hadir. Begitulah serba-sedikit bagaimana minuman bir akhirnya diletakkan sebagai tarikan utama Oktoberfest.

oktoberfest gambar lama sambutan

Tradisi Oktoberfest di negara kita pula sebenarnya sudah bermula sejak 1973, dalam skala kecil-kecilan. Setiap tahun, Malaysia-German Society akan menganjurkan festival serupa mempamerkan apa saja yang ada di Bavaria dalam memastikan ketulenan festival ini dapat diterjemahkan di kalangan masyarakat kita.

Festival ini diadakan kali pertama di Pulau Pinang sebelum mula dianjurkan di seluruh negara. Acara-acara hiburan untuk golongan dewasa dan kanak-kanak akan dianjurkan bagi menghiburkan ribuan pengunjung yang hadir, dengan hidangan-hidangan asli Jerman seperti sosej, lapisan daging, pretzel dan bermacam lagi.

sambutan oktoberfest di malaysia

Pada pandangan peribadi penulis, tidak ada langsung sebarang kaitan di antara budaya penganjuran festival ini dengan masyarakat Malaysia. Oktoberfest adalah sambutan rakyat Bavaria yang meraikan perkahwinan raja mereka, sebelum berubah wajah menjadi acara meminum bir dan alkohol beramai-ramai.

Kami sudah menulis tentang pandangan agama-agama besar dunia berkenaan isu minuman alkohol serta kesannya pada masyarakat kita, tak kira agama, bangsa dan keturunan. Arak adalah ibu kepada segala perkara buruk yang berlaku, bukan saja kepada masyarakat secara amnya malahan juga kepada tubuh anda sendiri.

Marilah kita sama-sama menjauhi arak serta minuman yang mampu membuatkan seseorang itu hilang akal.




Hakcipta iluminasi.com (2017)