DYMM Almarhum Tuanku Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah adalah Sultan Kedah yang ke-26, memerintah negeri jelapang padi ini selama 61 tahun dari tahun 1882 hingga 1943.
Baginda merupakan putera ke-3 kepada Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah dan isteri pertamanya, Wan Hajar.
Sultan Abdul Hamid menggantikan kakandanya DYMM Sultan Zainal Rashid Mu'adzam Shah II ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah yang mangkat selepas diracun ketika dalam tahanan di Ligor, Nakhon Si Thammarat, Siam.
BESARKAN TEKS A- A+
Pengesahan pelantikan ini mengambil masa yang agak lama iaitu 5 bulan berikutan perselisihan dan perebutan kuasa di Kedah.
Ia tercetus apabila Tengku Kudin (Tengku Ziauddin) cuba untuk menaikkan menantunya, Tunku Kasim sebagai pengganti sultan dan mengenepikan Tunku Abdul Hamid yang ketika itu bergelar Raja Muda.
Harapan Tengku Kudin untuk menguasai kerajaan Kedah terkubur apabila ia ditentang oleh Tunku Yaakob, Wan Muhammad Saman dan Wan Hajar yang menyokong Tunku Abdul Hamid.
Pertabalan ini akhirnya mengakhiri krisis perebutan kuasa yang dilihatkan mampu mencetuskan perang saudara.
Bijak dalam belajar menguruskan negeri
Ketika menaiki takhta, Sultan Abdul Hamid masih remaja dan hanya berusia 19 tahun.
Dan disebabkan terlalu muda, baginda membuat keputusan untuk melantik badan untuk membantunya dalam menguruskan pentadbiran negeri dengan menubuhkan Jemaah Pemangku Raja.
Dan untuk mempelajari serta memperkukuhkan pengetahuannya sebagai pemerintah, Sultan Abdul Hamid kerap kali membuat lawatan ke neger-negeri lain bagi melihat kemajuan dan,mempelajari cara menguruskan negeri.
Antara negeri-negeri yang dilawati adalah Perak dan juga Singapura. Dalam merapatkan hubungan dengan penaungnya, Raja Rama IV, baginda juga sering melawat Bangkok terutamanya ketika hari perayaan atau hari keputeraan Raja Rama IV.
Sultan Abdul Hamid juga melawat Rangoon (Yanggon), Mandalay, Bombay (Mumbai) dan menghadiri upacara pertabalan Raja Inggeris, King George V pada tahun 1911.
Hubungan yang rapat dengan Siam
(Order the White Elephant First Class, gelaran yang diberikan kepada Sultan Abdul Hamid oleh Siam)
Kemesraan dan eratnya hubungan yang diusahakan baginda dengan kerajaan Siam membuatkan Sultan Abdul Hamid dianugerahkan pingat.
Antara gelaran yang diterima termasuklah ‘Order the White Elephant First Class’, Chao Phya Saiburi dan pangkat ‘Chao Phya Riddisongkran Bakti’.
Tak cukup dengan itu, kerajaan Siam melantik Sultan Abdul Hamid sebagai Pesuruhjaya Tinggi Setul (Satun) dan Perlis atas kegigihan baginda.
Selepas kemangkatan Raja Rama IV, puteranya iaitu Raja Chulalongkorn atau Raja Rama V ditabalkan sebagai pengganti.
Hubungan diplomatik rapat antara Siam dan Kedah masih diteruskan oleh Sultan Abdul Hamid sehinggakan membuatkan Raja Chulalongkorn tertawan.
Dan disebabkan ketelusan hari baginda, Raja Chulalongkorn berkenan untuk menjadikan 3 putera Sultan Abdul Hamid iaitu Tunku Yusof, Tunku Badlishah dan Tunku Muhammad Jewa sebagai anak angkat.
Putera-putera ini kemudiannya dimasukkan ke King's College di Bangkok oleh Raja Chulalongkorn.
Rombakan pentadbiran kerajaan
Dari segi pentadbiran, banyak perubahan bermanfaat yang telah dilaksanakan oleh Sultan Abdul Hamid.
Antaranya adalah seperti penubuhan Jabatan Perbendaharaan, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Audit, Pejabat Besar Pos dan Telekom serta Mahkamah Keadilan yang dilakukan pada abad ke-19.
Sultan juga mencadangkan penubuhan pasukan polis bagi menjamin keselamatan negeri Kedah pada ketika itu.
Majlis Negeri juga telah ditubuhkan oleh Sultan yang mana berfungsi dalam membantu pentadbiran kerajaan negeri. Ketika itu, Datuk Wan Muhammad Saman bertindak sebagai Perdana Menteri Kedah.
Disebabkan oleh kecekapan Datuk Wan Muhammad Saman dalam membantu pentadbiran sultan, banyak pembangunan yang dilihat berlaku di negeri Kedah.
Peningkatan dalam bidang ekonomi
(Terusan Wan Mat Saman di awal pemerintahan)
Pemerintahan Sultan Abdul Hamid juga melihatkan banyak perubahan terutamanya dalam bidang ekonomi, termasuklah galakan baginda kepada rakyat jelata untuk menanam padi.
Dan bagi memperhebatkan perkembangan penanaman padi dan ekonomi Kedah, satu perbincangan antara sultan dengan perdana menteri Kedah telah membuahkan hasil di mana sebuah terusan telah dibina bagi tujuan pengairan.
Terusan sepanjang 35.4 kilometer, dengan kelebaran 7.3 meter dan sedalam 1.5 meter itu dibina dari Sungai Kedah hinggalah ke kaki Gunung Jerai, dan dinamakan sebagai Terusan Wan Mat Saman.
(Terusan Wan Mat saman pada hari ini)
Bagi mempelbagaikan ekonomi, penanaman getah telah diperkenalkan pada tahun 1909.
Sebuah pasar sehari yang terkenal sebagai "pasar nat" telah diperkenalkan oleh anakanda sultan iaitu Tunku Ibrahim.
Pasar ini berfungsi sebagai medan untuk memasarkan hasil pertanian oleh para petani tempatan.
Dan bagi membolehkan perniagaan peniaga tempatan berkembang, sebidang tanah telah disumbangkan oleh Sultan Abdul Hamid untuk membina kompleks perniagaan yang kini sangat terkenal, iaitu Pekan Rabu.
Agama Islam dititikberatkan
(Majid Zahir satu ketika dahulu. Kredit: Isma Alor Setar)
Selain daripada kelancaran pentadbiran dan perkembangan ekonomi negeri, Sultan Abdul Hamid juga sangat menitikberatkan hal-hal agama.
Sultan Abdul Hamid adalah individu yang bertanggungjawab dalam menubuhkan Majlis Ulama dan pembinaan Madrasatul Hamadiah di Limbung Kapal.
Baginda juga memperkenan pembinaan Maktab Mahmud, yang dahulunya dikenali sebagai Al Ma'hadi Mahmud di Jalan Pegawai. Malah, baginda juga sangat prihatin terhadap masjid-masjid di Kedah.
Selepas pulang dari Siam pada tahun 1885, Sultan Abdul Hamid, baginda memberikan perhatian kepada kerja-kerja membesarkan masjid tertua di Kedah iaitu Masjid Zahir, dengan menjadikan masjid di Acheh dijadikan inspirasi kepada rekabentuk baru masjid kebanggaan di Kedah itu.
Pemakaian jubah oleh kakitangan masjid juga diperkenalkan oleh baginda.
Pendidikan rakyat diutamakan
(Kolej Sultan Abdul Hamid merupakan sekolah Inggeris pertama di Kedah)
Selain daripada pintar dan hebat dalam mentadbir negeri, Sultan Abdul Hamid juga sangat berbakat dalam bidang bahasa. Baginda menguasai beberapa bahasa asing termasuklah bahasa Inggeris, Siam dan Arab.
Peka terhadap tahap pendidikan rakyatnya, banyak sekolah telah didirikan ketika zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid antaranya termasuklah di Kulim (1896), Jalan Baru Alor Star (1898), Yan (1900), Simpang Empat Kangkung (1906) dan Junjung, Kulim (1906).
Pada ketika itu, Kedah masih tidak mempunyai sekolah beraliran Inggeris dan pelajar yang ingin berbuat demikian harus berulang-alik ke Pulau Pinang.
Pritahin dengan situasi ini, penubuhan sekolah Inggeris pertama di Kedah iaitu di Alor Setar pada tahun 1908 telah mendapat perkenan Sultan Abdul Hamid.
(Tunku Abdul Rahman dan Tun Mahathir antara alumni Kolej Sultan Abdul Hamid)
Sekolah tersebut dinamakan bersempena nama baginda, iaitu Kolej Sultan Abdul Hamid dan telah menghasilkan ramai tokoh-tokoh tempatan termasuklah perdana menteri Malaysia pertama Tunku Abdul Rahman (anakanda sultan), perdana menteri ke-4 dan ke-7, Tun Mahathir Mohamad, Tun Daim Zainuddin, Sultan Abdul Halim (cucunda sultan) dan ramai lagi.
Sekolah ini hanya menerima pelajar daripada golongan bangsawan sahaja namun ia telah dibuka kepada orang ramai 3 tahun kemudian pada tahun 1911.
Usaha membina jalan raya, pengenalan perkhidmatan telegraf (1899), penubuhan Jabatan Kesihatan dan penjara (1905), hospital (1908), membaik pulih Balai Besar (1896) serta memperkemaskan Balai Nobat (1912) adalah antara usaha-usaha lain yang dilaksanakan oleh Sultan Abdul Hamid semasa zaman pemerintahannya.
Penghujung pemerintahan Sultan Abdul Hamid
(Anakanda Sultan Abdul Hamid, Sultan Badlishah menggantikan baginda)
Ketika pemerintahan baginda dilihatkan sampai ke penghujung, sultan kehilangan ramai kerabat yang sebelum ini membantu baginda termasuklah Tunku Aziz, Tunku Ibrahim dan Tunku Mahmud.
Sultan Abdul Hamid melarikan diri bersama pegawai-pegawai Inggeris ketika Jepun memasuki Tanah Melayu pada tahun 1943.
Baginda ketika itu dibawa ke Sidim, Kulim untuk mendapatkan perlindungan, dibantu kebijaksanaan Tunku Abdul Rahman yang merupakan anak ke-20 sultan bersama isteri ke-5, Makche Manjelara.
Sultan Abdul Hamid ketika muda
Tanggal 13 Mei 1943, Sultan Abdul Hamid yang sememangnya sudah mengalami masalah kesihatan sebelum itu menghembuskan nafas terakhir di usia 78 tahun, menamatkan pemerintahannya selama 62 tahun.
Takhta sebagai pemerintah kemudiannya digalas oleh anakanda sultan iaitu Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah serta-merta.
Melihatkan segala usaha dan bakti yang ditaburkan Sultan Abdul Hamid Halim, tak hairanlah baginda dianggap sebagai seorang sultan yang memiliki kebesaran daulat oleh banyak generasi.
Baginda juga diberikan gelaran "Pengasas Kedah Moden".
Sumbangan baginda menjadi perintis kepada perkembangan dan kemakmuran yang dinikmati oleh seluruh penduduk Kedah Darul Aman pada hari ini.
Rujukan: