Tidak ramai yang tahu, hubungan Almarhum Tuanku Abdul Halim dengan Maharaja Jepun Akihito amat akrab seperti aur dengan tebing. Hari ini, kami ingin berkongsikan satu coretan berkenaan hubungan dua kerabat di-Raja ini, yang ditulis oleh Encik Ali Imran, seorang wartawan dari agensi berita BERNAMA.
Ikuti nukilan beliau yang mampu meluluhkan hati pembacanya.
BESARKAN TEKS A- A+
Mungkin ramai yang akan mengingati Almarhum Tuanku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah kerana baginda dua kali diangkat sebagai Yang Di-Pertuan Agong, Bagi aku pula, aku lebih mengenang baginda atas sumbangan baginda kepada negara di peringkat hubungan antarabangsa.
Pasti ramai yang tidak tahu, Almarhum mempunyai hubungan yang amat rapat dengan institusi Maharaja Jepun.
Sebenarnya, hubungan baginda dengan Maharaja Akihito telah terbina sejak 1970 sewaktu baginda memegang jawatan sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong. Pada waktu itu, Maharaja Akihito masih memegang jawatan Putera Mahkota atau 'Crown Prince.'
Persahabatan dua orang pemuda pada ketika itu terjalin dengan masing-masing memegang portfolio penting dalam negara. Hubungan yang terbina ketika itu tidak pernah putus. Keakraban hubungan mereka menjadi semakin rapat dengan beberapa siri pertemuan yang lain yang diaturkan selepas pertemuan pertama mereka.
Pada 1991, Maharaja Akihito kembali ke Malaysia dalam rangka lawatan rasmi, kali ini bersama Permaisuri Michiko. Dua sahabat ini sempat mengaturkan pertemuan untuk bertemu.
Begitu juga pada 2006, persahabatan yang dibina sejak puluhan tahun terus dieratkan bila baginda dan Maharaja Akahito dan Permaisuri Michiko sekali lagi bertemu sewaktu melawat Malaysia. Pada 2012, mereka bertemu lagi di London sewaktu masing-masing memenuhi undangan ke sambutan Jubli Intan Ratu Elizabeth.
Paling menarik, sebaik sahaja Almarhum Tuanku Abdul Halim menaiki takhta sebagai Yang Di-Pertuan Agong untuk kali kedua, Maharaja Akihito tanpa berlengah menghantar undangan Di-Raja kepada Alamarhum Tuanku. Seolah Maharaja sudah rindu bangat kepada sahabatnya ini!
Masakan seorang sahabat akan menolak jemputan sahabatnya; lalu pada Oktober 2012, baginda dan Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkunjung ke Jepun. Di sana, baginda berdua diberikan sambutan penuh istiadat dan diraikan dengan majlis santapan diraja di Kamar Bambu (Take-no-Ma) di Istana Maharaja. Lawatan ini turut dianggap sebagai antara titik penting menandakan hubungan erat antara Malaysia dengan negara matahari terbit itu.
Tambah manis, kedua-dua pemimpin ini direkodkan oleh akhbar ‘The Guardian’ dalam senarai 10 pemerintah monarki paling lama bertakhta di dunia pada 2015.
Dengan hubungan amat rapat dengan Jepun maka tidak hairanlah Almarhum menyokong kuat ‘Dasar Pandang Ke Timur’. Dalam satu titah, baginda menekankan kepentingan golongan belia Malaysia dan Jepun saling berkenalan dan berkawan agar hubungan baik antara kedua negara dapat terus dikekalkan di masa hadapan.
Baginda turut mengingatkan semua rakyat Malaysia yang bermastautin di Jepun supaya sentiasa menjaga nama baik dan imej Malaysia dalam apa jua perkara yang dilakukan sepanjang berada di negara itu dan sentiasa menghormati adat resam dan cara hidup masyarakat tempatan.
Maharaja Akihito menggemparkan dunia bila mengumumkan persaraannya sebagai Maharaja berkuatkuasa tahun hadapan.
Almarhum Tuanku Abdul Halim pula, antara perkara pertama yang dilakukan baginda sekembalinya baginda ke Kedah selepas menyelesaikan tugas sebagai Yang Di-Pertuan Agong buat kali kedua ialah memasyhurkan Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai Raja Muda Kedah.
Pada aku, tindakan kedua-dua pemimpin ini menggambarkan kematangan mereka dalam memimpin. Mereka tahu, sampai masanya mereka perlu mengundurkan diri.
Aku yakin, pasti tumpah air mata Maharaja Jepun sebaik mendengar berita pemergian sahabatnya ini.
Datangmu membawa budi, pergimu dirindui.
Nota - Selain berkhidmat dengan BERNAMA, Encik Ali Imran juga menggelarkan dirinya sebagai Wartawan Awam. Pernah berkolaborasi dengan dua lagi wartawan lain menulis koleksi pengalaman mereka dalam sebuah buku berjudul 'No PC, No Jolok.'