Bagi peminat durian, jika diberi pilihan dan mempunyai duit yang mencukupi, sudah tentulah durian Musang King yang menjadi pilihan. Rasanya yang berlemak dan berkrim menjadikannya sebagai antara baka durian yang terbaik dan sangat popular di Malaysia.
Walau bagaimanapun, sekiranya mahukan durian yang lebih murah tetapi memiliki rasa yang terbaik, maka durian baka lain seperti Sultan (D24), Udang Merah (D175) atau Durian IOI (D168) pun suda cukup enak. Semuanya bergantung pada kemampuan masing-masing.
BESARKAN TEKS A- A+
Ketika ini, ramai peminat durian Musang King atau kodnya D197 menyangka bahawa durian Musang King ini berasal dari Pahang atau lebih tepat lagi di Bentong dan sekitar Raub. Walaupun banyak ladang durian Musang King di kedua tempat ini, tahukah anda bahawa asal-usul klon durian Musang King ini sebenarnya berasal dari Kelantan?
Benar, baka terawal buah ini sebenarnya berasal dari Kelantan atau lebih tepat lagi daerah Tanah Merah!
Sudah wujud lebih 200 tahun lalu
Walaupun lebih dikenali dengan nama Musang King, nama sebenarnya adalah Raja Kunyit. Induk terawal klon durian ini dipercayai ditanam di sekitar kawasan Pulau Raya yang terletak berdekatan dengan pekan Tanah Merah Kelantan.
Mengikut sejarah, induk pokok ini dipercayai ditanam sekitar tahun 1800 oleh Chung Chun Seng, seorang lelaki berbangsa Cina yang telah bermigrasi ke kawasan tersebut sekitar tahun 1790.
Ditanam sekitar tahun 1800, induk pohon ini hidup lebih 100 tahun sebelum ianya mati pada tahun 1974 akibat dipanah petir. Walau bagaimanapun, "legasi" baka pokok ini berjaya diselamatkan kerana sebelum dipanah petir, seorang pekebun bernama Wee Chong Beng sempat mengambil tunasnya dan membiak mata tunas baka ini.
En. Wee Chong Beng kemudiannya telah mula menanam baka durian ini dalam ladang seluas 4 ekar di Kampung Jelatok, Tanah Merah sekitar tahun 1970. Pada ketika itu, tiada siapa yang mengetahui keistimewaaan durian Raja Kunyit ini dan beliau hanyalah menjual buah ini disekitar kawasan Kota Bharu dan Tanah Merah.
Kemudian, pada tahun 80an baka durian ini mula di tanam di beberapa kawasan sekitar antaranya di beberapa tempat di Pahang dan Gua Musang. Dari situ, baka ini mula tersebar dan dikenali ramai di seluruh Malaysia.
“Surat Beranak” Durian Raja Kunyit (Musang King)
Seorang pengguna Facebook, Muhammad Syafiq Ibrahim baru-baru ini telah berkongsi satu info yang dianggap sebagai “surat beranak” kepada durian Raja Kunyit ini.
Menurut beliau, durian ini telah didaftarkan di Cawangan Pembangunan Komoditi Serdang pada tahun 1993 di bawah nama Wee Chong Beng. Pegawai yang bertanggungjawab mendaftarnya adalah En. Ibrahim bin Ismail dari Stesen Cawangan Komoditii Pejabat Pertanian Batang Merbau, Tanah Merah, Kelantan.
Menurut En. Ibrahim, apa saja nama yang diberikan tetapi mempunyai ciri-ciri Raja Kunyit seperti bahagian bawahnya yang menyerupai bentuk tapak sulaiman, pangkal tangkainya tidak berduri, bentuk isi durian seperti kucing tidur dengan rasa lemak manis dan sedikit pahit serta mempunyai tangkai yang lebih besar daripada durian klon yang lain adalah dari klon D197 (Raja Kunyit).
Sementara itu, sekiranya anda ke Tanah Merah bolehlah datang ke Kampung Pulau Raya untuk melihat sendiri pohon induk durian Raja Kunyit ini.
Malah, telah dibina satu tugu di lokasi asal Raja Kunyit ini dengan tulisan yang berbunyi seperti berikut:
"Lokasi asal durian Kunyit sejarah nenek moyang Chung Chun Seng berasal dari Negara China wilayah Hokkien. Telah berhijrah ke Pulau Raya Tanah Merah pada tahun 1790. Chung Chun Seng telah menanam pokok Durian Kunyit di lokasi ini. Ukur lilit pohon durian Kunyit sebenarnya 95 inci. Pokok asal durian Kunyit ini mati pada tahun 1974. Chung Teng Bun yang mewarisi sehingga sekarang.
Sejak 1980 lagi durian Kunyit tersohor merata dunia. Ramai pengunjung datang melawat lokasi asal durian Kunyit di Kampung Pulau Raya Tanah Merah Kelantan Malaysia.
Terima kasih buat selama-lamanya."
Asal-usul nama "Musang King"
Walaupun didaftarkan sebagai "Raja Kunyit", klon durian ini lebih dikenali ramai dengan nama Musang King. Malah, jangan terkejut kerana kebanyakan peminat Musang King sendiri tidak tahu bahawa klon durian ini didaftarkan atas nama Raja Kunyit.
Menurut Mohd Auzaie Komarudin, Penolong Pengarah Bahagian Hortikultur Jabatan Pertanian Serdang masyarakat Cina tempatan menggelarkan durian ini sebagai Mao Shan Wang, yang bermaksud raja kucing gunung iaitu merujuk kepada bentuk isi durian yang mirip posisi seekor kucing sedang tidur.
Lama-kelamaan, panggilan itu terus melekat dan mula digunakan secara meluas sehingga perkataan ‘mao shan’ ditukar kepada sebutan "musang" (perhatikan perkataan ini mempunyai bunyi hampir sama).
Sementara itu, perkataan ‘wang’ ditukar kepada "King" sehingga dikenali sebagai Musang King hingga kini. Pada masa kini, beberapa tempat di Raub antaranya Sg. Klau dan Sg. Ruan dikenalpasti antara kawasan yang menjadi lokasi popular klon durian Musang King ini.