Durian boleh dikatakan adalah sejenis buah yang paling diraikan di Malaysia, malah di Asia Tenggara. Ia merupakan makanan yang tersangat istimewa bagi kita namun tidak bagi orang luar.
Walaupun begitu, terdapat juga rakyat Malaysia yang tidak boleh memakan "Raja Buah" ini disebabkan bau dan rasanya yang kuat. Mereka ini sering dikatakan terlepas dari satu nikmat yang tidak dapat digambarkan.
BESARKAN TEKS A- A+
Dan disebabkan durian sangat terkenal dan disukai ramai, iluminasi.com ingin kongsikan 9 fakta dan mitos mengenainya.
1. Durian boleh menaikkan berat badan
Purata kalori yang disyorkan dalam sehari bagi orang dewasa adalah sebanyak 2,000 kalori. Dan purata durian seberat 1 kilogram mengandungi hampir 1,350 kalori.
Jadi, jika anda makan 1 biji durian, anda telah mengambil kira-kira 68% daripada jumlah kalori yang diperlukan dalam sehari. Itu belum diambil kira dengan makanan ruji lain seperti nasi dan sebagainya.
Jadi, memakan durian memang boleh menaikkan berat badan. Untuk pengetahuan anda, seulas durian kira-kira 40 gram mengandungi 54 kalori.
2. Durian kaya dengan nutrien
Durian sememangnya kaya dengan kalium, serat makanan, besi, vitamin C dan vitamin B kompleks. Jadi, Raja Buah ini sangatlah baik untuk memperbaiki kekuatan otot dan tekanan darah, pembuangan air besar dan kesihatan kulit.
Ia juga menyokong sistem sarah dan sistem imun, di samping meningkatkan pembentukan sel darah merah.
3. Penghidap kencing manis kurangkan makan durian
Jika anda menghidap kencing manis dan harus berjaga-jaga akan pengambilan karbohdirat, maka anda tidak boleh menjamu hidangan durian sesuka hati seperti mana orang lain.
Ini kerana kandungan gula dalam durian adalah tinggi. Durian mengandungi gula ringkas iaitu sukrosa, fruktosa dan glukosa.
3 ulas durian (bergantung kepada saiz) boleh mengandungi di antara 20 dan 30 gram karbohidrat. Ini bersamaan dengan kandungan gula dalam separuh tin Coke (20 gram) atau sepinggan nasi putih (30 gram).
4. Durian segarkan badan dan tenangkan diri
Oleh kerana durian mengandungi tinggi karbohidrat, durian mampu membantu mengembalikan tenaga tubuh badan anda dengan pantas, bagi individu yang sihat.
Kandungan kalium yang tinggi dalam buah ini juga membantu mengurangkan keletihan serta melegakan tekanan mental dan kebimbangan.
5. Durian tinggi kolestrol
Ini adalah tidak benar. Durian adalah bebas kolestrol. Kolestrol ditemui dalam makanan yang mengandungi lemak tepu seperti daging merah (lembu, kambing), makanan laut dan produk tenusu.
Manakala durian mengandungi lemak monotaktepu yang baik untuk jantung yang membantu merendahkan tahap kolestrol LDL yang tidak baik untuk badan.
6. Manggis harus dimakan bersama durian untuk kurangkan kepanasan
Menurut kepercayaan China, buah manggis yang dikatakan merupakan buah penyejuk, akan mengurangkan rasa panas yang dikaitkan dengan durian.
Walaubagaimanapun, tiada penyelidikan saintifik untuk menyokong kenyataan ini. Tabiat memakan durian dan manggis bersama-sama mungkin berasal daripada fakta bahawa kedua-dua jenis buah ini dituai pada waktu yang sama.
7. Makan durian dan minum alkohol pada masa yang sama boleh membunuh
Sama seperti di atas, tiada bukti saintifik yang membuktikan bahawa kedua-dua ini adalah gabungan yang mampu membunuh.
Ia lebih cenderung untuk menyebabkan kembung perut, senak dan ketidakselesaan kerana hati anda terpaksa bekerja lebih keras untuk melakukan proses metabolisma terhadap kedua-dua lemak dan gula dalam durian dan alkohol.
Situasi ini akan menjadi lebih teruk jika anda mengambil kedua-duanya dalam jumlah yang berlebihan.
8. Durian boleh meningkatkan nafsu syahwat
Kepanasan dalam durian boleh menyebabkan suhu badan anda naik, namun ia tidak membuatkan nafsu anda bergelora.
Ramai orang tersalah anggap bahawa rasa panas badan ini adalah peningkatan nafsu.
9. Durian boleh menyebabkan batuk dan demam jika dimakan berlebihan
Kaitan di antara kepanasan dan gejala-gejala demam dan batuk kemungkinan merupakan konsep perubatan Cina tradisional. Secara santifik, mungkin ada kenaikan sedikit pada suhu badan ketika penghadaman disebabkan oleh proses kimia dan metabolik.
Namun, ia tidak menyebabkan demam dan selsema mahupun jangkitan pernafasan.
Rujukan: