Sekiranya anda seorang yang aktif melakukan senaman, anda pasti sinonim dengan senaman burpee. Senaman ini mempunyai pelbagai variasi dan secara umumnya memfokuskan kepada keseluruhan otot-otot badan. Senaman ini merupakan antara senaman yang tergolong dalam senaman membentuk kekuatan (strength training).
Bagi anda yang menyertai program menguruskan badan, senaman burpees ini merupakan antara senaman wajib yang akan diperkenalkan kepada anda. Ianya nampak mudah tetapi sebenarnya tidak! Maka, tidak hairanlah ramai orang membenci senaman ini.
BESARKAN TEKS A- A+
Lahir daripada "Burpee Test"
Bagi yang tidak tahu, senaman ini diberikan nama "Burpee" sempena nama penciptanya Royal H. Burpee. Beliau merupakan seorang ahli fisiologi senaman, pengembara dan ahli bina badan yang bekerja di YMCA di New York.
Semasa menjalankan penyelidikan untuk pengajian Ph.D. di Columbia University pada tahun 1930-an, beliau tercari-cari cara yang efektif untuk menentukan tahap kecergasan fizikal seseorang. Maka, lahirlah "Burpee Test" atau Ujian Burpee.
Benar, senaman ini dicipta dengan tujuan asal untuk menguji tahap kecergasan seseorang dan bukanlah untuk diijadikan senaman. Mungkin disebabkan inilah senaman ini dianggap sangat sukar sehingga dibenci oleh sesetengah orang.
Senaman Burpee menjadi begitu popular apabila tentera Amerika Syarikat mula menggunakannya untuk menguji tahap kecergasan calon-calon yang menghadiri temuduga dan ujian kecergasan bagi pemilihan menyertai pasukan tentera Amerika Syarikat semasa Perang Dunia Kedua.
Tahun 2019 merupakan ulang tahun ke 122 kelahiran senaman Burpee dan senaman ini terus menjadi fenomena dalam pelbagai program atau aktviti kecergasan.
Tatacara melakukan senaman Burpee
Sekiranya anda pernah melakukan senaman ini, anda mungkin tahu kewujudan beberapa variasi senaman ini. Berikut merupakan catatan rasminya mengenai cara sebenar melakukan senaman ini seperti yang dimuatkan dalam bukunya yang bertajuk “Seven Tests of Physical Capacity”.
Pemeriksa:
Saya mahu anda melakukan sedikit latihan untuk memastikan hati anda bekerja keras, jadi sila lakukan seperti yang saya katakan.
Bengkokkan lutut anda, dan letakkan tangan anda di atas lantai di hadapan anda. (Subjek melakukan pergerakan)
Lompatlah kaki anda ke belakang dan kekal berada dalam posisi tersebut. (Subjek melakukan pergerakan)
Lompat kembali kaki anda kehadapan. (Subjek melakukan pergerakan)
Berdiri. (Subjek melakukan pergerakan)
Seperti dalam catatan diatas yang telah dialih bahasa ke dalam Bahasa Melayu, anda akan perasan bahawa ujian kecergasan burpee yang asal ini tidak memasukkan fasa atau pergerakan melompat pada bahagian terakhir seperti yang anda biasa lihat dilakukan orang ramai pada masa kini.
Sebaliknya, subjek iaitu calon yang diuji hanya perlu melakukan pergerakan ini secepat yang mungkin. Dalam ujian Burpee, calon dikehendaki melakukan pergerakan ini sebanyak 4 kal atau set untuk membolehkan tahap kemampuan fizikal mereka dinilai.
Dicipta untuk menguji tahap kecergasan manusia
Sekali lihat, ianya nampak begitu mudah namun jangan tertipu kerana ianya tidak semudah yang disangka. Dalam Burpee Test, tahap kecergasan calon dicatatkan sebagai cemerlang, bagus dan kurang bagus berdasarkan beberapa faktor seperti denyutan nadi, kemampuan untuk melakukan pergerakan, kepantasan dan tahap pernafasan selepas melakukan senaman.
Dalam ujiannya ini, beliau membenarkan beberapa "variasi kecil" dari peserta tetapi mereka mesti memastikan kaki mereka diregangkan sepenuhnya dan belakang badan mereka lurus ketika berada dalam posisi plank. Pelaku juga mesti memastikan lutut rapat ke dalam pada akhir pergerakan pertama dan tidak berada ke posisi istirahat.
Disebabkan peraturan-peraturan ketat yang wajib dipatuhi inilah, ianya menjadi begitu sukar. Seseorang pelaku memerlukan kekuatan pada bahagian lutut, tangan dan belakang badan untuk melakukannya dengan sempurna. Maka tidak hairanlah pergerakan Burpee ini dijadikan sebagai satu cara untuk menilai tahap kecergasan seseorang.
Disebabkan tahap kesukaran inilah, ujian ini biasanya dilakukan untuk individu yang merasakan diri mereka benar-benar mempunyai kekuatan fizikal dan bukannya untuk senaman biasa seperti yang dilakukan banyak tenaga pengajar pada masa kini.
Dalam edisi 1946 bukunya yang bertajuk “Seven Quickly Administered Tests of Physical Capacity” setiap calon yang menghadiri ujian kecergasan akan diminta untuk melakukan pergerakan ini sebanyak mungkin selama 20 saat dan kemudiannya selama 1 minit.
Kredit: