Terletak di selatan tanah air, Johor Darul Takzim yang dahulunya dikenali sebagai Johore adalah negeri ke-5 terbesar di Malaysia dari segi keluasan selepas Sarawak, Sabah, Pahang dan Perak. Dari segi bilangan penduduk, Johor berada di tangga kedua dengan penduduk seramai 3.7 juta, di belakang Selangor dengan seramai 5.9 juta orang.
Johor Bahru menggantikan Johor Lama sebagai ibu negeri dan menjadi pusat ekonomi negeri manakala Muar berfungsi sebagai bandar diraja.
BESARKAN TEKS A- A+
Seperti negeri-negeri lain, nama-nama daerah di Johor mempunyai kisah unik dan tersendiri. iluminasi.com kongsikan sejarah dan asal-usul nama daerah serta bandar di Johor.
1. Batu Pahat
Juga dikenali sebagai Bandar Penggaram, Batu Pahat adalah salah satu daripada 8 daerah di Johor. Bandar ini pernah dipanggil dengan nama Pulau Kundur pada satu ketika dahulu manakala Sungai Batu Pahat dikenali sebagai Sungai Kundur.
Ia adalah hasil daripada pembukaan penempatan-penempatan kecil yang berasingan oleh orang-orang kenamaan dan orang besar seperti penghulu serta ketua kampung.
Batu Pahat kemudian semakin maju dan pesat membangun berikutan pembukaan penempatan-penempatan kecil ini.
Sebuah ladang kopi telah dibuka oleh beberapa orang berketurunan Inggeris bernama Watt, Stiple dan Jackson pada tahun 1885 di kaki Bukit Penggaram. Lim Soo Poon adalah pemborong yang mengerjakan ladang tersebut dan menjadi kaya raya disebabkannya.
Pada tahun 1888, Dato' Yahya bin Awaluddin meneruskan usaha giat membuka bandar Batu Pahat, namun ketidaksesuaian ekonomi dan geografi membuatkan usahanya itu menemui kegagalan.
Akhirnya, kawasan ini ditinggalkan begitu sahaja.
Pada tahun 1889, Orang Kaya Sidek bin Ismail membuka satu penempatan di seberang Kampung Minyak Beku dan menarik ramai orang masuk ke situ dari pulau-pulau termasuklah Pulau Jawa dan Madura.
Kemudian, Dato' Muhamad Salleh bin Perang dikatakan berjaya memulakan usaha membangunkan bandar Batu Pahat di kawasan Simpang Kanan pada tahun 1893.
2. Muar
Terletak di barat laut Johor dan bersempadan dengan Melaka, bandar Muar juga dikenali sebagai Bandar Maharani. Ia pada asalnya dikenali sebagai Teluk Dalam disebabkan lokasinya di muara atau struktur mulut Sungai Muar yang luas dan mendalam.
Menurut sejarah, Muara adalah perkataan asal bagi perkataan Muar yang dinamakan kepada bandar ini.
Terdapat juga teori yang mengatakan ia dinamakan berdasarkan "Muna" yang bermaksud Tiga dan "Ar" bermaksud Sungai, dari perkataan Hindu.
Selain itu, Muar dikatakan berasal dari perkataan "Muak" yang bermaksud bosan atau letih dalam mengayuh perahu ketika mengembara di sepanjang sungai yang besar oleh orang tempatan satu ketika dahulu.
3. Kluang
Kluang adalah sebuah bandar yang berada di tengah negeri Johor, di utara Johor Bahru, tenggara Batu Pahat, barat Mersing dan selatan Segamat yang wujud sebelum tahun 1910 lagi.
Menurut sejarah, perkataan Melayu iaitu "Keluang" atau Malayan Flying Fox (Fteropus Vampyrus Linnaeus) yang merupakan sejenis kelawar buah atau kelawar besar adalah asal-usul nama bandar ini.
Ia dipersetujui oleh orang-orang tua di Kluang yang bersependapat bahawa namanya diperoleh daripada sejenis mamalia yang terbang di waktu malam untuk mencari buah-buahan.
Keluang yang dipercayai wujud dalam jumlah yang banyak di daerah ini satu ketika dahulu juga dianggap sebagai kelawar yang paling besar di dunia.
Namun dalam kisah lain, Kluang dikatakan memperoleh namanya dari Sungai Kluang, menurut seorang tokoh penulisan Johor yang mahsyur iaitu Datuk Haji Mohd Said.
Akan tetapi tidak ramai yang mengetahui akan kewujudan sungai ini di Kluang.
4. Segamat
Bersempadan dengan 2 buah negeri iaitu Negeri Sembilan dan Pahang, Segamat adalah daerah yang paling utara di Johor. Dahulunya daerah ini dikenali sebagai Rantau Panjang menurut ahli sejarah tempatan iaitu Hassan Bin Muhammad.
Kisah bagaimana nama Segamat diperoleh bermula apabila Bendahara terakhir Melaka iaitu Bendahara Tepok berundur ke Johor bersama pengikutnya setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511.
Dalam perjalanan, mereka berhenti di sebuah sungai untuk berehat lalu meminum air sungai tersebut. Bendahara Tepok kemudiannya berkata "Segar amat badanku ini" selepas meminum air, dan dikatakan menamakan sungai tersebut sebagai Segar Amat.
Lama kelamaan, Segar Amat berubah menjadi Segamat kemungkinan disebabkan cara sebutan yang laju oleh penduduk tempatan.
Akan tetapi, Segar Amat hanyalah nama bagi sungai tersebut dan hanya menggunakan nama sungai ini sebagai nama daerah pada awal abad ke-20.
5. Pontian
Pontian adalah sebuah daerah yang mana kebanyakan daripada kawasannya dipenuhi dengan paya bakau dan aktiviti utama di daerah ini masih kekal sejak dahulu iaitu menangkap ikan.
Dikatakan bahawa asal-usul nama daerah ini diperoleh daripada perkataan "Perhentian", merujuk kepada Sungai Pontian Besar.
Sungai ini adalah lokasi di mana para pelayar yang hendak ke Singapura atau Melaka berteduh daripada gelora Selat Melaka.
Ia juga dikatakan sebagai tempat para lanun berhenti bagi menunggu mangsa yang melewati kawasan tersebut.
Namun begitu, nelayan menjadikan kuala Sungai Pontian Besar sebagai tempat memunggah tangkapan manakala Pontian Kecil menjadi bandar utama di daerah Pontian.
6. Kota Tinggi
Nama daerah Kota Tinggi diambil secara harfiah daripada sebuah kota yang dibina di atas kawasan tinggi di tebing Sungai Johor.
Pada ketika itu, Portugis berusaha keras bagi menghapuskan kuasa Kesultanan Melayu dan kota ini dibina bagi menangkis serangan pihak musuh.
Kawasan sekitar Sungai Johor menjadi tarikan kepada pada pedagang zaman dahulu kerana ia merupakan kawasan yang sangat selamat untuk berteduh dari ribut Luat Cina Selatan.
Ketika zaman Ptolemy, kawasan ini dikenali sebagai Palanda. Manik dan permata dari zaman Han dan zaman Empayar Rom adalah peninggalan yang ditemui di Kota Tinggi.
7. Mersing
Berbanding dengan daerah-daerah lain, Mersing mendapat namanya melalui beberapa peristiwa.
Ia berikutan peristiwa seorang seorang pesuruh Sultan Pahang iaitu Amer Singh yang berbangsa Sikh dibuang daerah kerana melakukan satu kesalahan berat.
Disebabkan kes ini sangat terkenal, nama Amer Singh menjadi bualan ramai sehingga kawasan tersebut dikenali sebagai Mersing.
Kisah lain yang dikatakan menjadi asal-usul nama Mersing adalah daripada cerita seorang gadis yang bernama Mersing bercinta dengan seorang perantau bernama Awang dari Pahang.
Akan tetapi, bapa Mersing memilih anak penghulu sebagai bakal menantunya. Awang telah difitnah dalam usaha untuk memisahkan pasangan ini namun dia dapat menyangkal semuanya.
Oleh itu, bapa Mersing menerima Awang untuk menjadi suami Mersing namun Awang meninggalkan keluarga Mersing dengan hati yang menyesal.
Kisah ini didendangkan dalam lagu Seri Mersing dan lahirnya nama daerah Mersing.
8. Tangkak
(Kredit gambar: Emila Yusof)
Digelar sebagai syurga tekstil, Tangkak antaranya terkenal menerusi kisah Puteri Gunung Ledang. Daerah ini mula diterokai oleh sekumpulan pengembara pada abad ke-19 dari Pagar Ruyung, Indonesia.
Pada asalnya, mereka tiba pada abad ke-18 di sebuah kawasan yang dipanggil dengan nama Cohong di Melaka. Mereka kemudiannya menyusuri hulu Sungai Kesang sebelum menuju ke Gunung Ledang.
Menurut kisah, terdapat sebuah bukit di tebing sungai tersebut dan kumpulan itu merangkak-rangkak melalui akar dan rotan yang menjalar di sekelilingnya, dalam usaha meredah hutan berpaya.
Setelah membina penempatan disitu, kumpulan ini kerap kali berulang alik ke tempat asal mereka iaitu di Cohong. Dan apabila ditanyakan di mana mereka tinggal, kumpulan ini menjawab, "Aku duduk di tempat tang merangkak sana".
Disebabkan kerap mengulangi perkataan tempat merangkak atau "tang merangkak", ia akhirnya diringkaskan menjadi Tangkak, jelas Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak, Mohd. Masni Wakiman.
Kerajaan Johor kemudiannya mewujudkan sistem pentadbiran moden pada tahun 1901 apabila pusat pentadbiran di Cohong dipindahkan ke Tangkak.
9. Kulai
Setelah dinaiktaraf kepada daerah pada 1 Januari 2008, nama Kulai telah ditukarkan kepada Kulaijaya. Menurut sejarah, perkataan Kulai adalah berasal dari dialek Cina iaitu "Gui Lai" yang membawa erti "Kura-kura datang".
Hal ini dikaitkan dikaitkan dengan kemunculan berpuluh-puluh ekor kura-kura yang menghala ke pekan ketika peristiwa banjir 1920.
Versi lain asal-usul nama Kulai berasal dari nama "Tengku Lai" yang bererti "Tengku Datang", yang pergi ke Kulai untuk mengutip cukai dan berburu.
Akan tetapi, pada tahun 2015, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan kerajaan Johor untuk menukar semula nama daerah Kulaijaya kepada nama asalnya, Kulai, dengan serta-merta.
Menurut beliau, nama sesuatu tempat yang diberikan oleh nenek moyang terdahulu adalah berdasarkan sejarah dan kesesuaian, yang mana tidak harus diubah walaupun berbunyi pelik.
9. Johor Bahru
Merupakan ibu negeri Johor, Johor Bahru adalah bandar kedua terbesar di Malaysia selepas Kuala Lumpur.
Sebelum mendapat nama Johor Bahru, daerah yang diasaskan oleh Temenggong Daeng Ibrahim (bapa Sultan Abu Bakar) pada tahun 1855 ini dikenali sebagai Tanjung Puteri.
Ia bermula sebagai sebuah kampung Melayu yang giat dalam aktiviti perikanan.
Berikutan daripada peralihan pusat pemerintahan dari Teluk Belanga, Singapura ke daerah ini, Sultan Abu Bakar menukar nama Tanjung Puteri kepada Johor Bahru pada tahun 1866 ketika mengisytiharkan daerah ini sebagai ibu kota kerajaan.
Nama Johor Bahru dipilih berdasarkan nama Johor Lama yang menjadi ibu negeri sebelumnya. Secara logiknya, "Bahru" dipilih menggantikan "Lama".
Dato Hashim Yahya menjadi Datuk Bandar Johor Bahru yang pertama apabila Johor Bahru diisytiharkan sebagai sebuah bandaraya pada 1 Januari 1994.
Rujukan:
1. Utusan
2. Johor Bahru
4. MK