Satu laporan yang dikeluarkan penyelidik dari Jabatan Radiologi, Fakulti Perubatan Universiti Kaherah berkenaan kejayaan mengimbas mumia tubuh Raja Amenhotep I, pemerintah Mesir sekitar 1500SM/BC cukup menarik perhatian.

Imbasan yang dilakukan dengan teknologi imbasan CT memberikan gambaran rupa sebenar Amenhotep, selain struktur tubuh dan tahap kesihatan berdasarkan kepada rangka tubuh yang masih terpelihara.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Proses dijalankan secara digital sepenuhnya berjaya mengelakkan penyelidik daripada perlu membuka balutan mumia yang terjaga rapi, melindungi apa saja kandungan di dalamnya. Penemuan yang turut menarik perhatian penyelidik adalah bagaimana bahagian zakar Amenhotep, telah selamat dikhatankan.

Penemuan ini memperkukuhkan lagi bukti-bukti penemuan terdahulu yang memperjelaskan berkenaan budaya berkhatan yang kini kekal menjadi identiti individu-individu beragama.

Khatan budaya rasmi masyarakat Mesir Kuno

budaya berkhatan masyarakat mesir purba

Bukti paling awal menunjukkan budaya berkhatan sebagai norma masyarakat Mesir Kuno satu masa dahulu, ditemui berdasarkan kepada kajian terhadap mumia dan lukisan-lukisan di dinding memaparkan lelaki dalam keadaan sudah dikhatankan.

Penemuan paling tua memberikan kita gambaran bahawa sejak tahun 2300SM/BC lagi, orang Mesir Kuno telah mula menjalankan budaya ini sebelum wujudnya dinasti-dinasti Mesir lagi. Ini menandakan amalan khatan sudah berusia hampir 5,000 tahun.

Ada pendapat menamakan budaya khatan adalah salah satu kaedah menandakan kumpulan hamba, khasnya kumpulan tentera yang berjaya ditawan dan dikenalpasti berkhidmat dengan musuh.

Kumpulan tawanan iniakan dikhatankan sebelum dikerah untuk bekerja, bagi membezakan status mereka dengan orang kebanyakan lain. Pewaris kepada kumpulan hamba ini meneruskan amalan khatan sebagai tradisi, walaupun status mereka selepas itu sudah berubah bukan lagi bergelar hamba sahaya.

Khatan sebagai satu ritual agama

ritual agama budaya masyarakat mesir kuno

Faedah-faedah berkhatan sejak dulu dipercayai berkait dengan kebersihan alat sulit seseorang lelaki, mendorong masyarakat Mesir terdahulu menjadikan amalan ini sebuah norma yang akan turut dijalani pemerintah kerajaan Mesir Kuno.

Pada era tersebut proses berkhatan dibuat pada asasnya atas dasar kesihatan, dijalankan oleh golongan-golongan ahli agama sebagai satu ritual yang berlandaskan kepercayaan anutan mereka ketika itu.

Paderi-paderi kuil akan menganjurkan majlis di mana bayi atau kanak-kanak Mesir Kuno yang bakal dikhatan, diraikan dengan makanan dan minuman enak.  Sejenis alat panjang dan berlohong digunakan untuk memegang bahagian zakar dan sejenis pisau panjang dinamakan 'pisau flint' digunakan untuk memotong kulit yang bakal dibuang.

Bagaimanapun, tidak banyak yang kita tahu tentang rupa bentuk sebenar alat yang mereka gunakan disebabkan oleh kekurangan bukti atau penemuan yang dapat membantu kita memperjelaskannya.

Amalan yang diwarisi agama Samawi dunia

amalan berkhatan agama samawi

Daripada Mesir, tradisi itu kemudiannya terus diwarisi tamadun selepas itu khasnya tamadun Phoenicia yang terletak di Lebanon, Syria dan Palestin kini, sebelum Nabi Ibrahim as./Abraham dipercayai mengarahkan semua pengikut Baginda untuk berkhatan; kekal menjadi salah satu tenet utama kepercayaan Yahudi sehingga sekarang.

Dimaktub sebagai perkara wajib dalam kitab Perjanjian Lama, semua bayi lelaki Yahudi akan menjalani proses berkhatan yang dinamakan brit milah pada hari ke 8 selepas kelahiran mereka, dilakukan oleh seorang tukang khatan bergelar mohel. Tradisi ini diangkat sebagai satu acara wajib Yahudi sejak tahun 515SM/BC.

Berpunca daripada tradisi ini jugalah Nabi Isa as./Jesus Christ turut dikhatankan pada hari ke 8 kelahiran Baginda sebagai seorang bayi lelaki berketurunan Yahudi.

Walau bagaimanapun, perbezaan pendapat di kalangan pengikut-pengikut ajaran Baginda selepas itu khasnya melibatkan amalan lama masyarakat Yahudi, mengakibatkan konflik dan perdebatan berkenaan keperluan masyarakat Kristian sama ada perlu atau tidak meneruskan amalan khatan ini.

Khatan tidak lagi diwajibkan ke atas penganut Kristian

jesus christ khatan

Menurut sejarah, perubahan kewajipan khatan kepada individu pengikut Jesus Christ berpunca daripada doktrin perubahan yang dikeluarkan Santo Peter, salah seorang daripada 12 pengikut terawal Jesus Christ.

Peter mengeluarkan kenyataan mana-mana individu yang ingin mengamalkan ajaran Jesus, haruslah diberikan pilihan sama ada ingin dikhatankan atau tidak. Doktrin Peter meletakkan kepentingan amalan rohani seseorang sebagai keutamaan, tidak menganak tirikan mana-mana individu hanya disebabkan oleh perbezaan seperti status khatan.

Dalam persidangan pertama yang dihadiri kumpulan pengikut ajaran Jesus Christ, kini digelar sebagai Persidangan Jerusalem; satu pengisytiharan membenarkan individu bukan berketurunan Yahudi atau 'Gentiles' yang ingin mengikuti ajaran Jesus Christ tidak diwajibkan berpegang kepada elemen keagamaan dan kepercayaan yang berakar umbi dari kepercayaan Yahudi.

Antara amalan yang diisytihar tidak lagi wajib adalah amalan puasa yang diamalkan masyarakat Yahudi sebelum itu serta berkhatan bagi lelaki.

Bagi menggantikan amalan berkhatan, pihak majlis mengesyorkan agar semua penganut kepercayaan yang dibawa Jesus supaya menjalani proses pembaptisan - berdasarkan kepada kisah bagaimana Jesus Christ sendiri telah dibaptiskan oleh John the Baptist.

Sehingga sekarang, kesan perubahan ini dapat kita lihat apabila upacara baptis cukup popular di kalangan masyarakat Kristian dan mereka yang memilih untuk berkhatan, besar kemungkinan hanyalah kumpulan minoriti.

Berkhatan dari perspektif Islam

khatan daripada perspektif islam

Daripada aspek agama Islam, walaupun Islam terkenal sebagai agama yang mewajibkan orang Muslim berkhatan - realitinya pendapat ini mempunyai beberapa pandangan berbeza.

Bagi masyarakat yang berpegang kepada Mazhab Shafie seperti di Malaysia, amalan berkhatan merupakan satu perkara wajib perlu dijalani semua lelaki Muslim. Bagaimanapun ada juga pandangan berbeza daripada Imam Abu Hanifah yang hanya mensunatkan amalan khatan berdasarkan kepada pilihan seseorang individu.

Walaupun demikian amalan berkhatan ini dianggap sebagai sesuatu yang baik dilakukan, berdasarkan kepada hadis Rasulullah saw. yang menamakan khatan salah satu fitrah amalan utama lelaki selain daripada memotong bulu kemaluan, merapikan bulu ketiak, memotong kuku dan mencukur misai.

Apa pun yang jelas kepercayaan berkenaan asal-usul amalan khatan dikongsi ketiga-tiga agama langit baik Yahudi, Kristian dan juga Islam.

Ketiga-tiga agama percaya Nabi Ibrahim as./Abraham merupakan individu pertama di bumi yang disyariatkan Tuhan untuk menjalani proses berkhatan. Ada perbezaan pandangan di sini berkenaan usia Baginda dikhatankan tetapi ketiga-tiga agama berpandangan upacara ini berlaku ketika Baginda sudah pun berusia 80 ke 90 tahun.

Selepas berkhatan, Nabi Ibrahim as./Abraham mengkhatankan pula anaknya Nabi Ismail as/Ishmael yang ketika itu berusia 13 tahun. Baginda kemudiannya menimang cahaya mata kedua yang diberi nama Ishak as./Isaac. Berdasarkan tuntutan sama, Nabi Ibrahim as. menjalankan proses khatan kepada anaknya Ishak ketika bayi itu baru berusia 8 hari.

Bermula daripada amalan khatan Nabi Ibrahim as./Abraham-lah, khatan menjadi satu amalan yang dituntut oleh agama-agama Samawi, kekal menjadi salah satu ritual perubatan/keagamaan yang diwajibkan atau digalakkan; walaupun realitinya pengalaman dikhatankan memang menakutkan bagi ramai kanak-kanak lelaki.

Rujukan

Male Circumcision: Integrating Tradition and Medical Evidence

The circumcision of Jesus Christ

The history of circumcision




Hakcipta iluminasi.com (2017)