Oleh pada 07 Sep 2018 kategori

Segalanya bermula dengan masalah sama yang masih dialami oleh kebanyakan penonton TV abad ke-21 : berasa geram dan meluat setiap kali iklan disiarkan. Apatah lagi siaran iklan yang adakalanya memakan masa hingga berminit-minit dan berulang-ulang.

Pada tahun 1950-an di Amerika Syarikat, presiden syarikat Zenith Electronics iaitu Eugene F. McDonald telah memberikan satu cabaran kepada para jurutera syarikatnya sambil menyatakan perasaan benci untuk terus menonton TV ketika iklan disiarkan.

Dia mahukan satu alat yang membolehkannya untuk mute atau menukar kepada saluran TV yang lain (dengan harapan sesuatu rancangan lain disiarkan selain iklan).

BESARKAN TEKS     A-  A+

Idea ciptaan alat kawalan jauh TV

Harapan McDonald ialah satu revolusi boleh tercipta untuk menukar rancangan sewaktu menonton televisyen. Dia mahukan kita bukan sahaja sekadar menjadi pemerhati yang pasif tetapi lebih kepada penonton yang mengarah. Jika tidak sukakan apa yang kita lihat, penukaran saluran baru hanya berada di hujung jari sahaja.

Alat Zenith yang mengubah segalanya ini dipanggil Flashmatic dan direka oleh seorang jurutera bernama Eugene Polley dan dikeluarkan pada tahun 1955.

Menurut John Taylor, seorang sejarawan dalaman syarikat Zenith dan juga pengarah komunikasi bagi LG iaitu syarikat induknya, Polley bukanlah seorang jurutera elektrikal tetapi seorang jurutera mekanikal. Jadi sebahagian besar alat ini adalah lebih kepada berunsur mekanikal.

sejarah alat kawalan tv flashmatic 2

Sebelum ini sebenarnya sudah terdapat alatan untuk menukar rancangan TV tetapi ia telah dibina bersama televisyen itu sendiri. Alat kawalan jauh itu bersambung menggunakan kord umbilikal. Jenis alat ini yang paling terkenal ialah Lazy-Bones milik Zenith. Ia membolehkan pengguna menyalakan TV serta menukar rancangan, tetapi tiada fungsi untuk mute iklan TV yang menjengkelkan.

Namun, alat Flashmatic ini secara fizikalnya bebas dari set TV. Ia menggunakan sumber cahaya yang diarahkan kepada pengesan yang dipasang di setiap penjuru skrin TV. "Ini membolehkan penonton untuk mute bunyi, menukar saluran ke kiri dan kanan, hanya dengan menekan butang yang dihalakan ke arah skrin," tambah Taylor lagi.

Pada tahun 1950-an semua orang taksub dengan angkasa lepas dan barangan rekaan moden, jadi alat Flashmatic ini merupakan sesuatu yang amat canggih dan begitu mengujakan ketika itu.

Namun, terdapat satu masalah besar dengan alat rekaan Zenith ini. Empat alat pengesan yang dipasang pada skrin TV itu begitu sensitif, bukan sahaja kepada alat kawalan jauh, malah kepada cahaya matahari. Ia bergantung kepada lokasi kedudukan TV. Jika terkena cahaya matahari, ia mungkin akan menghidupkan TV itu atau menukar siaran dengan sendiri.

sejarah alat kawalan tv flashmatic

Bahkan, alat itu bukan murah untuk dibeli. Menurut Taylor, harga tambahan USD 100 akan dikenakan ke atas harga set TV jika ingin dimiliki bersama Flashmatic. Untuk pengetahuan anda, pada waktu itu, anda boleh mendapatkan sebuah kereta dengan harga USD 600 sahaja.

Zenith Space Command

Zenith kemudian kembali meneliti pelan rekaannya. Kali ini, seorang jurutera elektrikal Zenith iaitu ahli fizik bernama Robert Adler juga terlibat. Adler diserap ke dalam pasukan pereka bertujuan untuk menyingkirkan pencerobohan sinar cahaya yang menjadi masalah Flashmatic. Mereka inginkan cara baru alat itu berkomunikasi dengan TV.

Salah satu cadangan Adler ialah menggunakan gelombang radio namun telah ditolak lebih awal. Ini kerana jika anda tinggal di sebuah pangsapuri, anda mungkin akan tertukar saluran TV milik orang lain yang berjiran dengan anda.

Keputusan akhir Adler ialah dengan menggunakan bunyi. Alat kawalan jauh Zenith yang baru iaitu Space Command, adalah alat kawalan yang menggunakan ultrabunyi dengan pengetuk yang memukul batang aluminium di dalam alat itu. Ia akan berbunyi dalam frekuensi tertentu yang akan memberi arahan kepada TV untuk dinyalakan, ditutup, menukar rancangan atau mute bunyi.

sejarah alat kawalan tv zenith space command menggunakan ultrasound

Seorang penulis kebudayaan, Steven Beschloss berkata alat kawalan jauh seperti Space Command ini adalah anggun serta ringkas. Kunci kepada penampilannya terletak kepada fungsinya. Ia hanya mempunyai sedikit fungsi dan pengguna boleh menikmati pengoperasian yang mudah - jauh lebih mudah daripada alat kawalan yang kita miliki pada waktu ini.

Alat kawalan Space Command yang mempunyai 4 butang tersembul ini kelihatan jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan alat kawalan hari ini yang kebanyakannya nipis dan berbentuk melonjong. Butang yang bersambung dengan batang rod hanya mengeluarkan bunyi yang perlahan apabila ditekan.

Frekuensi yang digunakan pada alat kawalan seperti Space Command ini adalah terlalu tinggi untuk didengari oleh telinga manusia biasa namun dapat dikesan oleh pendengaran haiwan seperti anjing dan kucing. Semasa pembinaan prototaipnya di Zenith, seorang pembantu makmal wanita akan terkejut setiap kali alat ini diuji disebabkan pendengarannya yang sensitif.

Penambahbaikan alat kawalan jauh TV

Alat kawalan jauh TV adalah hampir serupa sehinggalah pertengahan 1970-an. BBC telah mencetuskan satu keperluan untuk mencipta alat yang lebih rumit. Pada 1974, ia melancarkan Ceefax, satu servis berasaskan teks yang menggunakan lebihan frekuensi TV analog. Di UK ketika itu adalah mustahil untuk menukar siaran menggunakan alat kawalan jauh.

ceefax bbc sejarah alat kawalan jauh tv

Jadi alat kawalan yang baru perlu dicipta. Kali ini merupakan alat yang mempunyai ruang untuk butang bernombor bagi memudahkan penukaran siaran dengan nombor berlainan. Alat kawalan yang kita kenali sekarang mula terbentuk semasa tempoh ini.

Keperluan fungsi yang lebih meluas telah menyebabkan para pereka mengkaji medium komunikasi dengan set televisyen dari sudut yang berlainan. Mereka menemui sesuatu yang lebih canggih menggunakan cahaya infra merah. Kini alat kawalan jauh menjadi senyap apabila butang ditekan.

Namun, pada tahun 1980-an dan 90-an, kemunculan rancangan TV berbayar dan beberapa peranti seperti perakam video, pemain DVD dan konsol permainan video membuatkan alat kawalan menjadi terlalu serabut dengan butang yang terlalu banyak.

alat kawalan jauh tv tahun 90an terlalu banyak butang 424

Seorang penulis majalah Slate pernah menulis tentang ini dalam satu artikel pada tahun 2015. Dia menyatakan butang pada alat kawalan jauh sepatutnya menjadi penjimat masa. Namun, terdapat sebanyak 92 butang pada alat kawalannya dengan pelbagai susunan dan warna. Apabila diteliti satu persatu, didapati penulis tersebut hanya sering menggunakan 34 butang sahaja. Butang-butang yang lain hanyalah lebihan tanpa sebarang kegunaan.

Dengan kemunculan siaran kabel TV pada 1980-an yang mempunyai puluhan malah ratusan siaran, alat kawalan dengan lebih banyak fungsi telah diperkenalkan. Ini menyebabkan alat kawalan menjadi semakin sukar digunakan.

Akan tetapi, kecanggihan pada abad ke-21 membuatkan kita sedang menuju ke arah era alat kawalan yang lebih maju. Ini disebabkan kita tidak lagi hanya duduk menonton rancangan dari kaca TV seperti dahulu dan alat kawalan tidak semestinya dipegang lagi.

evolusi alat kawalan jauh tv

Dengan kemodenan, kita boleh menggunakan telefon pintar untuk mengawal hampir kesemua alatan elektronik di rumah. Bahkan dengan teknologi tanpa wayar kini arahan boleh diberikan dengan hanya menggunakan suara.

Daripada menggunakan alat kawalan yang adakalanya terselit di celah sofa, kini kita hanya perlu memberitahu peranti tanpa wayar, rancangan apa yang ingin ditonton.

Rujukan:

1. Slate

2. Thoughtco

3. Newyorker




Hakcipta iluminasi.com (2017)