Memori adalah kebolehan otak di mana data atau maklumat dikodkan, disimpan dan dikeluarkan semula apabila perlu. Ia adalah proses mengekalkan maklumat dari masa ke semasa untuk tujuan mempengaruhi tindakan di masa depan.
Untuk memperolehi sesuatu memori itu, seseorang itu perlulah belajar atau melalui sesuatu kejadian. Alangkah hebatnya jika sesuatu memori itu dapat diwujudkan dalam otak manusia tanpa perlu ada proses pembelajaran atau pendedahan.
BESARKAN TEKS A- A+
Menanam memori palsu
Steve Ramirez dan Xu Liu. Photo : smithsonian
Kini, perkara itu semakin tidak mustahil untuk dilakukan. Saintis telah melakukan beberapa uji kaji terhadap haiwan dan berupaya untuk menanam ingatan palsu ke dalam otak mereka.
Pada tahun 2014, dua orang saintis saraf iaitu Steve Ramirez dan Xu Liu telah bekerjasama dan berjaya menanam ingatan palsu dalam otak seekor tikus makmal. Mereka menggunakan kaedah Optogenetik yang telah dibangunkan lebih sedekad yang lalu.
Membentuk memori dalam otak tikus
Mereka meletakkan tikus itu dalam sebuah kotak. Apabila tikus itu mula menjelajah kotak itu, satu kejutan elektrik telah dikenakan pada kakinya dan tikus itu berhenti bergerak. Mereka memantau bahagian saraf otak tikus yang berhubung ketika melalui kejutan elektrik itu.
Pengaktifan semula memori tikus
Ramirez dan Xu Liu kemudian meletakkan tikus itu dalam sebuah kotak yang berlainan tetapi kelihatan serupa. Apabila tikus itu bergerak, mereka menggunakan kaedah pancaran cahaya untuk mengaktifkan bahagian saraf otak yang berkaitan dengan memori kesakitan tadi. Walaupun tiada kejutan elektrik, tikus itu tetap berhenti seperti yang dilakukannya ketika menerima kejutan.
Memanipulasi memori palsu dalam otak tikus
Kedua-dua saintis itu berjaya menanam memori palsu ke dalam tikus makmal itu dan menerima pelbagai anugerah atas kejayaan mereka. Pada tahun ini, saintis lain berjaya mengembangkan kajian ini dengan mengajar anak burung Kenari Zebra bagaimana untuk berkicau dengan berlagu tanpa perlu belajar.
Mengajar anak burung menyanyi
Burung Kenari Zebra biasanya belajar menyanyi melalui bapa mereka tetapi kini saintis telah menemui cara untuk membuatkan anak-anak burung ini menghafal lagu tanpa perlu belajar. Mereka melakukannya dengan menanam ingatan lagu-lagu ini ke dalam otak burung.
Eksperimen unik ini direka untuk menemukan cara mengakses laluan ke dalam otak burung. Sebenarnya, ia adalah kajian untuk menggambarkan persamaan bagaimana manusia belajar untuk bercakap.
Kajian ini juga diharap dapat membantu saintis meningkatkan pembelajaran bahasa pada orang yang menghidap autisme dan keadaan lain yang boleh mempengaruhi percakapan.
Menurut seorang saintis saraf, Todd Roberts, ini adalah kali pertama mereka dapat mengesahkan kawasan otak yang mengekod kenangan tingkah laku seperti bertutur atau bermain piano. Penemuan ini membolehkan mereka menanam ingatan ke kepada burung dan membimbing pembelajaran lagu mereka.
Todd Roberts
Kenari Zebra adalah burung kecil yang berasal dari Amerika Tengah dan popular sebagai burung peliharaan. Sama seperti anak manusia belajar bertutur, anak burung ini meniru nyanyian bapa mereka dan mula berlatih.
Roberts dan rakan-rakannya menggunakan kaedah optogenik untuk mengubah suai neuron burung-burung ini tanpa mendedahkan mereka kepada nyanyian. Teknik ini melibatkan penggunaan cahaya untuk mengawal tingkah laku protein fotopeka dalam neuron atau sel otak.
Dengan kaedah ini, penyelidik dapat mengubah aktiviti otak di kawasan deria motor yang dikenali sebagai Nif. Nif menghantar maklumat ke wilayah otak khusus burung-burung ini yang dikenali sebagai high vocal centre (HVC). Kawasan inilah yang terlibat dalam pembelajaran dan penghasilan siulan lagu-lagu burung.
Dengan memancarkan cahaya secara berirama, para penyelidik dapat mengkodkan "ingatan" dalam otak anak burung supaya haiwan itu dapat menyesuaikan bunyi dengan tempoh pancaran cahaya. Otak anak burung ini akan berfungsi seperti sedang diajarkan lagu oleh bapanya.
Memahami pembelajaran bahasa
Bunyi sahaja tidak cukup untuk mengajar anak burung ini lagu yang penuh. Mereka juga mesti mempelajari aspek lain melodi seperti lontaran yang betul. Menurut Roberts, dua kawasan otak yang mereka uji hanya memberi jawapan kepada satu teka-teki sahaja.
Jika banyak lagi penemuan yang mereka perolehi, mereka mungkin dapat mengajar anak burung Kenari itu lagu yang penuh tanpa perlu adanya burung dewasa sama sekali. Namun, banyak lagi yang perlu mereka lakukan.
Penyelidikan asas terhadap burung ini direka untuk merungkai bagaimana litar otak membolehkan seseorang itu belajar bahasa. Saintis mendapati hubungan HVC dan Nif dalam otak burung adalah penting untuk pembelajaran nyanyiannya.
Menurut Roberts lagi, otak manusia yang berkaitan dengan percakapan dan bahasa adalah lebih rumit berbanding burung Kenari. Akan tetapi, kajian mereka menyediakan petunjuk yang kukuh bahawa mereka berada di jalan yang betul.
Rujukan:
1. Menanam memori palsu ke dalam otak tikus makmal
2. Menanam ingatan palsu ke dalam otak burung
3. Mengajar burung menyanyikan lagu yang tidak pernah mereka dengar