Ramai di antara kita di luar sana, mempunyai tabiat-tabiat atau kelakuan yang sering kita lakukan, apabila kita berada dalam sesuatu situasi tertentu.
Ada orang gemar mengetuk meja dengan jari, menggoyangkan kaki, melagakan gigi dan ramai juga di antara kita gemar menggigit kuku di jari. Tabiat ini harus diakui agak buruk sekiranya kelihatan selain daripada akan menyebabkan kerosakan pada bahagian kuku anda.
BESARKAN TEKS A- A+
Anda ada tabiat ini? Tahukah anda tabiat menggigit kuku, sebenarnya membawa risiko yang agak besar kepada pelakunya?
Tabiat yang dibiasakan sejak kecil
Dari aspek istilah, tabiat menggigit kuku diistilahkan sebagai onychophagy yang biasanya kelihatan semasa seseorang individu berusia muda dan remaja, yang boleh berlarutan sehinggalah dia mencapai usia dewasa.
Ada banyak sebab kenapa tabiat ini terus dilakukan atau berlaku. Walaupun begitu majoriti kes tabiat gemar menggigit kuku ini dikatakan sangat berkait rapat dengan stres seseorang, ketika dia berada dalam situasi yang membuatkan dia berasa kebimbangan atau gementar.
Ada juga individu yang didapati menggigit kuku akibat daripada rangsangan bacaan buku atau tontonan filem, yang memulakan perasaan gementar itu. Dalam sesetengah kes, rasa bosan atau kosong menyebabkan seseorang mula menjadikan tabiat ini sebagai pengisi masa lapang yang akhirnya kekal dilakukan.
Kajian yang telah dijalankan di Portugal pada tahun 1985 mendapati kecenderungan tabiat ini berada pada kadar 14.3% di kalangan kanak-kanak. Kajian lebih baru seperti di India, Jepun dan Arab Saudi mendapati peratusan masalah ini berlaku di antara 20% ke 28% dalam kategori usia sama.
Usia 4 ke 6 tahun merupakan kumpulan paling besar memiliki tabiat ini yang akan berkurangan ketika melangkah ke alam remaja.
Risiko gigit kuku yang kurang dikenali
Pasti ramai menyangkakan tabiat menggigit kuku hanya akan mencacatkan rupa dan bentuk kuku semata-mata, tanpa membawa risiko-risiko lain kan?
Selain kerosakan kuku, komplikasi lain yang boleh wujud sekiranya tabiat ini tidak dihentikan adalah risiko jangkitan kepada gusi dan bahagian mulut, selesema serta jangkitan bakteria yang berpindah dari bahagian kuku ke bahagian tubuh lain melalui mulut.
Kerosakan kuku pula boleh berlaku dalam beberapa tahap, dengan tahap paling teruk dinamakan sebagai paronychia atau trauma kuku hasil tindak balas bakteria yang berjaya masuk ke dalam kulit, akibat daripada bukaan pada permukaan kulit yang terjadi disebabkan gigitan.
Walaupun paronychia merupakan satu simptom yang biasa berlaku kepada mana-mana individu khasnya pada mereka yang perlu bekerja dalam keadaan tangan basah seperti pencuci pinggan atau pembancuh air, simptom ini kerap ditemui pada individu yang mengalami tabiat gemar menggigit kuku.
Kesemua simptom di atas adalah simptom yang tidak berbahaya. Sekarang mari kita lihat pula simptom yang boleh membahayakan nyawa.
Keracunan darah akibat tabiat buruk
Seorang lelaki bernama Luke Hanoman dari Liverpool, England mempunyai masalah gemar menggigit kuku setiap kali dia berasa tertekan.
Tabiat itu yang telah berlaku sekian lama tidak pernah memberi kesan besar kepada beliau, sehinggalah dia mula demam berpanjangan pada bulan Mac tahun 2018. Jarinya mula membengkak dan kulitnya mula menampakkan jalur-jalur merah, menandakan ada sesuatu yang tidak kena pada tubuhnya.
Dia dikejarkan ke hospital dan pemeriksaan yang dijalankan mendapati Hanoman telah mengalami sepsis atau keracunan darah - dipercayai berpunca daripada jangkitan yang bermula pada kulit berhampiran kuku yang digigitnya.
Bagi seorang gadis berusia 18 tahun dari Texas, Amerika Syarikat - tabiat menggigit kukunya walaupun tidaklah sampai ke peringkat keracunan darah, telah menyebabkan dia mengalami jangkitan pada bahagian kulit di sekeliling kuku. Jangan buka kalau anda mudah geli dengan nanah.
Pada awalnya gadis itu dijangkakan perlu menjalani pembedahan bagi membuang bahagian jari yang telah dijangkiti sekiranya jangkitan gagal dikawal. Dia bernasib baik jangkitannya surut selepas pembedahan kecil dilakukan, bagi membuang kesan-kesan jangkitan yang telah terbentuk.
Rasa ketagih untuk mencederakan diri sendiri
Dalam aspek perubatan, memang sukar untuk individu yang mempunyai tabiat ini menghentikannya. Mereka yang biasa melakukannya, sebenarnya melakukannya tanpa sedar - tidak lagi merasa sakit walaupun sedang melakukan kecederaan kepada diri sendiri.
Kami harap artikel ini sedikit sebanyak memberikan anda pendedahan awal apakah risiko yang boleh berlaku sekiranya anda meneruskan tabiat ini.
Cara paling berkesan dalam menangani tabiat menggigit kuku, adalah dengan mengenalpasti apa jenis situasi atau keadaan yang akan menyebabkan anda mula ada keinginan untuk menggigit kuku sendiri.
Selepas tahu jenisnya - cuba elakkan diri anda daripada terus duduk dalam situasi tersebut atau cari jalan bagaimana hendak menanganinya.
Resah sebelum temuduga? Berdiri, berlegar-legar dan jangan duduk. Bosan? Lakukan sesuatu. Anda bimbang hero dalam filem tewas kepada penjahat? Makan sesuatu sambil menonton filem. Lapar?
Makan nasi. Jangan makan kuku.
Rujukan
Nail biting and related health issues: Perspectives of health professionals and nail biters (PDF)