Asam rong atau asam rum adalah hidangan tradisional untuk penduduk di daerah Jerantut, Pahang dan sangat terkenal di sekitar beberapa perkampungan di dalam daerah ini seperti di kawasan perkampungan kecil iaitu di Kampung Ulu Tembeling, Kampung Kuala Tembeling, Kampung Kuala Tahan dan sekitarnya.
Sekarang, asam rong mula dikenali sehingga ke beberapa daerah dalam negeri Pahang yang lain seperti di Kuala Lipis, Maran, Raub dan Kuantan.
Keunikannya ialah asam rong ini diperbuat dari biji getah yang dikutip dari bawah pokok getah kemudian diproses menjadi asam rong.
Perkataan asam rong ini datangnya dari perkataan isirong iaitu merujuk kepada bahagian isi dalam buah dan perkataan asam itu dipakai disebabkan kaedah penyimpanan dan penghasilan asam rong ini sama dengan asam yang lain.
Asam rong ini dipopularkan oleh penduduk di sebelah perkampungan mukim Tembeling, Jerantut, Pahang. Pada asalnya, asam rong ini diperbuat dari buah perah iaitu sejenis buah yang diperolehi dari pokok perah yang tumbuh di dalam hutan tebal.
Tetapi, menyedari susahnya mencari dan memperolehi buah perah ini, penduduk di sini mula mencari alternatif lain dengan menggantikan dengan biji getah iaitu biji dari pokok getah.
Pada masa sekarang, mereka menggunakan biji getah disebabkan ianya mudah didapati berbanding dengan buah perah yang perlu dicari di dalam hutan tebal.
Berikutan majoriti penduduk di sini banyak menanam pokok getah sebagai sumber pendapatan utama mereka, oleh itu penggunaan biji getah bagi menghasilkan asam rong ini menyenangkan mereka memperolehi bahan berkenaan.
Asam rong ini tidak mempunyai rasa masam seperti kebiasaan asam yang lain, ianya mempunyai rasa yang sedikit pahit dan lemak.
Barangkali disebabkan ianya diperam berbulan-bulan lamanya dan disebut sebagai asam oleh penduduk di sini berikutan cara penyediaan dan penyimpanannya serupa dengan asam yang lain.
Sambal Asam Rong Tempek
Kredit foto: Normadiah Hussin (Gambar bukan menggunakan resepi dibawah)
Bahan-bahan:
- Biji getah (30 biji)
- Cili (10 biji) - untuk lebih pedas, boleh ditambah lagi ikut citarasa
- Garam (secukup rasa)
- Minyak (sedikit)
Cara penyediaan:
1. 30 biji getah dijemur selama seminggu di bawah matahari.
Nota: Ini untuk memudahkan proses membuang kulit ari.
2. Kupas biji getah dan ambil isi sahaja.
Nota: Kupas dengan cara ketuk menggunakan antan lesung batu.
3. Tumbuk isi biji getah selumatnya.
4. Cili 10 biji (nak pedas lagi tambah lagi ikut citarasa) + garam secukup rasa
5. Gaul biji getah dan cili tadi sehingga sebati.
6. Sapu sedikit minyak atas permukaan kuali dan letakkan aduan biji getah tadi (rujuk gambar di bawah).
Nota: Gunakan kuali leper atau tutup periuk leper.
7. Bakar menggunakan api kecil sehingga buah getah masak keperangan. Siap dan sedia dimakan dengan nasi panas.
Sumber: