Oleh pada 25 Nov 2018 kategori

Kredit foto: Adawiyah Farhan & Zawiyah Mat Nor (Gambar bukan menggunakan resepi dibawah)

Nasi kerabu adalah hidangan nasi yang asalnya bewarna kebiruan dan lazimnya dijamah dengan ikan kering atau ayam goreng, daging bakar, telur masin, keropok, budu dan ulam-ulaman lain. Kelopak bunga telang yang digunakan dalam masakan ini menghasilkan warna biru nasinya.

Kini, ia disediakan bersama nasi putih biasa atau warna nasi kerabu kuning yang dimasak menggunakan kunyit kerana sukar pewarnanya untuk disediakan. Nasi yang berwarna hitam pula adalah disebabkan oleh penggunaan daun atau herba na-dam dalam bahasa Siam.

Terdapat pelbagai variasi nasi kerabu berdasarkan warnanya. Terdapat nasi kerabu kuning, nasi kerabu putih, nasi kerabu hitam dan nasi kerabu biru.

Nasi kerabu sangat terkenal di negeri pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu. Kini, ia boleh didapati di seluruh negara. Hidangan ini juga biasanya disaji dengan solok lada dan keropok goreng.

Nasi Kerabu

nasi kerabu

Nasi biru versi kukus 

 

Bahan-bahan:

  • 1 1/2 pot beras
  • 1 batang serai diketuk
  • 1 helai daun limau purut
  • 1/2 genggam bunga telang direndam dahulu untuk warnanya (pemilik resepi guna pewarna biru)
  • Secubit garam 

 

Cara-cara :

1. Basuh bersih beras. Toskan.

2. Masukkan air secukupnya untuk masak nasi, serai dan daun limau purut. Jika pakai pewarna, titikkan beberapa titis warna biru.

3. Kacau sebati. Masak seperti biasa. Pemilik resepi menggunakan pengukus.

 

Nota: Perbezaan kukus dan masak menggunakan rice cooker ialah kukus lebih lembut nasinya dan tidak berkerak pada bahagian bawah. Menurut pemilik resepi, beliau lebih suka kukus tidak kira untuk nasi ayam, nasik lemak atau nasi tomato. 

Kuah tumis

Bahan-bahan:

  • 1 cawan santan
  • 15 tangkai cili kering
  • 2 labu bawang besar
  • 7 ulas bawang merah
  • 9 ulas bawang putih
  • 1 inci halia

Kisar semua bahan di atas

  • 2 sudu besar budu
  • 1 asam keping
  • 1 batang serai diketuk
  • 2 sudu besar gula pasir
  • Sedikit gula melaka
  • Garam secukupnya

Cara-cara: 

1. Tumiskan bahan yang dikisar tadi.

2. Masukkan serai, asam keping, budu, gula melaka dan pasir.

3. Masak sehingga kuah pecah minyak. Perlu kacau selalu.

4. Jika agak pekat, boleh tambah sedikit air. 

 

Sambal kelapa

sambal kelapa

Sambal kelapa atau serunding ikan

Bahan-bahan:

  • 1/2 biji kelapa
  • 2 ekor isi ikan kembung / sardin
  • 2 ulas bawang putih
  • 2 ulas bawang merah
  • 2 batang serai
  • 1 inci halia
  • Sedikit budu
  • Secubit lada hitam ditumbuk halus
  • Garam gula secukup rasa

 

Cara-cara:

1. Sangai kelapa sehingga kekuningan.

2. Masukkan serai, bawang merah, bawang putih, halia dan isi ikan kembung yang direbus dengan asam keping dan sedikit garam terlebih dahulu.

3. Kacau sehingga agak keperangan dan berbau wangi.

4. Masukkan budu dalam anggaran 2 sudu besar.

5. Perasakan dengan garam dan gula mengikut selera masing-masing. 

sambalkelapa 1

Selepas siap ditumbuk manja, gial-gialkan atau pusing-pusingkan anak lesung tersebut supaya kelapa agak halus

Solok lada 

solok lada

Bahan-bahan:

  • 3 batang cili hijau
  • Sedikit kelapa parut
  • 1 ekor isi ikan
  • 1 biji kuning telur
  • Garam secukupnya

 

Cara-cara:

1. Basuh bersih cili dan potong tengah. Buang biji.

2. Kelapa yang telah digaul dengan garam, isi ikan dan telur kuning disumbatkan dalam cili tadi. 

3. Kemudian, boleh kukuskan.

 

Bahan-bahan lain :

bahan bahan lain nasi kerabu

  • Telur masin
  • Ayam goreng
  • Kobis
  • Kacang panjang
  • Timun
  • Cili rebus + cuka
  • Budu + cili

 

Nasi Kerabu Tumis

nasikerabutumis

Kredit foto: Raja Amanina (Gambar bukan menggunakan resepi dibawah)

Sebut sahaja nasi kerabu, kita pasti akan terbayangkan nasi yang berwarna biru digaul bersama kelapa dan ulam. Sebenarnya, terdapat banyak jenis nasi kerabu.

Selain nasi kerabu hitam (panggilan orang Kelantan untuk nasi kerabu), antara yang terkenal ialah nasi kerabu tumis. Bagi sesiapa yang masih belum pernah merasai kelazatan nasi kerabu tumis, anda boleh mencuba resepi ini.

Hidangan ini terdiri daripada nasi kerabu kuning, sambal kelapa, sambal tumis santan, budu masak, sambal lada, ulam-ulam dan keropok.

nasi kerabu tumis

Sambal kelapa

Bahan A:

  • 5-6 ekor ikan selayang
  • 8 ulas bawang merah (kecil)
  • 1 inci halia
  • 5 batang serai
  • 1 sudu teh biji lada hitam
  • Gula
  • Garam

Cara-cara:

1. Bakar tawar ikan. Tips: Jika ada pemanggang ajaib, lebih mudah. Jika tiada, boleh juga ikan direbus dan isi ikan digoreng tanpa minyak.

2. Tumbuk bawang merah, halia, serai, lada hitam, gula dan garam bersama ikan.

Bahan B:

  • 1 kg kelapa parut (ambil yang muda)
  • 4 sudu besar gula
  • 1 sudu besar garam

Cara-cara:

Goreng tanpa minyak kelapa parut bersama gula dan garam sehingga keperangan.

Campurkan Bahan A dan Bahan B. Gaulkan sehingga semuanya sebati. Perasakan dengan garam dan gula mengikut citarasa masing-masing. Bahagian ini pemilik resepi gemar tumbuk-tumbuk sambil gaul semua.

Sambal tumis santan

Bahan-bahan:

  • 5 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 5 tangkai cili kering

Kisar bahan di atas sehingga lumat 

  • 1 kerek gula melaka / nisan
  • 2 keping asam keping
  • 3 batang serai (dititik)
  • 1/2 kg santan
  • 1 cawan air
  • Gula
  • Garam

Cara-cara:

Selepas bahan kisar (rujuk di atas) dikisar sehingga lumat, panaskan santai dan air sehingga pecah minyak. Masukkan bahan kisar, serai, asam keping, gula dan garam. Masak sehingga semua sebati dan pecah minyak dengan cantik.

Sambal lada

Bahan-bahan:

  • Cili merah
  • Cili padi
  • Jus limau kasturi
  • Garam
  • Gula

Cara penyediaan:

Kisar atau tumbuk semua bahan.

Budu masak

Bahan-bahan:

  • Budu
  • Daun limau purut
  • Serai
  • Sedikit jus asam jawa
  • Sedikit gula melaka

Cara-cara:

Masak semua sekali sehingga mendidih dan tapis.

Ulam-ulam

Anda dicadangkan untuk menggunakan ulam-ulam kampung seperti kacang panjang, daun kesom, pucuk salam, buah petai belalang dan bunga kantan kerana lebih membangkikan selera. Lebih banyak jenis, lebih sedap.

Boleh juga menggunakan timun batang dan kubis yang tidak kurang sedapnya.

Nasi kerabu kuning

Bahan-bahan:

  • 1 kg beras (4 cawan)
  • 3 batang serai
  • 5 helai daun limau purut
  • 1 sudu makan gula
  • 1 sudu makan garam

Cara-cara:

1. Serai diketuk dan campurkan semua sekali dengan beras. Tanak seperti tanak nasi biasa.

2. Untuk jadikan warnanya kuning, cuma perlu letak sedikit pewarna kuning atau serbuk kunyit. 

Sumber:

1. Wan Muhammad Hafiz Satar [12]  

2. Azzuliza Sukirman [1, 2

3. Wikipedia Nasi Kerabu




Hakcipta iluminasi.com (2017)