Nasi dagang ialah sajian tempatan istimewa yang popular di Terengganu dan Kelantan. Nasi dagang Terengganu lazimnya diperbuat daripada campuran beras dan beras pulut dan dimasak bersama-sama santan kelapa.
Nasi dagang Kelantan lazimnya berwarna coklat disebabkan menggunakan beras berlainan yang dipanggil sebagai 'beras dagang'.
Nasi dagang Terengganu disajikan dengan kuah nasi dagang yang dimasak dengan menggunakan rempah khas (berbeza dengan rempah kari biasa).
Untuk nasi dagang Terengganu, ikan yang digunakan lazimnya ikan Aya Hitam (ikan tongkol) yang bersaiz besar dan dipotong. Selain itu, acar timun juga dihidangkan.
Nasi dagang dikatakan dikenali sebegitu disebabkan cuma mempunyai satu lauk (tanpa acar timunnya). Senang, seperti mereka yang dalam perdagangan tanpa penyediaan lauk-pauk yang pelbagai.
Di Johor dan sesetengah daerah di Pahang seperti Raub, Pekan, Temerloh dan Kuantan, terdapat juga beberapa versi nasi dagang yang menggunakan kuah laksa sebagai kuah pilihan.
Nasi dagang turut terdapat di Kepulauan Riau, Indonesia.
Nasi Dagang Kelantan
Kredit foto: Noorsolehah SueZul‎ (Gambar bukan menggunakan resepi dibawah)
Bahan-bahan:
- Beras nasi dagang (1 kg) - dibasuh dan direndam semalaman
- Santan cair (1 mangkuk)
- Santan pekat (1 mangkuk) - panaskan dengan garam dan gula, tapi jangan sehingga pecah minyak
- Bawang merah (5-6 ulas) - dimayang
- Halia (1 inci) - dimayang halus
- Halba (sedikit)
Caranya:
1. Beras yang direndam dibasuh bersih dan ditoskan. Sementara itu, mayang halus bawang serta halia.
2. Kukus nasi dagang selama 20 minit. Angkat dan alihkan dalam besen besar dan diarung dengan santan cair. Arung biar sebati santan dengan nasi yang separuh masak itu.
3. Kukus lagi selama 20 minit. Angkat dan akhirnya arung dengan santan pekat yang telah dicampur garam dan gula, bawang merah, halia dan halba.
4. Biarkan selama beberapa ketika dan baru boleh dihidangkan.
Gulai Ikan Aya/Tongkol
Bahan-bahan:
- Ikan tongkol - direbus terlebih dahulu bersama asam keping dan sedikit garam
Bahan kisar:
- Bawang merah
- Bawang putih
- Kunyit hidup
- Lengkuas
- Ketumbar (sedikit)
Bahan-bahan lain:
- Cili kisar
- Asam keping
- Gula melaka
- Garam
- Ajinomoto (sedikit) - jika suka
- Santan pekat
- Rempah kari ikan (1 sudu) - cap apa-apa sahaja, untuk sedap gunakan rempah kampung
- Cili hijau
Cara penyediaan:
1. Tumis cili kisar dan masukkan bahan kisar dan rempah kari sehingga terbit minyak.
2. Biar rempah betul-betul masak, baru masukkan santan, gula melaka, garam dan asam keping.
3. Kemudian, boleh masukkan ikan yang telah direbus tadi bersama cili hijau. Renehkan sehingga semua nampak mesra.
Sambal Kelapa
Bahan-bahan:
- Kelapa parut - muda
- Bawang merah (seulas)*
- Serai (sebatang)*
- Gula*
- Garam*
- Isi ikan yang dibakar (ikan sardin) - seekor*
Cara membuat:
1. Goreng kelapa parut tanpa minyak sehingga kekuningan.
2. Tumbuk bahan-bahan berhuruf condong sehingga hancur dan pecah-pecah.
3. Kemudian, masukkan kelapa tadi dan tumbuk sekali semuanya sehingga ia sebati.
Sumber: