Mi kolok (mi kolo), mi kering atau mi rangkai (perkataan Iban yang bererti "kering") merupakan sejenis mi yang amat terkenal di negeri Sarawak.
Rata-rata gerai di sekitar Kuching ada menghidangkan atau menjual mi kolok. Ia lazimnya akan disajikan dengan kuah sup dan kicap.
Jika baru pertama kali mahu merasainya, anda pasti mendapati rasanya unik dan lazat. Ini disebabkan penggunaan mi yee (yee mee) serta dicampur dengan hirisan daging atau ayam yang direbus terlebih dahulu ini cukup membuka selera.
Kuah sup yang dihidangkan menjadi kuah bagi hidangan ini.
Mee Kolok Sarawak
Bahan-bahannya :
- Mee kolok
- Cuka
Tips: Jangan banyak, jika tidak ia akan menjadi masam
- Sos ikan
Tips: Jangan banyak, jika tidak ia berbau tidak menyenangkan
- Serbuk lada putih
- Minyak bawang putih
- Sos tiram
- Kicap
Cara penyediaan:
1. Celur mee kolok dalam air mendidih seketika dan bilaskan dalam air sejuk. Masukkan semula dalam air mendidih dan toskan.
2. Campurkan cuka, sos ikan, serbuk lada putih, minyak bawang putih, sos tiram dan kicap sehingga sebati. Kemudian, gaulkan dengan mee yang telah dicelur. Ketepikan dalam satu bekas.
Sup
Bahan-bahannya :
- Daging lembu (1/2kg)
- Serbuk lada hitam
- Kiub pati lembu (2/3 kiub)
- Rempah kasar 4 beradik (cengkih, bunga lawang, kulit kayu manis dan buah pelaga)
Tips: Letak sedikit sahaja, jangan banyak kerana ini merupakan sup jernih, tidak mahu rasa rempah menguasai rasa sup
- Sup bunjut - optional
- Bahan perasa
- Garam dan gula
- Halia - diketuk
Cara penyediaan:
1. Rebus daging sehingga empuk.
2. Setelah daging empuk, masukkan rempah kasar 4 beradik (cengkih, bunga lawang, kulit kayu manis dan buah pelaga), sup bunjut dan halia.
3. Akhir sekali, masukkan bahan perasa, garam dan sedikit gula. Tutup api.
4. Keluarkan daging dan ketepikan.
Cara penyediaan daging:
1. Daging yang telah dikeluarkan dari sup tadi, dipotong nipis-nipis.
2. Gaulkan daging dengan kicap, garam dan serbuk lada hitam.
3. Masukkan sedikit minyak bawang putih ke dalam kuali dan goreng hirisan daging sebentar sahaja. Tidak mahu kering dan keras sangat, jika tidak ia menjadi liat dan tidak sedap. Jika gorengan terkering, masukkan sedikit sup tadi dan goreng seketika.
4. Ketepikan daging yang telah digoreng. Daging ini sebahagian daripada bahan-bahan tabur atas mee kolok.
Cili kicap
Bahan-bahan:
- Cili padi
- Bawang putih
- Perahan jus limau
- Kicap
- Sedikit garam (jika menggunakan kicap manis )
Cara penyediaan:
Kisar semua bahan di atas dan ketepikan dalam sebuah mangkuk.
Bahan-bahan tabur atas mee kolok :
- Taugeh
- Sawi celur
- Fish cake - optional
- Bawang goreng
- Hirisan daging (rujuk di atas)
- Hirisan daun sup dan daun bawang
- Tomato hiris
Nota:
✔ Menurut pemilik resepi, mee kolok lebih digemari oleh keluarganya berbanding dengan laksa Sarawak. Ini mungkin kerana rasanya seakan-akan mee sup utara.
✔ Kebiasaannya, beliau tidak letak jumlah sukatan bahan kerana masak main agak-agak sahaja. Terokai sendiri rasanya dan sesuaikan dengan citarasa sendiri.
Sumber: