Ayam percik atau nama lainnya, ayam golek merupakan sejenis hidangan pantai timur Malaysia. Cara membuatnya ialah ayam akan dipanggang dengan menyelitupi kuah bersantan.
Ayam percik Kelantan berlainan berbanding ayam percik negeri lain disebabkan kuahnya berwarna putih yang menjadikannya amat unik. Rasanya amat sedap dan membuka selera.
Menurut salah seorang pembuat dan penjual ayam percik di Kelantan, utusan Tuanku Al-Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Ibni Sultan Yahya Petra pernah beberapa kali membuat tempahan ayam percik sebagai santapan dan keraian istana.
Hidangan ini mempunyai reputasinya yang tersendiri. Kalau mengikut adat atau budayanya, ayam percik Kelantan merupakan makanan yang mempunyai darjat tertinggi antara semua hidangan di Kelantan.
Resepi ayam percik Kelantan ini hanya disajikan kepada golongan yang memiliki kedudukan tertinggi dalam masyarakat, contohnya tok-tok guru, imam dan yang seangkatan dengannya.
Malah, diberitakan jika terdapat majlis-majlis kenduri, maka hidangan ini tidak boleh disentuh oleh golongan yang lain termasuk kanak-kanak.
Pada zaman kini, semua pihak boleh membuat dan merasa pelbagai jenis ayam percik. Lazimnya, ayam percik kuah putih ini sesuai disajikan kepada golongan kanak-kanak disebabkan mempunyai rasa yang tidak pedas.
Apa yang lebih penting, ayam percik ini amat mudah untuk disediakan dan bahan–bahan yang digunakan juga amat ringkas.
Ayam Percik Kelantan Juicy dan Kuah Merah Creamy
Ayam percik Kelantan yang terkenal ini mempunyai tekstur yang empuk dan rasa yang mewah
Nota: Resepi ini dimasak menggunakan teknik Chef Wan yang sangat mudah.
Bahan-bahan:
Bahan untuk seekor ayam:
Perap dengan bahan tumbuk:
- Bawang merah kecil (4 ulas)
- Bawang putih (3 ulas)
- Halia (1 inci)
- Garam (sedikit)
Lumur mesra biarkan sejam.
Bahan percik:
- Santan (1/2 kotak) - wajib pekat
Nota: 1/2 kotak bersamaan 200 ml, baki lagi 1/2 kotak dimasukkan kemudian. Jika ayam besar, guna lebih santan
- Serai (2 batang)
Tips: Jika serai gemuk, 1 sudah mencukupi
- Halia (1 inci)
- Lengkuas (1/2 inci) - optional
- Cili kering (5 tangkai) - direbus buang biji.
Nota: Jika suka pedas, boleh letak lebih. Pemilik resepi letak 10 tangkai
- Air (1 cawan) - cawan besar 250ml
Blend semua diatas.
- Asam keping (1 keping) - saiz sederhana
- Gula (4 sudu besar) - ia tidak terlalu manis
- Garam (1 sudu) atau kiub ayam - ikut citarasa sendiri
Masak menggunakan api sederhana dan kacau perlahan-lahan. Apabila sudah menggelegak, baru masukkan ayam.
Cara penyediaan:
1. Masukkan ayam dan simbah-simbah kuah. Masak selama 5 minit, balikkan ayam dan masak selama 5 minit lagi.
Tips:
➡ Proses ini akan lock jus ayam dan menyerap lebih rasa percik.
➡ Jangan lupa simbah-simbah dan godek-godek perlahan ayam supaya tidak melekat pada belakang kuali tersebut. Buat sehingga habis kesemua ayam.
2. Selepas 10 minit direbus dalam kuah, angkat ayam dan letak atas dulang (tray). Pastikan ayam bersalut percik. Lapik dengan daun pisang.
Tips: Jika tiada daun pisang, boleh juga gunakan baking paper.
3. Bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan terlebih dahulu (preheated) 230°C selama 30 minit.
Tips: Jika menggunakan ayam yang besar, tambah masa lagi.
4. Masukkan baki setengah kotak santan dalam kuah percik tadi dan masak sehingga berkrim. Jika tawar, tambah apa yang patut.
Tips: Kuah wajib rasa masam, masin, manis dan pedas yang seimbang, barulah ia menjadi.
Nota:
✔ Anda dinasihatkan buat lebih kuah percik kerana ianya amat sedap bagi mengelakkan ia tidak mencukupi semasa dihidangkan.
✔ Sewaktu Chef Wan memasak resepi ini dalam rancangan Best Wan, beliau secara tidak sengaja terkoyakkan paha ayam tersebut semasa mahu menghidangkannya. Apabila kamera fokus, isi ayamnya lembut berjus lekang dari tulang.
✔ Dalam sebuah dokumentari di Astro, sebuah kedai ayam percik terkenal di Kelantan hanya beroperasi selama 3-4 jam setiap hari. Ini kerana purata 100 ekor ayam perciknya habis dalam tempoh tersebut.
Sumber:
2. Resepi Ayam Percik Kelantan Original (resepiayampercikkelantanoriginal.blogspot.com)