Kurang sebulan lagi cuti sekolah bakal bermula. Anak-anak anda pasti mengidam makanan yang sedap-sedap terutamanya apabila keluar membeli-belah. Antara yang paling digemari tentunya ialah restoran aiskrim terkenal. Namun, harganya yang mahal pasti buat anda berfikir dua kali.
Apa kata anda cuba resepi ini. Teksturnya dijamin sangat lembut dan gebu, sebiji seperti yang di kedai. Kalau anda buat senyap-senyap tanpa beritahu anak-anak, tentu mereka ingat anda beli ais krim di restoran aiskrim yang sebenar.
Menurut pemilik resepi, beliau telah menggunakan resepi ini selama 3 tahun. Jika anda ikut resepi ini sebiji-sebiji pasti menjadi. Paling terbaik sekali, kos setiap bahan pun ada disediakan.
Pasti anda digelar super mummy kerana tahu buat ais krim sedap ala restoran aiskrim terkenal. Jom tengok bahan-bahannya yang sangat mudah.
Bahan-bahan
- 1 cawan susu full cream (300ml)
- 5 sudu susu pekat manis (boleh kurangkan jika tidak suka manis)
- 2 sudu besar ovalet (supaya tekstur ais krim gebu)
- 1 sudu besar esen vanila
- 1 sudu besar serbuk coco
Bahan tambahan (optional)
- 2 sudu besar mixed fruit (boleh beli di kedai kek)
- 2 sudu besar choc chips
Tips: Kalau rajin, boleh masukkan almond cincang. Tetapi, sangai dahulu sebelum masukkan dalam bahan ais krim. Selebihnya, ikutlah selera masing-masing.
Cara penyediaan:
1. Masukkan susu full cream, susu pekat manis, ovalet dan esen vanila dalam bekas. Seeloknya guna besen keranan bahan ini akan jadi berganda apabila sudah kembang.
2. Pukul guna mixer dalam 10-15 minit. Pastikan semua bahan mengembang dan jadi kental bertanduk.
3. Apabila telah kembang, asingkan adunan pada 2 bekas.
4. 1 bekas itu, masukkan pula serbuk coco. Pukul lagi dalam 5 minit sehingga rupanya gebu semula. Apabila sudah gebu, masukkanlah bahan tambahan yang kita mahu. Pukul lagi sebentar sahaja supaya ia rata tidak berkumpul setempat.
5. Selepas siap pukul, masukkan adunan tadi selang seli. Ada 1 bahagian adunan yang plain tadi kan? Masuklah selang-seli dengan adunan yang kita dah campur serbuk coco.
6. Setelah selesai penuhkan bekas, jangan lupa hentak-hentak manja bekas tersebut supaya bagi rata bahagian atas. Baru anak-anak tidak perasan itu ais krim yang dibuat sendiri.
7. Akhir sekali, jika suka taburlah choc chips di atas ais krim sebagai hiasan.
8. Siap. Boleh masukkan dalam tempat freezer dalam 6-8 jam.
Tips: Pemilik resepi suka buat pada waktu malam. Jadi, esok pagi dah boleh makan.
Anda mesti rasa bahan-bahan yang digunakan banyak dan lebih baik beli ais krim yang sudah siap. Anda sebenarnya silap.
Pertama, ais krim yang dibuat sendiri, anda boleh letak bahan tambahan mengikut citarasa sendiri. Kebersihan dan kehalalan pun lebih terjamin.
Keduanya, sebenarnya anda jimat banyak jika buat sendiri. Tak percaya? Jom tengok senarai kos kesemua bahan yang ada.
Bahan | Anggaran kos (setiap adunan) |
Susu full cream 1Dutch Lady 1 kotak (boleh buat lebih 3 adunan) = RM6.00 | RM2.00 |
Susu pekat manis (boleh buat anggaran 4 adunan) = RM2.50 | RM0.60 |
Ovalet 250gm (boleh buat anggaran 10 adunan) = RM3.90 | RM0.39 |
Esen vanila 1 botol (boleh buat 10 adunan) = RM2.50 | RM0.25 |
Jumlah kos (setiap adunan) | RM5.14 |
Nota: Setiap adunan tersebut boleh dapat 1-2 bekas ais krim yang digunakan oleh pemilik resepi. Bergantung berapa kembang anda pukul adunan tersebut.
Anda juga boleh buat perisa lain seperti coklat, keladi, mocha dan strawberi. Langkah penyediaannya masih sama, bahagi 2 adunan.
Bahagian masukkan serbuk coco itu, anda ganti sahaja dengan perisa apa yang anda mahu. Perisa tersebut anda boleh dapat di kedai kek.